KUALA LUMPUR – Pelakon Aniq Suhair terbuka untuk melakukan transformasi pada dirinya termasuk menambah berat badan atau membotakkan kepala demi tuntutan watak dalam mana-mana karya lakonannya.
Menurut Aniq atau naka lengkapnya, Muhammad Aniq Suhair Mohd. Salleh, 26, semua itu adalah usahanya untuk tampil berbeza bagi setiap watak yang secara tidak langsung membuktikan dedikasinya terhadap kerjaya sebagai pelakon.
“Saya okey saja nak ubah penampilan sedia ada. Jika diminta membotakkan kepala atau kening sebelah pun okey sahaja.
“Sebab saya memang suka dan terbuka untuk tampilkan sisi berbeza bagi setiap watak,” katanya kepada Kosmo! Online pada sesi fotografi drama lakonannya, Hanya Untuk Dia di sini, semalam.
Namun, dia memberitahu masih belum diberikan kesempatan untuk menjayakan karakter berbeza daripada sering dilakukannya sebelum ini.
“Saya okey saja kalau nak naik berat badan walaupun 10 kilogram lagi. Manalah tahu dapat karakter baru.
“Tapi, belum ada rezeki lagi untuk dapat watak yang luar biasa setakat ini.
“Selalunya semua mahukan watak lelaki segak dan comel-comel saja,” katanya lagi.
Terbaharu, Aniq bakal memulakan penggambaran Hanya Untuk Dia yang akan mengisi slot Akasia TV3 di samping pelakon, Amylia Aidura. – KOSMO! ONLINE














