IPOH – Seramai dua penolong pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM4,000 antara tahun 2020 hingga 2022.
Tertuduh, Wan Muhamad Huzairi Shukri, 42, dan Nor Haslan Nor Zaman, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua penjawat awam itu didakwa secara bersama telah menerima suatu benda berharga tanpa balasan iaitu wang tunai berjumlah RM2,000 yang dimasukkan dalam akaun bank milik Penolong Pengarah (DG10), Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum), JPN Perak, Wan Muhamad Huzairi.
Wang tersebut diterima daripada seorang pengurus sebuah syarikat atas arahan Nor Haslan yang merupakan Ketua Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum), JPN Perak.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengetahui bahawa lelaki berusia 38 tahun itu mempunyai urusan rasmi berkaitan tugas mereka di unit berkenaan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di Bank Simpanan Nasional (BSN) Berhad Cawangan Medan Gopeng dalam daerah Ipoh pada 27 Ogos 2020.
Pada prosiding sama, kedua-dua tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan menerima wang masing-masing berjumlah RM1,500 dan RM500 daripada individu yang sama di lokasi sama pada 6 Januari dan 29 Mac 2022.
Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), G. Nanthini menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan untuk setiap tertuduh beserta syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam bela, Hafiz Norkhan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan dalam kadar kemampuan anak guamnya selain mereka juga telah memberi kerjasama baik sepanjang proses siasatan dijalankan.
Tambahnya, kedua-dua tertuduh yang masih berkhidmat dengan pendapatan lingkungan RM6,000 ke RM7,000 itu juga tidak mempunyai rekod jenayah selain menanggung keluarga termasuk ibu bapa.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 untuk setiap tertuduh dan mereka dikehendaki melapor diri di Pejabat SPRM Ipoh pada hari Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.
Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 15 April depan. – KOSMO! ONLINE














