fbpx
Chauquet bersama alligator gar, spesies ikan pemangsa air tawar saiz ‘monster’ dari Amerika Syarikat. - INSTAGRAM CYRIL CHAUQUET

Cyril Chauquet pemburu ikan gergasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJUJURNYA, minat saya terhadap dunia penyiaran dokumentari memancing sudah bermula lama.

Dokumentari yang berkonsepkan pengembaraan memancing membawa penonton merentas sungai liar, tasik terpencil dan rimba yang jarang dijejaki manusia sentiasa menarik minat pemancing kerdil seperti saya.

Antara dokumentari yang kerap saya tonton adalah River Monster, Monster Fish dan Chasing Monster yang bukan sahaja memaparkan tangkapan ikan semata-mata.

Malah, ia memperlihatkan budaya, cabaran serta hubungan manusia dengan alam.

Tanpa saya sedari, minat itu ak­hirnya membentuk perjalanan saya hari ini sebagai penulis dan penerbit rancangan memancing di televisyen. Salah seorang teraju utama dalam mengolah jalan cerita dokumentari memancing global ialah Cyril Chauquet.

Chauquet

Baru-baru ini, saya berpeluang menemu bual sendiri Chauquet di Empangan Kelau, Raub, Pahang ketika dia sedang melakukan penggambaran siri dokumentarinya yang terbaharu.

Terasa seperti kitaran hidup saya lengkap, daripada seorang penonton, kini saya menulis kisah pengembara yang pernah saya tonton di kaca televisyen dahulu.

Berasal dari Perancis dan dibesarkan di kawasan pergunungan Alps, perjalanan hidupnya tidak bermula sebagai selebriti televisyen, sebaliknya seorang pemancing biasa.

Di sungai dan tasik dingin sekitar Eropah, Chauquet mula mengenali spesies ikan seperti pike serta perch.

CHAUQUET (kiri) bersama kru produksinya ketika memancing ikan toman di Empangan Kelau.

Namun apa yang lebih penting, di situlah lahirnya satu rasa ingin tahu yang tidak pernah padam terhadap dunia luar.

Minat itu kemudiannya berkembang menjadi kerjaya apabila dia memilih untuk bergelar pemandu pancing kepada pelanggan antarabangsa.

Dari satu destinasi ke satu destinasi, Chauquet bukan sekadar membawa pemancing, malah turut menyelami budaya setempat, tinggal bersama komuniti tempatan, memahami cara hidup mereka dan belajar bagaimana memancing menjadi sebahagian daripada identiti di sesuatu lokasi.

Pengalaman inilah yang akhirnya mencetuskan idea untuk menghasilkan satu rancangan televisyen berbeza daripada kebiasaan. Bukan sekadar memancing, malah sebuah pengembaraan manusia.

Dari situlah lahirnya siri seperti Fishing Adventurer, Chasing Monster dan Last of the Giants yang mengangkat misi lebih besar daripada memburu ikan ‘trofi’.

Dalam siri tersebut, Chauquet menjejak spesies ikan gergasi yang semakin sukar ditemui. Ia bukan untuk kemegahan semata-mata, sebaliknya bagi tujuan saintifik, mengumpul data, merekodkan ikan dan membantu usaha pemuliharaan.

Pendekatan ini membezakan beliau dengan ramai hos lain, sekali gus menjadikan setiap tangkapan sebagai satu naratif penting tentang kelangsungan ekosistem.

Malaysia

Kehadiran Chauquet di negara kita, khususnya di Empangan Kelau membuka satu lagi bab menarik dalam perjalanan memancingnya.

Buat pertama kalinya, dia berpeluang memburu ikan toman, spesies ikonik Asia Tenggara yang selama ini hanya berada dalam senarai impiannya.

Walaupun pernah berhadapan dengan spesies ikan bak kepala ular lain di Amerika Syarikat, pengalaman memburu toman di habitat asalnya memberikan dimensi dan pengalaman cukup berbeza.

Dari teknik pancingan hingga tingkah laku ikan, semuanya menuntut pendekatan baharu. Di sinilah letaknya daya tarikan sebenar bagi Chauquet.

Apa yang mencuri perhatiannya, bukan sahaja ikan, malah keadaan persekitaran. Chauquet memuji perairan dan kekayaan biodiversiti di Malaysia, sesuatu yang semakin sukar ditemui di banyak tempat lain di dunia.

Kelestarian biodiversiti

Baginya, pemancing adalah golongan pertama yang perlu peka terhadap perubahan alam kerana mereka yang paling hampir dengan air .

Dalam nada yang tenang tetapi tegas, beliau menekankan bahawa pemuliharaan alam bukan pilihan, tetapi tanggungjawab bersama.

Payara atau ikan ‘pontianak’ yang terkenal di Amazon.

Perkara ini turut disentuh apabila beliau berbicara tentang peranan komuniti pemancing tempatan.

Chauquet melihat generasi muda hari ini semakin sedar akan kepen­tingan amalan tangkap dan lepas, berbanding generasi dahulu yang lebih cenderung untuk membawa pulang hasil tangkapan.

Namun beliau tidak menyalahkan sesiapa, sebaliknya menganggap ia sebagai proses pendidikan yang berterusan. Baginya, ikan bukan hanya sumber makanan tetapi makhluk hidup yang wajar dihormati.

Pengembaraan

Dalam pengembaraan beliau di seluruh dunia, dari Amazon hingga ke kawasan liar di Kanada, Chauquet mengakui bahawa pengalaman paling berharga bukanlah tangkapan ikan yang besar tetapi interaksi dengan manusia.

Dia percaya, ke mana sahaja kita pergi, manusia pada asasnya adalah peramah.

Apabila kita mendekati mereka dengan niat yang murni, kita akan disambut dengan tangan terbuka.

Penulis sempat bergambar kenangan bersama Chauquet ketika sesi temu bual bersamanya.

Dalam konteks memancing, hubungan ini menjadi jambatan yang menghubungkan budaya, bahasa dan sempadan geografi.

Menariknya, Chauquet turut melihat persamaan antara pan­cingan toman di Malaysia dengan pancingan peacock bass di Amazon, terutamanya dari segi teknik power fishing dari kawasan tebing.

Perbandingan ini menunjukkan betapa luasnya pengalaman memancingnya, sekali gus membuktikan setiap lokasi tetap mempunyai identiti tersendiri.

Setiap balingan gewang di perairan asing sentiasa mempunyai elemen kejutan. Itulah yang sentiasa dicari oleh Chauquet.
Tapah

Apabila ditanya tentang spesies yang ingin diburu sekiranya kembali ke Asia Tenggara, tanpa ragu beliau menyebut Wallagonia leeri atau tapah.

Spesies ikan ini terkenal dengan saiznya yang mampu mencecah puluhan kilogram, dilihat mempunyai potensi besar bukan sahaja dari sudut sukan memancing, malah sebagai tarikan pelancongan.

Chauquet menyamakan potensi ini dengan industri pancingan wels catfish di Eropah yang berjaya menarik ribuan pemancing dari seluruh dunia.

Pandangan ini selari dengan aspirasi ramai pemancing tempatan yang mahu melihat ikan tapah diangkat sebagai ikon baharu, setanding dengan toman.

Dengan pengurusan yang baik dan kesedaran tinggi, tidak mustahil sungai-sungai di Malaysia mampu menjadi destinasi utama pemancing antarabangsa.

Chauquet sendiri mengakui bahawa perairan liar seperti Sungai Bernam, Selangor atau kawasan di pedalaman Sarawak menyimpan potensi luar biasa yang menunggu masa untuk diterokai dengan penuh tanggungjawab.

Nilai pengembaraan

Di sebalik semua itu, falsafah Chauquet kekal teguh.

Baginya, memancing adalah tentang pengembaraan, tentang melangkah ke tempat yang belum pernah dijejaki, mencuba teknik baharu dan menerima segala kemungkinan mendatang.

Setiap perjalanan adalah cerita, dan setiap ikan merupakan watak dalam naratif yang lebih besar.

Dalam dunia yang semakin moden dan pantas, pendekatan Chauquet mengingatkan kita bahawa memancing bukan hanya hobi.

Sebaliknya, satu cara untuk kembali kepada asas iaitu menghargai alam, memahami budaya dan mengenali diri sendiri.

Di sebalik setiap balingan gewang atau umpan, tersembunyi satu kisah yang menunggu untuk diceritakan.

Jadi, saksikan musim terbaru dari Cyril yang akan bersiaran pada 2027 di BBC Earth.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN