DUNIA perfileman hari ini tidak lagi berdiri di atas landasan sama. Saat kamera masih memandang manusia sebagai subjek emosi, kecerdasan buatan (AI) mula mencelah, mencipta visual memukau tanpa peluh apatah lagi air mata.
Layar perak kini berdepan dilema besar antara kemajuan teknologi dan roh seni. Persoalan mula membuak, apakah masa depan filem masih milik manusia atau bakal dirampas algoritma tanpa jiwa?
Ledakan teknologi AI hadir bukan hanya sebagai alat, tetapi sebagai pencabar dominasi kreatif. Dalam sekelip mata, skrip boleh dijana, adegan divisualkan, malah suara pelakon ditiru dengan ketepatan menggerunkan.
Dunia kreatif kini seakan-akan berada di persimpangan getir, memeluk kemajuan atau mempertahankan keaslian. Di sinilah letaknya pertembungan antara efisiensi dan emosi, antara kecanggihan dan kejujuran karya.
Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki berpendapat, gelombang AI perlu dilihat sebagai cabaran, bukan ancaman mutlak.
“Kemunculan teknologi kecerdasan buatan seperti Seedance 2.0 memang mencetuskan kebimbangan dalam industri global. Namun persoalan sebenar bukan sama ada kita perlu takut, tetapi sejauh mana kita bersedia berubah.
“Sebagai peneraju dalam industri, saya melihat fenomena ini sebagai titik perubahan tidak dapat dielakkan. Landskap perfileman sudah berubah, dan kita tidak boleh berpatah balik.
“Teknologi hari ini mampu menghasilkan visual bertaraf sinema hanya melalui arahan teks ringkas. Ini satu lonjakan besar dalam cara kandungan dihasilkan,” katanya kepada Kosmo!.
Mengulas lanjut, Afdlin menegaskan kehebatan teknologi tidak pernah menggantikan nilai kemanusiaan dalam sesebuah karya.
“Walau secanggih mana pun AI, ia tetap alat. Ia tidak memiliki pengalaman hidup, tidak memahami emosi sebenar, dan tidak pernah melalui konflik atau kehilangan seperti manusia.
“Filem lahir daripada jiwa. Karya menyentuh perasaan bukan kerana visual semata-mata, tetapi kerana kejujuran emosi dalam penceritaan.
“Jika kita terlalu bergantung kepada teknologi hingga mengabaikan elemen kemanusiaan, kita bukan sahaja kehilangan identiti sebagai pembikin filem, malah kehilangan tujuan seni itu sendiri,” ujarnya.
Tambahnya, sejarah membuktikan setiap perubahan teknologi pernah ditentang sebelum akhirnya diterima sebagai sebahagian daripada evolusi sinema.
“Menolak AI bukan pilihan realistik. Seperti peralihan filem ke digital dan kemunculan CGI, semuanya pernah mencetuskan kebimbangan. Namun akhirnya, teknologi menjadi sebahagian daripada bahasa sinema. AI juga tidak terkecuali.
“Kita perlu belajar menggunakannya untuk memperkukuh kreativiti, bukan menggantikannya. Keseimbangan menjadi kunci,” jelasnya.
Sementara itu, pengarah Adrian Teh melihat teknologi tersebut masih belum mencapai tahap mengancam sepenuhnya.
“Secara keseluruhan, saya melihat AI mampu membantu proses pembikinan filem. Namun untuk menghasilkan keseluruhan filem sepenuhnya menggunakan AI, masanya masih belum tiba,” katanya.














