fbpx
ZULKIFLI (dua dari kiri) dan Muhammad Firdaus (kiri) bersama dua rakan mereka berbuka puasa di Dubai baru-baru ini.

Tersadai di Dubai akibat perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – “Biarpun rindu untuk balik beraya di Malaysia, saya reda beraya di perantauan disebabkan berisiko tinggi jika pulang.”

Itu luahan Zulkifli Abdul Kadir, 50, yang bekerja sebagai pengurus projek sebuah syarikat minyak dan gas berpangkalan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang pasrah untuk beraya bersama rakan-rakan disebabkan konflik di Asia Barat yang masih belum reda.

Katanya, sudah setahun dia tidak pulang ke Malaysia dan konflik berkenaan yang bermula sejak awal bulan ini memusnahkan harapannya yang dijadualkan berlepas pulang pada 13 Mac lalu kerana tiket kapal terbang­nya dibatalkan oleh syarikat penerbangan.

Katanya, penutupan ruang udara menyebabkan dia bersama 20 lagi rakan-rakan senegara bersedia untuk beraya di perantauan walaupun perasaan rindu kepada keluarga di tanah air begitu menebal.

“Perasaan bimbang sememangnya ada kerana apa-apa sahaja boleh berlaku, cuma saya harap peperangan ini akan segera berakhir.

“Saya hanya menghubungi anak-anak dan isteri melalui panggilan telefon pada masa ini bagi mengubat kerinduan dan agar mereka tidak bimbangkan keadaan saya di sini,” katanya yang berasal dari Sungai Koyan, Lipis dan mempunyai lima orang anak.

Dia yang menetap di Johor Bahru berkata, pada masa ini operasi syarikat sememangnya terganggu menyebabkan mereka lebih banyak melakukan kerja dari rumah atas arahan pihak berkuasa di negara itu.

Katanya, pengalamannya menyaksikan bangunan yang terbakar dan serangan bertalu-talu sememangnya amat menakutkan.

“Kami di sini hanya mampu berdoa agar dilindungi Allah dan kami meneruskan aktiviti Ramadan seperti menunaikan solat tarawih,” katanya.

Seorang lagi rakyat Malaysia, Muhammad Firdaus Md. Amin,45, berkata, dia yang sebelum amat berharap dapat pulang beraya selepas membeli tiket pada 17 Mac lalu turut pasrah dengan keadaan di rantau ber­kenaan.

Katanya, dia bersedia beraya di Dubai kerana faham risiko yang perlu ditanggung apabila bekerja di luar negara.

“Saya berdoa dan meminta semua rakyat Malaysia mendoakan keselamatan kami dan perang segera berakhir,” katanya yang berasal dari Pasir Gudang, Johor.

Seorang lagi rakyat Malaysia Faitulmuen Burhanudin,44, berkata, dia sentiasa menghubungi keluarganya di Pulau Pinang supaya mereka tidak bimbangkan dengan keadaannya.

Katanya, jika perang berterusan dalam tempoh lama sememangnya dia berharap kerajaan dapat membantu mereka pulang ke tanah air.

“Saya yang bekerja di Dubai pada April 2025 sebagai jurutera sememangnya terkejut dengan konflik ini dan raya kali ini sememangnya amat berlainan bagi kami semua,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN