PONTIAN – Ketika umat Islam lain bergembira menyambut Aidilfitri bersama keluarga, masih ada segelintir pengawal keselamatan yang terpaksa mengorbankan detik indah itu demi menjalankan tanggungjawab.
Bagi Azrewanna Azmi, 40, pengorbanan itu bukan lagi sesuatu yang asing kerana sepanjang 18 tahun bergelar pengawal keselamatan, dia tidak pernah sekali pun menyambut pagi 1 Syawal di rumah.
Katanya, dia terpaksa menghabiskan waktu istimewa itu di pondok pengawal Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bunyi, di sini.
“Dahulu memang terasa sedih dan sayu apabila tengok orang lain beraya dengan keluarga, tapi lama-kelamaan saya sudah lali. Tugas tetap perlu diutamakan,” katanya ketika ditemui di SK Sungai Bunyi, di sini.
Katanya, tanggungjawab menjaga harta benda kerajaan tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan apabila kebanyakan premis ditinggalkan kosong.
Suaminya, Mohd. Sharul Nizam Rusman, 33, yang juga pengawal keselamatan di sekolah lain, turut melalui situasi sama apabila tidak berpeluang bercuti pada hari pertama Aidilfitri sepanjang 18 tahun berkhidmat.
Bagaimanapun, pasangan itu sudah membiasakan diri dengan rutin tersebut, termasuk menyediakan juadah hari raya lebih awal pada malam sebelum bertugas.
“Anak-anak pun sudah faham keadaan kami. Biasanya kami siapkan ketupat dan lauk pada malam raya supaya mereka tetap dapat menikmati suasana hari raya,” ujarnya.
Dia turut dibantu seorang lagi pengawal keselamatan wanita, Sahrazuani Razuani, yang bertugas bersama pada waktu siang, manakala dua lagi rakan lelaki mengambil alih tugas pada waktu malam.
Bagi Sahrazuani, 36, dia telah membuat persiapan lebih awal untuk empat anaknya yang berusia 9 bulan hingga 15 tahun sebelum keluar bertugas pada pagi raya.
“Suami saya yang bekerja sebagai pemandu lori akan membantu menguruskan anak-anak di rumah supaya mereka tetap dapat menikmati juadah raya,” katanya.
Ujarnya, mereka juga biasanya membawa ketupat, rendang, ayam masak merah serta kuih-muih untuk dinikmati bersama rakan sekerja ketika bertugas.














