fbpx
Gambar tular kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun di dalam sebuah sangkar yang didakwa terabai di sebuah rumah rakyat di Port Dickson pada Selasa lalu.

‘Budak sangkar pernah dilihat tanpa pakaian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORT DICKSON – Kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang tular berbaring di dalam sangkar binatang di sebuah pe­nempatan rumah rakyat di daerah ini sebelum ini dilihat berkeliaran tanpa sebarang pakaian serta bermain telefon bimbit.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berusia 50-an berkata, dia pernah terserempak de­ngan kanak-kanak tersebut dua bulan lalu dan mula mencari maklumat mengenainya untuk dibantu.

“Kalau penduduk beri makanan atau apa-apa, dia memang tidak ambil, sebab takut dengan orang. Jadi, saya ambil tahu kisahnya untuk membantu selagi boleh.

“Dia sebelum ini tidak terabai seperti ini. Cuma selepas bapa saudaranya meninggal dunia, dia dijaga oleh datuknya yang ada penyakit dementia, manakala, bapanya pula ada masalah mental.

“Jadi, ada jiran-jiran yang baik hati memberikan makanan kepada keluarga berkenaan hampir setiap hari. Cuma bila keadaan sudah terlalu lama, adalah lebih baik lapor kepada pihak berwajib bagi tindakan sewajarnya,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Datuk Dr G. Rajasekaran berkata, atas sikap kemanusiaan serta semangat doktor perubatan, dia ke lokasi aduan bagi menghulurkan bantuan bersama agensi berkaitan.

“Mujur, kanak-kanak ini sihat namun dalam keadaan kotor serta berbau. Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, ibu kanak-kanak ini sudah pun pulang ke Vietnam semasa kanak-kanak ini berusia tiga tahun.

“Kanak-kanak ini dijaga oleh bapa saudara di rumah sama, namun meninggal dunia hujung tahun lalu menyebabkan dia terbiar,” ujarnya.

Terdahulu Kosmo! me­laporkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjaya menyelamatkan kanak-kanak bukan warganegara yang didakwa terabai di sebuah rumah rakyat di daerah ini, di sini, Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Muhammad Yusry Che Dah berkata, kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun berkenaan kini ditempatkan di sebuah pusat penjagaan swasta hasil persetujuan daripada keluarganya.

“JKM dapat laporan pada Isnin lalu, namun semasa tinjauan kali pertama ke lokasi aduan, kanak-kanak berkenaan serta keluarga gagal ditemui.

“Bagaimanapun, keesokan harinya, kita ke lokasi yang sama dan berjaya menemukan kanak-kanak tersebut.

“Kanak-kanak ini yang merupakan warga Vietnam ditemukan dalam keadaan berbau busuk serta kotor.

“Kita telah membawa kanak-kanak ini untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Port Dickson dan kanak-kanak ini te­lah dibenarkan keluar pada hari yang sama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN