PERANTI mudah alih sehingga kini masih tampil dengan reka bentuk serupa sejak sekian lama.
Terbaharu, evolusi telefon pintar daripada peranti bergaya seragam kepada sesuatu yang lebih dinamik, responsif dan pintar dilihat semakin menjadi realiti.
Hal ini bakal berlaku menerusi gambaran Honor Robot Phone (Robot Phone) yang muncul sebagai satu inovasi berbeza.
Jenama itu membawa konsep telefon pintar ke dimensi baharu dengan menggabungkan kecerdasan buatan (AI), mekanisme robotik unik dan kemampuan pengimejan profesional yang belum pernah dilihat dalam telefon pintar biasa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, PSAV Global (Rakan Kongsi Rasmi untuk Telefon Pintar Honor), C.P. Khandelwal, ‘telefon robot’ keluaran Honor menandakan era kecerdasan baharu, di mana telefon pintar berkembang melangkaui fungsi untuk menjadi teman intuitif.
“Melangkaui evolusi teknologi, kami di PSAV Global akan mentakrifkan semula bagaimana manusia dan mesin wujud bersama.
“Ketika kami melangkah ke zaman AI, tumpuan kami adalah untuk mencipta pengalaman yang semula jadi, empati dan peribadi.
“Teknologi ini bukan sahaja bertindak balas kepada anda, tetapi memahami anda,” katanya menerusi artikel dalam explorehonor.com.
Berdasarkan rangkuman laporan media antarabangsa, peranti itu dijangka menjadi tumpuan utama pada Mobile World Congress (MWC) 2026 di Barcelona, Sepanyol pada awal bulan ini.
Honor merancang untuk mendedahkan semua butiran rasmi tentang telefon tersebut selepas beberapa kali memperlihatkan konsepnya menerusi teaser dan demo awal.
Pada pandangan pertama, Robot Phone kelihatan seperti telefon pintar konvensional dengan panel belakang yang agak besar.
Namun di dalamnya tersembunyi satu elemen yang paling unik iaitu modul kamera yang dipasang pada lengan robotik dengan sistem gimbal tiga paksi.
Modul itu bukan sekadar kamera biasa tetapi direka untuk bergerak secara bebas, berputar dan menjejaki subjek, meniru gerakan kepala yang memberi impak visual seperti watak robot dalam filem animasi.
Ciri tersebut bukan sekadar gimik, sebaliknya ciptaan yang membolehkan peranti mengambil gambar dan video dari sudut sukar, selain mampu melakukan penyesuaian secara automatik.
Pada CES 2026, Honor telah menunjukkan prototaip telefon robot dengan ‘lengan’ kamera yang dapat dilipat masuk dan keluar, sekali gus menarik minat ramai pengunjung, biarpun belum berfungsi sepenuhnya.
Demonstrasi awal itu memberi gambaran bahawa Robot Phone bukan hanya satu ciptaan berani tetapi juga nyata, dengan mekanisme kamera aktif dapat dilihat bergerak dengan lancar.
Walaupun pada ketika itu Honor masih belum membuka semua spesifikasi teknikalnya, namun antisipasi terhadap versi yang lebih lengkap akan dipamerkan pada MWC.
Salah satu aspek yang sering dibincangkan dalam artikel antarabangsa, bagaimana Robot Phone boleh menjadi alat yang sangat relevan untuk pencipta kandungan (content creators), vlogger dan pengguna yang gemar mengambil video secara hands-free.
Dengan kemampuan gimbal yang tertanam secara langsung dalam peranti, pengguna berpotensi menghasilkan video lebih stabil tanpa memerlukan aksesori tambahan seperti tripod atau stabilizer luaran.
Ciri auto-tracking juga dijangka dapat memudahkan tangkapan imej bergerak, di mana kamera dapat mengikuti subjek dan merekod dari pelbagai sudut tanpa perlu memegang telefon secara manual.

Dalam beberapa siaran berita antarabangsa, Honor menggambarkan Robot Phone lebih daripada sekadar telefon pintar, ia adalah ‘spesies’ baharu peranti AI yang menandakan transformasi dalam cara kita berinteraksi dengan gajet harian.
Menurut satu kenyataan rasmi yang didedahkan Honor, telefon itu adalah sebahagian daripada Honor Alpha Plan iaitu strategi jangka panjang syarikat tersebut untuk mengambil peranan penting dalam ekosistem peranti pintar berasaskan AI di peringkat global.
Fokus utamanya bukan sekadar membawa ciri kamera robotik, sebaliknya menggunakan kecerdasan multi-modal yang dapat memahami dan menyesuaikan diri dengan persekitaran serta tingkah laku pengguna.
Namun seperti semua inovasi teknologi yang radikal, Robot Phone juga menimbulkan persoalan dan cabaran tersendiri.
Salah satunya adalah dari segi ketahanan dan kebolehpercayaan mekanisme bergerak, apabila lengan robotik serta motor digunakan dalam badan telefon yang kompak.
Ini menimbulkan kebimbangan tentang ketahanan jangka panjang dan risiko kerosakan dalam penggunaan harian.
Komponen yang boleh bergerak biasanya lebih kompleks dan sukar untuk dikekalkan, berbanding bahagian statik pada telefon pintar biasa.
Masalah seperti debu, kelembapan atau hentakan ringan juga boleh memberi impak langsung kepada prestasi mekanisme robotik tersebut.
Walaupun Honor belum memberikan penjelasan teknikal penuh tentang cara mereka menyelesaikan isu-isu itu, namun merupakan aspek yang akan diperhati rapat oleh pengulas teknologi.
Selain itu, masih terdapat kekosongan maklumat tentang butiran spesifikasi lain seperti cip pemprosesan, kapasiti bateri, sistem operasi lengkap, harga dan tarikh jualan rasmi.
Honor memilih untuk menyimpan semua persoalan itu sehingga pengumuman rasmi di MWC Barcelona.
Ramai penganalisis industri berpendapat bahawa apabila butiran tersebut diumumkan, Robot Phone mungkin akan dilihat sebagai telefon premium dan berpotensi berharga tinggi.
Hal ini kerana integrasi teknologi robotik dan AI yang kompleks biasanya memerlukan kos pembuatan lebih tinggi.
Perbincangan dalam komuniti teknologi antarabangsa juga menunjukkan pelbagai reaksi terhadap Robot Phone.
Di Reddit, ada yang memuji keberanian Honor untuk melangkah keluar daripada reka bentuk telefon pintar konvensional.
Namun, terdapat juga mereka yang yang meragui sama ada pengguna umum benar-benar memerlukan ciri robotik sedemikian dalam telefon mereka.
Sesetengah pengulas mengekalkan pandangan bahawa telefon dengan kamera gimbal bersepadu boleh menjadi alat khusus yang sesuai untuk golongan tertentu, seperti pembuat video atau jurugambar.
Bagaimanapun, terdapat juga pandangan bahawa teknologi robotik itu membuka pintu kepada kemungkinan yang selama ini tidak pernah dibayangkan dalam dunia telefon pintar.
Jika Honor berjaya membawa konsep tersebut ke pasaran sebenar dengan prestasi yang lancar, ketahanan jangka panjang dan harga kompetitif, Robot Phone boleh menjadi mercu tanda baharu dalam sejarah telefon pintar.
Namun, kita masih perlu menunggu pelancaran penuh di MWC 2026 untuk mendapatkan jawapan lengkap tentang potensi sebenar inovasi berkenaan.













