NILAI – Mengambil keberkatan Ramadan, seorang peniaga tampil dengan idea jualan amal roti john berharga RM1 sebungkus yang dilakukan bagi membantu golongan kurang berkemampuan dan asnaf.
Mohd. Tarmimi Mohd. Sharap, 39, berkata, jualan amal itu dibuat setiap hari Jumaat bermula pukul 4 hingga 5 petang dengan 100 bungkus roti john disediakan untuk dijual di Bazar Ramadan Jalan BBN 1/2A di sini.
Pada hari lain, Mohd. Tarmimi turut menyediakan jumlah yang sama bagi memenuhi permintaan pelanggan, namun pada harga RM7 sebungkus.
“Jualan amal roti john RM1 ini sebenarnya tiada untung. Kami berniaga sambil bersedekah kepada mereka yang kurang mampu.
“Tujuan utama inisiatif ini adalah untuk memberi manfaat kepada golongan B40 dan asnaf agar mereka turut dapat merasa juadah tersebut pada harga serendah RM1.
“Menu yang disediakan adalah sama setiap hari iaitu roti john dan kualiti produk tetap dijaga walaupun dijual pada harga RM1,” katanya yang memberitahu inisiatif tersebut turut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Penduduk Nilai.
Menariknya, jualan amal itu bukan sahaja mendapat sambutan penduduk setempat, malah turut dikunjungi pembeli dari Melaka, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.
“Kami gembira dapat melihat mereka yang kurang berkemampuan dapat membeli dengan harga RM1 dan berharap inisiatif seperti ini akan dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.














