Double strike ikan GT di Pulau Selang pada lewat petang pada hari pertama trip (kanan).

Santai mengilat gewang bersama isteri di pulau legenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PULAU legenda Langkawi di Kedah sememangnya terkenal dengan gugusan pulaunya yang cantik dan pantainya yang indah. Ia juga me­rupakan lokasi percutian kegemaran saya dan isteri untuk beristirahat sambil meneroka hobi memancing bersama.

Sebelum ke sana, saya sempat menghubungi sahabat saya Zubir atau lebih dikenali sebagai Beq yang juga seorang tekong bot berpengalaman di Langkawi.

Menurutnya, waktu saya sampai di Langkawi nanti, kondisi cuaca paling sesuai untuk mengilat ikan gerepoh atau giant trevally (GT) dan mencandat sotong mengabang.

Mendengarkan info tersebut, terus peralatan memancing yang bersesuaian saya bawa bersama. Isteri saya yang masih baru berjinak dalam dunia memancing juga amat teruja untuk mendapatkan tangkapan ikan pertamanya pada kunjungan kali ini.

Kami disambut Beq sejurus keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi untuk ke hotel dan selesai urusan daftar masuk, kami terus bersiap untuk turun mengilat.

Jeti Teluk Baru yang terletak hanya 15 minit dari hotel kami menginap di Pantai Chenang sememangnya memudahkan segala urusan.

Bermula mengilat

Spesies ikan sasaran pada trip kali ini adalah ikan GT, cencaru saiz kasar atau digelar cencaru kuda dan juga sotong mengabang. Perjalanan bot diiringi keadaan cuaca yang baik, membuatkan kami lebih optimis dengan trip kali ini.

Peralatan yang kami gunakan ialah joran mengilat dari kelas medium dan medium light panjang 6’6” (fast action), tali utama berkekuatan 20 paun (lb), dan shock leader fluorocarbon 40lb untuk menahan asakan GT yang gemar menerjah ke kawasan berbatu untuk memutuskan tali.

Gewang pula, kami guna jenis tenggelam (sinking minnow) saiz antara 7 hingga 10 sentimeter (sm). Warna gewang yang dipilih lebih semula jadi seperti silver dan red head kerana kondisi air yang jernih membuatkan ikan lebih peka dan berhati-hati.

Ikan cencaru sudi menghentam gewang jika ia bersaiz besar.

Kaedah mengilat ialah dengan melempar gewang ke arah tebing berbatu sekitar pulau-pulau yang berpotensi kerana ikan GT selalunya akan menyerang hendap mangsanya di kawasan tersebut.

Sebaik sahaja gewang dibaling, biarkan ia tenggelam selama satu atau dua saat sebelum membuat karauan sederhana pantas disertai beberapa rentapan pendek (jerk) pada hujung joran.

Jika gewang dibiarkan tenggelam terlalu lama, peratusan untuk ia tersangkut di celah struktur batu semula jadi itu adalah tinggi. Ikan

GT selalunya hidup secara berkumpulan, sekiranya salah seorang berjaya mendapatkan seekor di satu-satu lokasi, berkemungkinan besar masih ada lagi kawanannya di situ.

Jadi, teruskan membuat lontaran gewang di kawasan yang sama beberapa kali kerana peluang untuk mendapat double strike ikan GT adalah tinggi.

Tidak lama setelah beberapa lontaran dibuat ke arah salah satu tebing berbatu di Pulau Singa Besar, gewang saya dan isteri disambar serentak dan kedua-dua ikan GT itu berjaya dinaikkan dengan bantuan tekong.

Ini adalah kali pertama isteri saya mendaratkan ikan GT, walaupun bersaiz juvenil, ia sudah cukup membuatkan dia teruja kerana ikan ini terkenal bersikap agresif ketika menghentam gewang dengan daya juangnya yang kuat.

Petang itu kami berjaya mendaratkan tujuh ekor ikan GT dan kami double strike sebanyak tiga kali, salah satunya di Pulau Selang yang terletak berhampiran dengan jeti.

Isteri saya yang pada mulanya kekok dan cemas ketika mengendalikan larian ikan GT berkesudahan lebih yakin dan tenang semasa mendaratkan tangkapannya.

Hari kedua

Di sebelah pagi kami memulakan sesi dengan mencandat (eging) sotong mengabang di Pulau Beras Basah dan Pulau Kentut Kecil.

‘Orang rumah’ penulis betul-betul gembira apabila dapat mencandat sendiri ‘lauk’ kegemarannya.

Candat sotong dengan profil warna yang terang seperti hijau, pink dan oren didapati amat efektif ketika trip ini. Saya dan Beq berjaya mendaratkan sotong mengabang bersaiz kasar dengan menggunakan candat saiz 2.5 dengan berat 10 gram di kawasan berkedalaman antara dua hingga tiga meter (m).

Isteri saya juga tidak melepaskan peluang dengan mendaratkan beberapa ekor sotong mengabang di kawasan yang sama. Selepas itu kami pulang semula ke hotel untuk makan tengah hari berlaukkan sotong mengabang yang segar.

Sesi petang disambung semula dengan acara mengilat di sekitar kawasan tebing berbatu untuk mencari GT dan cencaru kuda. Kawasan yang menjadi sasaran ialah di bahagian utara Langkawi.

Lontaran demi lontaran dan tidak lama selepas itu gewang isteri saya disambar rakus pemangsa. Setelah beberapa ketika, dia berjaya mendaratkan cencaru kuda menggunakan sinking minnow saiz 7sm.

Pecutannya yang bertenaga diiringi jeritan drag sememangnya membuatkan semua pemancing teruja tidak kira yang masih baharu atau sudah lama. Selepas itu, kami berjaya mendaratkan beberapa
ekor ikan GT lagi sebelum pulang ke jeti.

Kesimpulannya, trip kali ini sukses dengan hasil tangkapan yang memuaskan kerana kami berjaya mendaratkan spesies ikan target. Lebih manis apabila ‘buah hati’ saya berjaya mendapatkan lesen GT pertamanya dan kami juga berjaya double strike GT beberapa kali sepanjang trip kali ini.

Senyuman yang terpancar pada muka isteri saya jelas menunjukkan bahawa dia akan menjadi ahli tetap untuk trip-trip memancing seterusnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN