SKANDAL tempat kerja kini bukan lagi menjadi satu isu terpencil dalam kalangan masyarakat, malah ia telah menjadi satu fenomena yang wajar membimbangkan.
Terkadang, ada pasangan berstatus suami dan isteri orang di tempat kerja yang sama memilih untuk menjalinkan hubungan sulit.
Lebih membimbangkan hubungan yang pada mulanya hanya sekadar suka-suka telah membawa kepada hubungan terlarang.
Skandal di tempat kerja juga menjadi faktor kepada keruntuhan rumah tangga suami isteri yang sebelum ini terjalin atas dasar cinta dan sayang antara satu sama lain.
Mengapa masalah tersebut boleh berlaku dalam masyarakat kita?
Pensyarah Kanan di Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Atifah Ahmad Yusof berkata, tidak dapat dinafikan bahawa persekitaran kerja hari ini menuntut interaksi yang dekat dan perbincangan rapat antara lelaki dan perempuan.
Namun begitu, interaksi yang dekat ini tidak membenarkan hubungan yang rapat dan jarak fizikal yang dekat sehingga melanggar batas agama.
“Dalam suasana hari ini, sempadan profesional menjadi kabur jika tidak dikawal dengan nilai agama.
“Hal ini terjadi contohnya apabila lelaki dan perempuan berbincang berdua di ruang yang boleh menimbulkan syak wasangka,” katanya.
Tambahnya, dalam berbual itu pula, boleh jadi ia di luar topik yang tidak sesuai dibincangkan oleh lelaki dan perempuan ajnabi seperti hal peribadi, hal rumah tangga atau hal pasangan.
Ia boleh juga dicetus oleh pujian dan gurauan berlebihan, sering makan berdua, perjalanan kerja berdua, komunikasi larut malam dan lain-lain lagi yang menjemput makhluk ketiga yang tidak diundang iaitu syaitan.
Dr. Atifah menjelaskan, kajian psikologi menunjukkan majoriti hubungan sulit bermula sebagai emosional affair, bukan hubungan fizikal.
“Ia sering bermula apabila seseorang merasa lebih difahami oleh rakan sekerja berbanding pasangan di rumah, atau apabila seseorang sering berkongsi masalah rumah tangga dengan rakan berlainan jantina.
“Interaksi sebegini memberi peluang kepada kebergantungan emosi, yang akhirnya membuka pintu kepada hubungan sulit,” ujarnya.
Tambahan pula, normalisasi budaya hubungan bebas melalui media sosial dan drama hiburan menjadikan skandal seolah-olah perkara biasa.
Istilah seperti ‘office husband’, ‘office wife’ dan ‘office soul mate’ mula diterima sebagai gurauan ringan sedangkan ia sebenarnya permulaan bibit bahaya.
Selain itu, teknologi turut memudahkan hubungan rahsia di mana aplikasi pesanan peribadi memberi ruang untuk komunikasi tanpa batas.
Dr. Atifah berkata, Islam tidak menolak kerjasama antara lelaki dan wanita di tempat kerja.
“Namun, Islam menetapkan garis panduan yang jelas iaitu menjaga pandangan, menjaga aurat, mengelakkan khalwat, bercakap dengan nada yang sopan, tidak melembutkan suara, menjaga jarak professional, dan mengelakkan apa sahaja yang membangkitkan syahwat atau menarik perhatian berlebihan.
“Semua garis panduan ini bukan bertujuan menyekat, tetapi untuk menjaga maruah, kehormatan, dan kestabilan institusi keluarga yang menjadi asas kekuatan masyarakat,” katanya.















