fbpx
INILAH saiz purata ikan tenggiri yang kami dapat untuk dua hari trip.

Pesta fast jigging tenggiri di laut Setiu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KALI ini, kami membuat keputusan untuk memancing selama dua hari dan menginap di homestay Lisa Fitri berdekatan Jeti Redang Holiday bagi memudahkan pergerakan.

Aktiviti memancing akan tertumpu kepada teknik fast jigging untuk memburu ikan tenggiri yang sedia maklum banyak di perairan Terengganu terutamanya di kawasan unjam dan karang jenis bertompok-tompok. 

‘Peluru’ seperti jig berat antara 80 hingga 100 gram (g) disediakan awal. Jig-jig ini dipersiapkan dengan assist hook yang diikat dengan wayar dan mata tiga dipasang di bawah berikutan gigi tajam tenggiri selalu membuatkan pemancing berputih mata.

Set pancing yang sesuai untuk  jigging cara ini adalah joran berkekuatan PE1-3 atau PE2-4 yang digandingkan dengan kekili gear ratio tinggi kerana kelajuan menarik jig dari dasar merupakan kunci utama untuk menggoda ikan tenggiri.

Hari pertama

Kami sampai awal, tepat pukul 3.30 pagi. Nasib baik tuan homestay menyambut kami dengan senyuman dan membenarkan kami masuk awal untuk solat subuh. 

Tekong Abe De sudah memesan supaya kami tiba di jeti awal pagi kerana takut bot tersangkut di muara. Seusai subuh, kami terus ke jeti menanti tekong. 

Selepas memunggah masuk barangan, bot terus meluncur laju ke muka kuala. Malangnya, kami masih tidak cukup awal, bot tersangkut juga di beting pasir. 

TENGGIRI saiz kasar yang menghentam jig saya ketika ia turun ke dasar.

Menurut tekong, berkemung­kinan masa itu air mati, tiada jalan lain kami terpaksa turun be­­ramai-ramai menolak bot. Walaupun bot ini besar dan berat dengan dua buah enjin 110 kuasa kuda, namun berkat kerjasama sepasukan, ia dapat juga melepasi air tohor, sebelum terus memecut keluar ke laut lepas. 

Perjalanan jauh

Tekong menyarankan kami agar berehat kerana perjalanan ke unjam pertama mengambil selama masa dua jam setengah. 

Masa tersebut kami habiskan dengan memasang kelengkapan pancing supaya tidak kelam-kabut apabila tiba di destinasi kelak. 

Sebaik sampai, saya telah bersedia dengan joran PE1-3 bersama kekili Shimano Twin Power 4000XG yang diisi mainline 30lb dan diikat shock leader 40lb terus melontar jig jauh dari bot. 

Kedalaman dasar di skrin sonar menunjukkan 55 meter, setelah jig rapat ke dasar, saya mengaraunya laju dan terus mendapat sambaran tenggiri pertama trip berskala 3.6kg.

Kami semua secara berjemaah menerima sambaran banyak ikan tenggiri bersulam dengan ikan tongkol. Memang kami betul-betul bergasak ikan di hari pertama ini sehinggakan tidak sedar jam sudah  menunjukkan pukul 4 petang.  

Tekong mengajak untuk pulang memandangkan perjalanan akan mengambil masa sekitar tiga jam. 

Tepat pukul 7 petang, kami selamat sampai di jeti. Tangkapan hari pertama sahaja sebanyak 19 ekor tenggiri bercampur dengan ikan tongkol. 

Tidur malam itu kami bermimpikan sesi hari kedua yang lebih menarik, harap dapat berpesta tenggiri lagi.

Hari kedua trip

Memandangkan kawasan unjam semalam sangat produktif, tekong terus menghala botnya ke sana. 

Nampaknya kumpulan tenggiri masih ada di unjam tersebut, berkemungkinan disebabkan kawanan ikan-ikan kecil banyak di situ.

KUMPULAN tongkol duduk bersama tenggiri, sebab itu kami bersulam menaikkan dua spesies ikan ini di lokasi yang sama.

Orang lain bergasak tenggiri, saya pula naik ikan kerapu sebagai salam perkenalan. Wira yang semalam kurang menerima sambaran, menjadi hari bertuah pula untuk sesi kedua ini dengan mendaratkan enam ekor tenggiri. Banyak jig kami putus dicukai ikan. 

Menurut tekong, ia menandakan di bawah bot ada banyak kumpulan ikan tenggiri yang bercampur saiznya, ada kecil dan ada besar. 

Masing-masing rasa teruja, walaupun terpaksa kerap menukar jig baharu setiap kali putus. 

Saya yang berada di bahagian belakang bot tiba-tiba menerima sambaran kuat ketika jig sedang turun di dasar. 

Tekong memberitahu, biasanya tenggiri saiz besar suka mengambil jig ketika ia sedang turun ke dasar. 

Benar seperti apa yang dikatanya, tenggiri itu berat hampir tujuh kilogram selepas ditimbang. 

Kumpulan tenggiri galak ­se­hinggalah ke tengah hari, selepas itu suasana menjadi ‘krik, krik, krik’. 

Kami masih tidak duduk diam dan jig sentiasa diturunkan serta dimainkan kerana berpegang kepada nasihat, ‘siapa rajin, pasti rezeki itu ada’.

Nas kena seekor ikan mayong saiz gadang dengan jig dan tangkapan paling tidak dijangka adalah seekor ikan yu sirip hitam berat dalam lingkungan 12kg oleh Hanafi. 

Memandangkan tangkapan sudah melepasi jangkaan kami, dan kebetulan ombak semakin meninggi, tekong menyarankan kami untuk pulang awal. 

Sepanjang perjalanan balik, habis basah kami angkara angin membadai bot. 

Pada pukul 6.30 petang, kami selamat sampai di jeti. 

Jumlah keseluruhan ikan tenggiri untuk hari kedua adalah sebanyak 29 ekor. 

Ia sememangnya satu trip yang amat memuaskan hati dan pasti akan diulang lagi nanti. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN