fbpx
China mengumumkan akan membekukan eksport asid sulfurik bermula bulan depan. - GAMBAR HIASAN

Dunia bakal hadapi krisis asid sulfurik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAKYAT negara ini dan negara-negara lain kini terbeban dengan lonjakan meroket harga petrol serta diesel disebabkan penutupan Selat Hormuz oleh Iran susulan perang Tehran menentang Washington serta Tel Aviv.

Warga Malaysia wajar bersyukur kerana petrol rakyat jelata, RON 95 masih dilindungi subsidi. Tanpanya, kos mengisi penuh tangki kereta walhal Axia sekali pun adalah melebihi RM100.

Ramai penganalisis menjangkakan situasi harga minyak tinggi itu akan mengundang kesan domino berupa peningkatan harga barangan lain dalam tempoh beberapa minggu lagi atau bulan dengan harga baja dan ubat telah pun meningkat.

Perang tersebut juga sukar diramal, namun sama ada berterusan atau berakhir dengan perjanjian damai, kesan buruknya dijangka berlarutan.

Namun, ada berita lain yang menarik perhatian penulis tentang kesan sampingan perang ini iaitu China mengumumkan akan membekukan eksport asid sulfurik bermula bulan depan.

Pengumuman Beijing itu bagi memastikan bekalan domestik yang mencukupi untuk kemuncak musim penanaman di China, ketika dunia berdepan kekurangan akut bekalan sulfur. Perkataan penting dalam perenggan ini adalah ‘musim penanaman’ yang jelas merujuk kepada bekalan makanan.

Mungkin ramai orang akan berkata, biar saja kerana asid sulfurik tiada kena mengena dengan kami, lainlah petrol dan diesel, komoditi yang diketahui dan digunakan seluruh umat manusia.

Namun, ramai tidak tahu asid sulfurik adalah bahan mentah utama yang menyumbang kepada peradaban manusia.

Kegunaan bahan kimia itu dalam industri sangat meluas. Asid sulfurik digunakan dalam industri bahan api untuk menapis dan menulenkan minyak mentah. Bekalan minyak mentah yang banyak tanpa asid sulfurik ibarat beras berguni-guni tanpa air untuk memasak nasi.

Asid sulfurik juga digunakan dalam pengilangan bahan kimia, membuat bahan pencuci pakaian dan pembersih industri seperti pencuci sinki serta longkang tersumbat.

Lebih utama, ramai yang tidak menyangka bahan kimia itu digunakan dalam pengeluaran farmaseutikal termasuk pelbagai jenis ubat.

Ia juga mempunyai kegunaan meluas dalam pengeluaran tekstil serta fiber khususnya rayon, nylon dan fabrik lain.

Jika Selat Hormuz menjadi laluan 20 peratus bekalan minyak dunia di mana penutupannya jelas mengganggu ekonomi seluruh dunia terutamanya benua Asia, China pula pembekal utama asid sulfurik merangkumi 30 peratus pengeluaran global.

Apabila China menghentikan eksport bahan kimia tersebut pada Mei ini, banyak industri hiliran bakal terjejas, menyaksikan harga baja melambung tinggi dan menjejaskan perlombongan khususnya tembaga.

Akhirnya, banyak produk akhir menggunakan bahan mentah asid sulfurik bakal menyaksikan lonjakan harga, menyebabkan pengguna serta industri terkesan dan semua ini berpunca daripada perang Amerika Syarikat-Israel menentang Iran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN