fbpx
STUNTMAN atau stuntdouble lebih terdedah kepada risiko kecederaan berikutan aksi mencabar dilakukan yang memerlukan kemahiran tinggi.

Orang lama undur diri, ‘stuntman’ perlu pelapis baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI sebalik kehebatan sesebuah filem aksi yang meraih pujian khalayak, hakikatnya terdapat pekerja belakang tabir yang memberi sumbangan besar kepada keseluruhan penerbitan sehingga mampu memenuhi ekspektasi kaki wayang.

Individu dimaksudkan itu dipanggil pelakon lagak ngeri atau stuntman dan pelakon pengganti (stunt double) yang banyak melakukan babak berbahaya serta menjadi pengganti kepada aktor mahupun aktres.

Berbeza dengan pelakon lain, kelompok stuntman atau stuntdouble lebih terdedah kepada risiko kecederaan berikutan aksi mencabar dilakukan yang memerlukan kemahiran tinggi.

Andai tersilap langkah atau tidak membuat persediaan rapi sebelum masuk set penggambaran, peratusan untuk berdepan kemalangan lebih terbentang luas.

Menyedari risiko, aktor serta stuntman profesional, Fauzi Nawawi, 53, yang sudah tiga dekad dalam arena lakonan berharap semua pekerja seni terutama pelakon lagak ngeri mempunyai insurans peribadi selain membuat persediaan sebelum beraksi.

Pada masa sama katanya, skim perlindungan berkelompok seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga antara perkara wajib yang perlu dicarum pelakon serta kru produksi.

“Risiko kemalangan atau kecederaan di set dapat dikurangkan jika kita berlatih terutama kalau membabitkan senjata atau di tempat tinggi.

“Namun selain persediaan mental dan fizikal, keutamaan lain adalah insurans. Sekurang-kurangnya ada jaminan untuk meneruskan kehidupan andai kita tercedera atau terpaksa bercuti lama atas faktor kemalangan ketika berlakon.

“Inilah risiko kalau penggambaran mengakibatkan kecederaan fizikal serius seperti tulang patah. Selain gaji serta insurans nyawa sendiri, pekerja seni boleh ambil skim Perkeso,” katanya.

Menurutnya, bayaran bulanan bagi caruman sendiri Perkeso juga sangat rendah, namun membawa manfaat besar termasuk untuk perubatan, hilang upaya serta urusan pengkebumian.

“Mungkin ada yang tak mampu bayar premium insurans kerana tiada pendapatan tetap tetapi kerajaan sediakan skim difahamkan serendah RM13 sebulan, jadi kita ambil pelan ini demi persediaan,” jelasnya.

Walaupun sedia maklum syarikat produksi diwajibkan mengambil insurans berkelompok sebelum memulakan penggambaran, kata Fauzi paling utama adalah kesedaran serta tindakan pekerja itu sendiri.

“Hakikatnya ketika ini pekerja seni tidak mendapat pampasan yang mencukupi sekiranya berlaku kemalangan di set penggambaran

“Tugas sebagai profesional stuntman menuntut banyak pengorbanan, persediaan dan tekanan tetapi kepuasan melihat hasil yang berbaloi.

Menurut Pelakon Lelaki Terbaik Drama Anugerah Skrin 2010 itu, peluang sebagai pelakon aksi juga terbuka luas kepada pelapis baharu memandangkan orang lama sudah ramai undur diri.

“Banyak syarikat produksi memerlukan wajah segar, bahkan banyak filem aksi juga dapat kutipan pecah panggung.

“Stuntman lama macam saya juga dah mula perlahankan rentak kerana faktor usia. Nasihat saya, kalau rasa tiada tenaga seperti dulu, kita bagi ruang untuk orang baharu.

“Bidang ini bukan untuk tunjuk kita hebat tapi sumbangan kita membantu sesebuah filem biarpun tidak dikenali penonton,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN