SHAH ALAM – Dua lelaki mengakui hidup mereka bahagia berkahwin lebih daripada seorang wanita dengan kesemuanya saling menghormati dan memahami peranan masing-masing.
Bagi seorang peguam, Abdul Syaheed Ismail, 44, dia membina kehidupan bersama empat isterinya iaitu Hanisah Mohamad Hadzir, 44, Umun Najwah Hussin, 43, Haryani Ithnen, 49, dan Nor Sabariah Mansor, 38.
Menurutnya, dia mendirikan rumah tangga dengan isteri pertama, Hanisah pada 2004 selepas mengenali rapat ketika menuntut di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak.
“Selepas itu, saya menikahi Umun Najwah yang juga rakan sekolah lama di tingkatan enam secara serentak dengan kenalannya (Haryani) pada 2015.
“Setahun kemudian, isteri pertama dan ketiga memperkenalkan saya kepada Nor Sabariah lalu kami bernikah,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Menurutnya, beliau berani memilih poligami antaranya kerana mahu nasib wanita terutama ibu tunggal mendapat pembelaan sewajarnya dalam perkahwinan selain membantu lebih ramai wanita yang tiada pasangan berkahwin secara sah.
Katanya, cabaran utama dalam hidup berpoligami adalah pengurusan masa, kewangan dan persepsi pihak luar selain masalah cemburu.
“Saya membuat giliran bagi empat isteri mengikut pusingan hari dan perkara itu dipersetujui.
“Dahulu kami memang menetap secara berasingan. Namun, kini dua isteri dalam satu rumah dengan kedua-dua rumah jaraknya kira-kira dua kilometer,” katanya yang mempunyai sembilan anak kandung dan empat anak tiri itu.
Tambahnya, kebiasaannya dia mengadakan perjumpaan bulanan dengan isteri bagi membincangkan isu rumah tangga.
Sementara itu, Hanisah berkata, dia menyokong kuat suaminya dan menerima baik kehidupan bersama tiga madunya.
“Prinsip saya adalah selesaikan apa yang mahu saya buat dahulu. Alhamdulilah, semua madu saling menghormati dan mempunyai ruang masing-masing. Jika ada masalah, kami akan berbincang terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berlainan, kakitangan swasta, Fazreena Noor’Aini, 31, mendedahkan dia kini hidup bahagia dengan dua madunya dan menyifatkan hubungan mereka seperti adik beradik.
Dia yang berkongsi suami, Amirul Hakimin Zuha, 32, dengan dua madunya Amirah Kamaruddin, 29, dan Shahida Dzayuddin, 27, kini menetap sebumbung di sekitar Gombak.

“Kemanisan hidup bermadu itu antaranya apabila suami tiada, kami kawan rapat,”
katanya.
Sementara itu, Amirul Hakimin yang merupakan pengurus sebuah syarikat IT berkata, dia bersyukur kehidupannya berjalan lancar dengan tiga isteri yang dinikahinya antara 2018 hingga 2024.
“Cabarannya adalah membantu isteri beradaptasi dengan realiti sebenar hidup poligami berbanding monogami,” ujar bapa kepada lima anak itu.
Menurutnya, kemanisan hidup bermadu dilihat memberi faedah kepada isteri yang mempunyai masa untuk lebih berehat dan fokus kepada diri sendiri.















