fbpx
ROSLAN (tengah) bersama pekerjanya menyiapkan martabak yang ditempah pelanggan di Bazaar Ramadan Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini. – SYAKIR RADIN

Martabak resipi warisan dari Kelantan jadi tumpuan bazar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP bazar Ramadan di negara ini pasti meriah dengan pelbagai juadah yang dijual untuk hidangan berbuka puasa.

Di sebalik kemeriahan bazar Ramadan di sekitar ibu kota, nama Murtabak Muslim Kuala Lumpur (MMKL) terus menjadi sebutan saban tahun.

Dikenali dengan keenakan rasa dan saiznya yang besar, martabak itu bukan saja dijual untuk berbuka puasa, malah membawa bersama warisan resipi turun-temurun dari Kelantan.

Menurut pengasasnya, Roslan Hussin, 64, dia memulakan perniagaan itu dengan berbekalkan resipi keluarga yang diwarisi sejak generasi terdahulu.

“Kekuatan utama murtabak kami terletak pada keaslian ramuan dan teknik penyediaan yang tidak pernah diubah, walaupun perniagaan semakin berkembang.

“Sepanjang Ramadan tahun ini, MMKL membuka 13 cawangan di bazar Ramadan sekitar ibu kota dan Selangor.

“Ia bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui K-Remaja di Bazaar Ramadan Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara lokasi tumpuan pelanggan termasuklah Kampung Baru, Setapak, Sungai Besi, Keramat, Pandan Indah dan Ampang.

Kehadiran MMKL di pelbagai lokasi strategik dapat memudahkan pelanggan setia mendapatkan martabak tanpa perlu bergerak jauh, sekali gus membuktikan jenama itu semakin kukuh dalam masyarakat.

Kongsi Roslan, keistimewaan martabak MMKL terletak pada keaslian resipi dari Kelantan yang dikekalkan sepenuhnya.

Setiap proses dilakukan dengan teliti, bermula dengan penyediaan inti daging dan ayam yang diperap bersama campuran rempah khas, sehinggalah kepada teknik melipat serta menggoreng di atas kuali.

Roslan menunjukkan ketebalan martabak MMKL.

“Semua rempah-ratus yang digunakan dibeli dari Kelantan bagi memastikan aroma dan rasanya menepati cita rasa asal.

“Pemilihan bahan mentah segar serta kawalan kualiti yang ketat menjadi keutamaan agar setiap murtabak yang dijual mengekalkan standard rasa di semua cawangan,” ujar anak jati Pasir Putih, Kelantan itu.

Selain keenakan inti yang padat dan berempah, doh martabak juga dihasilkan sendiri bagi memastikan teksturnya lembut di bahagian dalam dan rangup di luar.

Apabila digoreng sempurna, aroma harum rempah dan bawang akan menarik perhatian pengunjung.

Jadi, tidak hairanlah gerai MMKL sentiasa menjadi tumpuan pelanggan pada setiap petang sepanjang bulan Ramadan ini.

Lebih membanggakan, perniagaan itu kini turut diusahakan oleh anak-anak Roslan.

Mereka membantu mengurus operasi di setiap cawangan, daripada penyediaan bahan mentah, penyelarasan pekerja sehinggalah aspek logistik dan pemasaran.

Penglibatan generasi kedua itu bukan sahaja dapat memastikan kelangsungan perniagaan keluarga berkenaan, malah membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat ketika Ramadan.

Menurut Roslan, cabaran utama apabila membuka 13 cawangan serentak adalah untuk memastikan kualiti rasa dan perkhidmatan kekal konsisten.

“Bagi tujuan itu, setiap pekerja diberi latihan khusus tentang cara penyediaan mengikut standard yang telah ditetapkan.

“Saya percaya, kejayaan sebenar bukan pada jumlah jualan, tetapi kepuasan pelanggan yang kembali membeli pada setiap tahun,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN