BAGI kebanyakan umat Islam, Hari Raya Aidilfitri menjadi saat yang dinanti-nantikan selepas sebulan berpuasa.
Syawal sinonim dengan aktiviti berkumpul bersama keluarga tercinta sambil menikmati juadah istimewa dalam suasana kegembiraan.
Namun bagi anak-anak orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, hari raya difahami dengan pengalaman yang lebih sederhana tetapi penuh makna melalui aktiviti harian, kebersamaan keluarga dan rasa kegembiraan.
Itulah kesimpulan mudah yang dapat dibuat pada satu sesi perbincangan kumpulan yang dianjurkan oleh Akademi Permata Impian (Apim) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) di La Pelangi Club House, Semenyih, Selangor baru-baru ini.
Ketua Penyelidik yang juga pensyarah Kanan di UM, Dr. Maisarah Hasbullah berkata, sesi perbincangan itu dihadiri lebih 20 OKU pembelajaran bersama ahli keluarga mereka.
Katanya, anak-anak istimewa itu berkongsi pengalaman dan pemahaman tentang sambutan Hari Raya Aidilfitri berdasarkan apa yang mereka alami bersama keluarga.

Menurutnya, meskipun mempunyai cabaran dalam aspek pembelajaran, namun sebahagian peserta menunjukkan bahawa mereka mempunyai pengetahuan asas tentang hari raya.
“Ada yang menyatakan bahawa Aidilfitri disambut pada 1 Syawal, manakala ada juga yang menyebut solat sunat hari raya dan bersalaman memohon maaf sebagai antara aktiviti penting pada hari tersebut.
“Perkongsian ini menunjukkan bahawa pemahaman mereka tentang perayaan banyak terbentuk melalui pengalaman yang dilihat dan dilakukan bersama ahli keluarga.
“Pendedahan yang konsisten daripada ibu bapa serta persekitaran masyarakat membantu mereka mengenali makna asas perayaan tersebut,” katanya.
Tambahnya, walaupun penerangan berkaitan agama mungkin tidak difahami secara mendalam, namun pengalaman menyertai aktiviti seperti solat sunat hari raya atau persiapan menyambut tetamu membantu mereka membina kefahaman tentang kepentingan hari istimewa itu.
Menurut Maisarah, selain aspek ibadah, perkara yang paling kerap disebut oleh anak-anak berkenaan adalah makanan ketika hari raya.
“Antara perkataan yang sering muncul dalam perbincangan adalah ‘makan’ dan ‘rendang’ yang menggambarkan bahawa juadah tradisional memainkan peranan besar dalam pengalaman perayaan mereka.
“Bagi individu OKU terutama yang mempunyai keperluan pembelajaran khas, pengalaman melibatkan deria seperti rasa, bau dan suasana rumah lebih mudah difahami serta diingati.
“Maka tidak hairanlah makanan tradisional seperti rendang, lemang dan kuih-muih menjadi antara kenangan utama mereka apabila menyebut tentang hari raya.
“Suasana makan bersama keluarga juga menjadi detik penting yang mengeratkan hubungan antara ahli keluarga, sekali gus menjadikan pengalaman perayaan lebih bermakna,” katanya.
Tidak lengkap sambutan Aidilfitri tanpa tradisi pemberian duit raya.
Bagi anak-anak OKU pembelajaran, menerima duit raya merupakan antara perkara yang paling menggembirakan semasa perayaan tersebut.
Bagi salah seorang peserta yang mahu dikenali Daniel Helmi Mansur, 22, pemberian duit raya antara perkara yang dinanti-nanti oleh setiap kali kanak-kanak ketika hari raya.
“Duit raya bukan sekadar wang, sebaliknya simbol perhatian kasih sayang dan penghargaan daripada orang dewasa,” katanya yang dibantu oleh Maisarah dalam menterjemah perasaannya.
Selain makanan dan duit raya, interaksi bersama keluarga turut menjadi antara kenangan penting semasa hari raya.
Beberapa peserta menyatakan bahawa mengambil gambar dengan keluarga ketika sambutan perayaan antara aktiviti yang paling disukai.
Aktiviti tersebut mungkin kelihatan biasa, namun ia sebenarnya mencerminkan kepentingan kebersamaan dalam sebuah keluarga.
Menurut Maisarah lagi, sambutan perayaan seharusnya bersifat inklusif dan memberi ruang kepada semua golongan untuk merasai kegembiraan dan kemeriahan termasuk individu OKU.
“Sokongan keluarga, guru dan komuniti memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak ini dapat menyertai aktiviti, selain menghayati hari perayaan dengan lebih selesa serta bermakna.
“Natijahnya, makna sebenar hari raya bukan hanya terletak pada kemeriahan atau persiapan yang besar, sebaliknya nilai kebersamaan, kasih sayang dan kegembiraan dikongsi bersama,” katanya.














