fbpx
KIMCHI keluaran Yana dihasilkan mengikut cita rasa masyarakat tempatan.

Yana berguru di Korea Selatan buat kimchi terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

FENOMENA K-pop membabitkan muzik, filem dan drama Korea di media massa serta sosial bukan sahaja menyebabkan pelakon dan karyawan dari negara tersebut diminati. Malah, ia turut memberi kesan kepada pelbagai aspek kehidupan seperti makanan dan aktiviti pelancongan.

Salah satu produk makanan popular dari negara tersebut adalah kimchi yang menjadi antara hidangan popular masyarakat Malaysia ketika ini.

Oleh kerana minat kepada K-pop dilihat mempunyai nilai komersial, usahawan tempatan mula mengambil peluang untuk memasarkan kimchi buatan tempatan untuk pasaran domestik.

Untuk makluman, kimchi dibuat hasil proses penapaian sayuran segar termasuk sawi, lobak putih dan timun yang dicampur dengan bawang, garam, cili, cuka, minyak jagung serta halia, sekali gus menghasilkan rasa masin pedas.

Menurut pemilik Got Kimchi Enterprise (Got Kimchi), Norziana Mohamad Azmi, 35, sejak mula memasarkan kimchi di talian e-dagang lapan tahun lalu, sambutan dalam kalangan masyarakat di negara ini amat menggalakkan.

Norziana yang selesa dipanggil Yana berkata, dia sanggup berguru di Korea Selatan bagi mendalami kursus fermentasi makanan untuk menyediakan kimchi dengan teknik terbaik.

“Kimchi yang merupakan makanan tradisi masyarakat Korea kini semakin diterima oleh masyarakat Malaysia sebagai sebahagian sajian harian.

“Setelah yakin kimchi yang digubah mengikut cita rasa Malaysia mampu pergi jauh, saya mengambil keputusan berhenti kerja untuk menumpukan usaha membuat sajian ini untuk pasaran tempatan,” katanya.

Yana ditemu bual K-Wanita pada program lawatan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Dr. Abdul Razak Khasbullah di Sungai Rambai, Banting, Selangor baru-baru ini.

Menurut Yana, dia tidak menyangka usaha kecil-kecilan dengan modal RM200 membolehkannya bergelar usahawan di platform e-dagang.

Katanya lagi, populariti artis K-pop yang mencanak naik sejak lebih sedekad lalu turut membantu pasaran kimchi yang dianggap sebagai makanan tradisi masyarakat Korea Selatan.

“Selagi lagu, artis dan filem K-pop diminati, saya percaya ia ibarat promosi berpanjangan untuk makanan dari Korea Selatan ini.

“Selain kimchi, ada juga makanan lain dari sana turut diminati rakyat kita. Contohnya, japchae yang turut menjadi produk yang saya pasarkan,” katanya.

Yana berkata, makanan seperti kimchi yang dihasilkan di lokasi perniagaannya telah menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan rasanya sesuai dengan cita rasa rakyat di negara ini.

Jelasnya, rasa kimchi sebenar pedas dan mungkin tidak dapat diterima oleh lidah orang kita, maka pihaknya mencari resipi terbaik agar ia diterima oleh semua orang.

“Awal-awal dulu, memang saya belajar menyediakan makanan Korea secara online, iaitu dengan menonton YouTube.

“Jika hendak diikut rasa asli kimchi dari Korea memang sukar diterima sesetengah orang kita.

“Jadi, kami buat sedikit inovasi supaya kena dengan selera semua orang,” ujarnya.

Yana yang pernah bekerja di makmal hospital sebagai juruteknik berkata, setelah hampir sedekad dalam bidang perniagaan makanan Korea, dia telah menerima pelbagai anugerah dan geran daripada agensi kerajaan pusat serta negeri.

Anugerah dan geran keusahawanan yang diterima telah berjaya menguatkan tekadnya untuk meluaskan lagi kawasan kilang miliknya.

“Buat masa ini, saya beroperasi di kawasan berhampiran kediaman keluarga.

“Dengan perniagaan yang semakin meningkat ini, saya ingin meluaskan operasi pengeluaran.

“Alhamdulillah, saya pernah menerima anugerah seperti Ikon Pertanian Selangor 2025 dan Usahawan Berdaya Maju Majlis Amanah Rakyat.

“Anugerah terbesar yang diterima oleh saya adalah daripada Kementerian Desa Dan Wilayah iaitu Anugerah Rural Business Challenge, sekali gus meningkatkan keyakinan saya untuk mengembangkan pasaran makanan Korea,” katanya.

Mengulas mengenai pasaran selain Malaysia, Yana menegaskan, makanan seperti kimchi turut mendapat sambutan dari negara-negara jiran.

Ujarnya, keadaan itu mungkin disebabkan fenomena K-pop turut menular ke negara serantau.

“Produk kami sudah memasuki pasaran Singapura menerusi platform pemasaran produk secara atas talian.

“Pada tahun ini, kami menyasarkan untuk memasuki pasaran Asia Tenggara yang lain seperti Brunei dan Indonesia. Insya-Allah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN