PERKEMBANGAN teknologi kecerdasan buatan (AI) menyaksikan banyak kecanggihan dibangunkan sekali gus memberi impak kepada manusia sejagat.
AI juga dilihat semakin mempengaruhi pelbagai sektor kehidupan termasuk penjagaan kesihatan yang kini boleh dilakukan secara automatik tanpa perlu berjumpa doktor.
Bayangkan, anda ke klinik kerana masalah kesihatan tetapi bukan untuk bertemu susuk doktor. Itulah yang telah berlaku secara meluas di China.
Apa yang perlu dilakukan ialah pesakit akan berkongsi simptom masalah kesihatan di kabin perubatan digital, One Minute Clinic (OMC) sebelum diberikan ubat mengikut kesesuaian.
Melalui teknologi AI, sistem tersebut mampu menjalankan saringan awal kesihatan tanpa perlu berjumpa doktor secara fizikal.
Kabin ini berfungsi seperti klinik mini yang dilengkapi pelbagai peralatan pemeriksaan kesihatan asas apabila pesakit hanya perlu memasuki ruang kabin dan mengikuti arahan dipaparkan pada skrin.
Dibangunkan oleh syarikat teknologi kesihatan, Ping An Good Doctor (kini dikenali Ping An Health), OMC mula mendapat perhatian menerusi kabin pertama ditempatkan di kawasan pelancongan Wuzhen, China November 2018. Seterusnya diperluas secara operasi komersial merentasi lapan wilayah dan bandar di China sekitar awal 2019.
OMC ketika itu menjadi popular dan kerap digunakan warga setempat terutama saat penularan virus Covid-19. Tanpa perlu bersentuhan, OMC menjadi pilihan kerana masyarakat bimbang risiko jangkitan silang sekiranya mendapat rawatan di hospital.
Menurut Healthcare Magazine, kini dianggarkan sekitar 2,200 kabin telah ditempatkan di seluruh China termasuk di stesen minyak, sekolah dan kawasan perumahan.
“Sewaktu kemuncak pandemik di China (awal 2020), kadar penggunaan kabin OMC meningkat sebanyak 10 kali ganda khususnya di kawasan perumahan dan pejabat kerana mereka tidak perlu bersesak-sesak ke klinik biasa atau farmasi.
“Bukan sahaja rundingan, malah kabin ini juga mempunyai ruang mesin layan diri menjual pelbagai ubat penyakit asas seperti demam, batuk, selesema, sakit kepala atau radang tekak tanpa melibatkan kontak manusia,” lapor media itu.
Tanpa memerlukan ruang yang luas, kabin bersaiz kira-kira tiga meter persegi ini mudah untuk diakses kerana berada berhampiran dengan kawasan awam.
Pengguna hanya perlu masuk ke dalam kabin dan berinteraksi dengan Doktor AI melalui suara atau teks untuk saringan awal menggunakan sebuah skrin sentuh besar di bahagian dalam.
Terdapat alat penderia (sensors) di dalam kabin untuk mengukur tahap tekanan darah, kadar denyutan jantung dan tahap oksigen secara automatik, manakala semua maklumat itu akan dimasukkan terus ke dalam sistem AI.
“Setelah pengumpulan data vital siap, AI akan membuat analisis awal tentang kemungkinan penyakit berdasarkan pangkalan data perubatan yang dimiliki.
“AI kemudian akan memadankan kes pesakit dengan doktor manusia yang paling sesuai (mengikut kepakaran) di pusat perubatan pusat (Cloud Clinic) untuk proses seterusnya,” ujarnya.
Berdasarkan laman web rasmi Ping An Health, pelbagai teknologi canggih seperti Internet of Medical Things (IoMT), pengenalan wajah, pemprosesan bahasa semula jadi dengan rangkaian komunikasi berkelajuan tinggi turut ditempatkan dalam kabin tersebut yang beroperasi 24 jam.
Komponen utama ialah penggunaan penderia biometrik automatik yang dihubungkan terus dengan sistem digital melalui konsep IoMT.
Di dalam kabin turut menempatkan alat perubatan yang boleh digunakan pesakit secara kendiri untuk pemeriksaan awal seperti termometer inframerah (digunakan untuk mengukur suhu badan tanpa sentuhan), sphygmomanometer digital (mengukur tekanan darah) dan oksimeter (memeriksa tahap oksigen dalam darah dan kadar denyutan jantung).
Beberapa kabin terpilih pula akan dilengkapi dengan stetoskop elektronik yang membolehkan pesakit meletakkan stetoskop pada bahagian dada bagi membolehkan doktor dalam talian mendengar bunyi jantung atau paru-paru secara masa nyata.
Teknologi ini membuktikan pemeriksaan asas masih boleh dijalankan walaupun doktor tidak berada secara fizikal di lokasi.
Sistem biometrik wajah pula membuatkan pengguna tidak perlu lagi mengisi borang pendaftaran secara manual kerana rekod kesihatan elektronik atau Electronic Health Record (EHR) akan dipaparkan secara automatik.
Data tersebut membolehkan sistem AI meneliti sejarah perubatan pesakit termasuk rekod penyakit kronik atau alahan terhadap ubat tertentu sekali gus menjadi data penting bagi memastikan sebarang cadangan rawatan atau ubat diberikan tidak menimbulkan risiko kepada pesakit.
Sementara itu, Pemprosesan Bahasa Semula Jadi (NLP) membuatkan sistem AI memahami bahasa harian, dialek tempatan dan pelbagai gaya percakapan pengguna.
Sejurus sesi konsultasi selesai, pesakit boleh mendapatkan ubat secara terus melalui sistem farmasi pintar yang disediakan iaitu mesin layan diri.
Ubat yang ditempatkan dalam mesin layan diri juga akan dipantau oleh sistem kawalan suhu dan kelembapan bagi memastikan tidak rosak serta dapat disimpan dalam keadaan optimum.
Bagi mengelakkan kesilapan pengambilan ubat, sistem ini turut dilengkapi dengan mekanisme keselamatan yang hanya membenarkan ubat dikeluarkan selepas mendapat pengesahan daripada doktor.
Pesakit juga perlu mengimbas kod QR atau mengikuti arahan digital yang diberikan sebelum slot ubat dibuka oleh mesin. Sistem ini turut membantu mengurangkan risiko kesilapan ubat.
Kesemua teknologi ini disokong oleh rangkaian komunikasi 5G serta pengkomputeran awan yang membolehkan pemindahan data berlaku dengan sangat pantas.
Selain menjimatkan masa, teknologi canggih ini turut membantu pesakit membuat keputusan sama ada mereka benar-benar perlu mendapatkan rawatan lanjut di hospital atau tidak.

Sekiranya keputusan saringan menunjukkan keadaan kesihatan stabil, pengguna mungkin hanya memerlukan nasihat penjagaan kesihatan asas, namun jika sistem mengesan tanda-tanda masalah kesihatan tertentu, pesakit akan disarankan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut daripada doktor.
“Beberapa kabin kesihatan pintar di China dilengkapi dengan fungsi konsultasi jarak jauh atau teleperubatan bagi membolehkan pesakit boleh berhubung dengan doktor sebenar secara dalam talian melalui panggilan video.
“Doktor akan meneliti data kesihatan yang dikumpulkan oleh kabin sebelum memberikan nasihat atau cadangan rawatan yang sesuai. Pendekatan ini membolehkan pesakit mendapatkan pandangan pakar tanpa perlu hadir secara fizikal ke hospital,” memetik laporan Medium.com.
Penggunaan AI dalam sektor penjagaan kesihatan juga dilihat membantu meningkatkan ketepatan analisis data perubatan apabila mampu memproses sejumlah besar maklumat kesihatan dengan pantas.
AI juga mengenal pasti corak atau kemungkinan penyakit berdasarkan tanda-tanda yang dikongsikan pesakit untuk dipadankan bersama data terkumpul.
“Selain menjimatkan masa, teknologi ini juga membantu pesakit membuat keputusan sama ada mereka benar-benar perlu mendapatkan rawatan lanjut di hospital.
“Sekiranya keputusan saringan menunjukkan keadaan kesihatan yang stabil, pengguna mungkin hanya memerlukan nasihat penjagaan kesihatan asas. Namun, jika sistem mengesan tanda-tanda masalah kesihatan tertentu, pesakit akan disarankan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut daripada doktor,” menurut laporan sama.
Walaupun teknologi ini menawarkan banyak kelebihan, namun pakar perubatan Dr. Zhang Wenhong menegaskan sistem AI tidak bertujuan menggantikan peranan doktor sepenuhnya.
“Teknologi berfungsi sebagai alat sokongan yang membantu mempercepat proses saringan dan analisis awal. Diagnosis akhir serta rawatan tetap memerlukan penilaian profesional oleh doktor yang berkelayakan.
“Namun begitu, inovasi ini menunjukkan bagaimana teknologi mampu mengubah landskap penjagaan kesihatan pada masa hadapan,” katanya.
Dengan gabungan AI, sistem digital dan teleperubatan, masyarakat berpotensi menikmati akses rawatan yang lebih cepat serta efisien.
Walaupun secara teknikal sistem Doktor AI sudah memadai untuk merawat penyakit, namun berdasarkan undang-undang perubatan dan keselamatan, pesakit perlu melalui pengesahan doktor manusia sebelum ubat dikeluarkan.
“Walaupun AI mempunyai ketepatan diagnosis tinggi (melebihi 95 peratus untuk penyakit umum), namun kebimbangan sekiranya berlaku kesilapan tetap ada.
“Emosi dan intuisi manusia masih diperlukan agar dapat melihat tanda-tanda fizikal yang mungkin terlepas oleh penderia AI, seperti perubahan warna kulit atau riak wajah yang menunjukkan kesakitan melampau.
“Sekiranya berlaku kesan sampingan ubat yang salah, perlu ada individu (doktor) yang bertanggungjawab secara undang-undang, bukan sekadar bergantung kepada algoritma komputer sahaja,” kata Dr. Zhang.














