PETALING JAYA – Kenderaan rekreasi (RV) atau motorhome mendapat permintaan tinggi sempena Aidilfitri kali ini, sekali gus menjadi antara pilihan bagi mereka yang mempunyai wang dan mementingkan keselesaan ketika menempuh kesesakan pulang beraya ke kampung.
Dengan sewa bermula RM500 hingga RM2,000 sehari bergantung kepada jenis RV, pengguna dapat menikmati kemudahan seperti tandas dan tempat duduk yang boleh diubah menjadi katil.
Terdapat motorhome yang dilengkapi dengan perkakasan seperti ketuhar mikro, peti ais, dapur induksi, televisyen dan penyaman udara.
Pengusaha RV Life Motorhome, Fathuddin Sarfaraz Ramli berkata, syarikatnya yang beroperasi sejak 2022 memiliki 40 buah motorhome untuk disewa dengan hampir separuh ditempah bagi kegunaan musim Aidilfitri tahun ini.
“Ada yang sudah tempah sebelum Ramadan. Separuh daripadanya jenis ‘top-top’ (lebih besar, jenis baharu). Yang tinggal motorhome bersaiz kecil,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Berdasarkan rekod, pelanggan yang pulang ke Kelantan paling ramai membuat tempahan RV diikuti Johor. Fathuddin turut menerima tempahan dari perantau di Sarawak yang pulang bercuti atau beraya di Semenanjung.
“Tidak perlu pening kepala mencari hotel. Dalam motorhome ada tempat tidur, ruang rehat dan juga tandas,” katanya.
Bagi motorhome model lama bersaiz kecil, ia boleh memuatkan empat orang dan bilangannya boleh mencecah 10 orang bagi kenderaan bersaiz besar.
Sementara itu, pemilik Karysma Motorhome, Ahmad Hazwan Zahari berkata, sewaan RV sepanjang Aidilfitri ini menggalakkan apabila tempahan diterima bermula sebelum raya sehingga hujung bulan ini.

Katanya, dia menerima tempahan daripada pelanggan yang mahu pulang ke Kedah pada 19 hingga 24 Mac, diikuti Melaka dari 25 hingga 28 Mac dan Terengganu dari 29 hingga 31 Mac.
“Saya mempunyai sebuah motorhome dan ia boleh memuatkan kira-kira lima orang dengan kadar sewa sebanyak RM500 sehari. Jadi sambutan amat menggalakkan untuk raya kali ini.
“Mereka memilih untuk menyewa motorhome mungkin kerana bilik tidak cukup di kampung selain dilengkapi kemudahan tandas dan boleh tidur sepanjang perjalanan di lebuh raya yang sesak,” katanya.
















