MASIH segar di ingatan Datin Seri Umayal Eswaran di mana ketika kecil beliau sering melihat pintu hadapan rumahnya jarang tertutup.
Pintu hadapan rumahnya itu sengaja dibiarkan terbuka oleh bapanya yang juga merupakan seorang ahli perniagaan bagi membolehkan orang datang untuk meminta pertolongan.
“Sebagai seorang gadis kecil pada waktu itu, saya tidak begitu faham mengapa ramai orang datang untuk meminta pertolongan bapa.
“Namun, kini saya sedar akan kepentingan polisi ‘pintu terbuka’ tersebut, hal itu mengajar saya bahawa bermurah hati bukanlah tentang sebuah pemberian besar semata-mata tetapi juga adalah sebuah cara hidup,” katanya yang merupakan Pengerusi Yayasan RYTHM. Ia akronim bagi ‘Raise Yourself to Help Mankind’.
Umayal Eswaran dilahirkan dan dibesarkan di Colombo, Sri Lanka sebelum Malaysia menjadi rumahnya setelah beliau berkahwin dengan seorang ahli perniagaan tempatan, Datuk Seri Vijay Eswaran kelahiran Pulau Pinang.
Dibesarkan dalam persekitaran yang suka membantu oleh kedua-dua orang tuanya telah memainkan peranan yang mendalam dalam membentuk jati diri Umayal pada hari ini.
“Ibu bapa saya sangat mementingkan amalan membantu orang lain lebih daripada segalanya dan prinsip ini diperkukuhkan lagi oleh keluarga mentua setelah saya dan suami berkahwin.
“Nilai-nilai inilah yang menjadi asas kepada komitmen saya dalam kerja-kerja sosial dan kemanusiaan terutama bagi golongan rentan dalam masyarakat,” kata Umayal yang baru-baru ini turut tersenarai dalam ‘100 Changemakers in Malaysia of 2025’ oleh Wiki Impact.
Sebagai Pengerusi Yayasan RYTHM, beliau berperanan sebagai pemegang amanah terhadap misi, warga kerja dan perhubungan serta bertanggungjawab menyelia hala tuju strategik bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan adalah selaras dengan falsafah yayasan.
“Namun, melangkaui soal strategi, peranan saya adalah untuk kekal terhubung secara mendalam dengan komuniti yang kami santuni.
“Saya bukanlah seorang pentadbir yang hanya duduk di sebalik tabir. Saya berusaha untuk hadir di lapangan, mendengar dan memahami realiti kehidupan insan-insan yang bekerjasama dengan kami,” ujarnya kepada K-Wanita.

Dalam pada itu, Yayasan RYTHM dibina berasaskan sebuah idea ringkas, namun mencabar iaitu perubahan yang nyata dan berterusan hanya boleh berlaku apabila anda melabur dalam keupayaan manusia untuk mengubah hidup mereka sendiri.
Akronim Yayasan ini menjelaskan segalanya iaitu Raise Yourself to Help Mankind (Tingkatkan Diri Anda untuk Membantu Manusia).
Anda tidak boleh membina sebuah komuniti yang mampan dari luar ke dalam dan perubahan mestilah disemai dari dalam.
Umayal Eswaran berkata, tugas pihak yayasan disusun mengikut tiga teras utama iaitu Pendidikan, Pemerkasaan dan Alam Sekitar.
Terangnya, ini bukanlah bahagian yang berasingan, sebaliknya ia saling memperkukuh antara satu sama lain.
“Seorang gadis yang menerima pendidikan berkualiti akan menjadi seorang wanita yang menyumbang secara ekonomi dan sosial kepada keluarga serta komunitinya.
“Sesebuah komuniti yang mempunyai akses kepada mata pencarian yang mampan dan identiti budaya yang diiktiraf akan menjadi sebuah komuniti yang mampu membela nasib mereka sendiri,” terang wanita yang juga pernah menjadi sorotan TatlerAsia ini.
Di Malaysia, fokus yayasannya adalah terhadap komuniti yang sering dipinggirkan dalam arus perdana kemajuan. Ini termasuk golongan isi rumah B40, masyarakat orang asal atau Orang Asli, kanak-kanak berkeperluan khas serta golongan remaja perempuan daripada latar belakang yang terpinggir.
Matlamat strategik mereka bukan sekadar impak pada skala yang besar tetapi juga impak yang kekal berterusan dengan melaksanakan program-program yang menjadi sebahagian daripada komuniti, institusi dan akhirnya, dasar negara.
Umayal menjelaskan, Yayasan RYTHM mempunyai beberapa program yang dibanggakannya di mana setiap satunya menangani dimensi keperluan yang berbeza.
Misalnya, program Maharani yang yayasan lancarkan pada tahun 2010 mungkin merupakan program yang paling dekat di hatinya.
“Ia adalah sebuah program pemerkasaan holistik untuk remaja perempuan daripada komuniti yang kurang mendapat bimbingan merangkumi kemahiran hidup, kecerdasan emosi, celik kewangan, kesediaan digital dan kebanggaan budaya.
“Lebih daripada 8,500 remaja telah menyertai program ini dan kebanyakannya telah menjadi graduan universiti generasi pertama dalam keluarga mereka,” katanya.
Tambah Umayal, mereka juga bekerjasama dengan Yayasan Pintar untuk membawa program ini ke sekolah-sekolah kebangsaan yang merupakan satu pencapaian besar yang telah diusahakannya selama bertahun-tahun.
Seterusnya adalah program Taarana yang diasaskan pada tahun 2011.
Taarana lahir daripada kepercayaan yang ringkas, namun transformatif iaitu seorang kanak-kanak kurang upaya yang sukar untuk berkomunikasi tidak berniat untuk menyusahkan, sebaliknya mereka tidak didengari.
Taarana merupakan pusat pendidikan mampu milik pertama di Malaysia untuk kanak-kanak berkeperluan khas yang dibina atas prinsip bahawa pendidikan mestilah menyesuaikan diri dengan kanak-kanak dan bukannya sebaliknya.
“Namun, jika anda bertanya yang mana satukah yang paling menyentuh jiwa saya secara peribadi?
“Jawapannya adalah Maharani kerana saya juga pernah menjadi seorang gadis muda dengan impian besar dalam dunia yang tidak sentiasa memberikan ruang untuknya.
“Saya faham erti memerlukan seseorang untuk mempercayai potensi anda sebelum anda sendiri mampu mempercayainya,” terang Umayal.
Pendekatan holistik yang diperjuangkan Yayasan RYTHM adalah pembangunan emosi, sosial, kreatif dan budaya di samping kemahiran akademik, kerana kita tidak boleh memisahkan jati diri seseorang daripada proses pembelajarannya.
Sementara itu, Umayal percaya bahawa amalan memberi bukanlah satu keistimewaan yang dikhususkan untuk golongan berkemampuan sahaja.
Ini adalah amalan yang boleh dilakukan oleh sesiapa pun melalui masa, kemahiran, suara dan kadangkala wang ringgit walaupun bukan wang semata-mata.
“Sebagai seorang individu, perkara paling hebat yang boleh kita lakukan adalah bermula di mana sahaja kita berada, jadilah sukarelawan dengan organisasi yang memperjuangkan isu yang kita ambil peduli.
“Bimbinglah seorang anak muda daripada latar belakang yang kurang berkemampuan, sebarkan usaha murni organisasi akar umbi.
“Jadilah juga penderma yang bermaklumat dengan bertanya bagaimana sumbangan anda digunakan, sama ada komuniti telah diberi suara dalam merangka program dan sama ada impaknya didokumentasikan secara telus,” katanya.
Mengulas tentang harapannya tentang masa depan kerja-kerja kemanusiaan dan pembangunan komuniti di Malaysia, Umayal menitipkan harapan terdalam agar kerja yang mereka lakukan hari ini tidak lagi diperlukan pada masa hadapan.
“Bukan kerana kami telah hilang tetapi kerana komuniti yang kami santuni telah membina keupayaan, keyakinan dan sokongan institusi untuk menerajui masa depan mereka sendiri.
“Secara praktikal, saya juga berharap dapat melihat kerjasama yang lebih erat antara sektor swasta, kerajaan dan masyarakat di Malaysia, kita mempunyai tenaga filantropi yang luar biasa di negara ini serta budaya kerjasama yang murni.
“Namun, sayangnya, gerakan-gerakan sebegini sering kali bergerak secara berasingan tanpa penyelarasan yang jelas dan organisasi yang menangani isu yang sama jarang berbincang antara satu sama lain,” katanya.
Tambahnya, pembiayaan pula lebih cenderung mengikuti populariti berbanding impak dan ketidakcekapan. Ini mengakibatkan kerugian besar dari segi jangkauan dan keberkesanan.
Beliau juga berharap agar dapat melihat komuniti terutama sekali masyarakat Orang Asli dan golongan isi rumah B40 mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan dasar dan bukan sekadar subjek perbincangan semata-mata.
“Perubahan sebenar menuntut agar insan yang paling terkesan dengan ketidaksamarataan yang mempunyai suara paling lantang dalam menyelesaikannya,” katanya.
Akhir sekali, Umayal berharap agar lebih ramai anak muda di Malaysia akan melihat kerja-kerja sosial dan kemanusiaan bukan sebagai kebajikan semata-mata, tetapi sebagai sebuah kepimpinan sivik kerana itulah hakikat sebenarnya.














