MIHRAB merupakan elemen penting dalam ruang solat kerana fungsinya sebagai penanda arah kiblat serta titik tumpuan jemaah ketika beribadah.
Dalam konteks surau kediaman, rekaan mihrab tidak perlu berskala besar atau sarat hiasan, sebaliknya menekankan kesederhanaan, ketenangan dan keserasian dengan ruang dalaman rumah.
Rekaan mihrab moden dalam surau kediaman lazimnya menggabungkan konsep minimalis dengan sentuhan seni Islam.
Garisan geometri ringkas dan penggunaan warna semula jadi membantu mewujudkan suasana yang damai serta tidak mengganggu fokus ibadah.
Pereka Grafik Rekaan di Art Seven Group Sdn. Bhd., Muhammad Hafiz Afifuddin, 26, berkata, elemen digunakan bukan sahaja berfungsi secara praktikal, malah menyumbang kepada estetika keseluruhan ruang.
“Motif kerawang pada rekaan mihrab memainkan peranan penting sama ada bentuk geometri, flora, abstrak atau Islamik.
“Kebanyakan pemilik rumah suka kerawang berbentuk islamik dan flora kerana rekaannya lebih menyerlah, sekali gus membuatkan ruang solat lebih mempesona,” katanya ketika ditemui CitaRasa di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Bagi ruang kediaman yang sempit pula, memerlukan rekaan kerawang lebih ringkas agar tidak kelihatan terlalu padat serabut sekiranya ditambah dengan pelbagai dekorasi tambahan lain.

Cukup sekadar reka bentuk mihrab yang sederhana berukuran 4×8 kaki (1.22 meter x 2.44 meter) bersama rekaan kaligrafi kalimah al-Quran atau wainscoting.
Bukan sahaja kelihatan lebih ringkas dan santai, namun konsep kesederhanaan itu turut membantu mewujudkan suasana ibadah yang lebih tenang, selesa dan khusyuk tanpa gangguan visual berlebihan.
“Bagaimanapun saiz dan reka bentuk mihrab tetap bergantung kepada keluasan ruang, ketinggian dinding supaya seimbang, tidak kelihatan terlalu kecil atau terlalu besar.
“Biarpun kami terbuka dengan apa saja kehendak pelanggan, namun mereka juga perlu membuat penilaian sewajarnya agar identiti mihrab dapat ditonjolkan,” katanya.
Pemilihan warna seperti putih, krim, hitam sering menjadi tumpuan utama di samping pelbagai rona lembut lain memberikan suasana ketenangan serta kelihatan tidak terlalu kontra.
“Setiap warna memainkan perasaan emosi tersendiri dan pada masa sama warna mihrab juga perlu diseimbangkan dengan persekitaran kediaman.
“Untuk kediaman, selalunya warna lembut menjadi pilihan berbanding di masjid atau surau yang gemar warna cerah agar lebih menonjol dan mempunyai tarikan tersendiri.
“Begitu juga dengan karpet dan kalau boleh warna tidak lebih daripada dua atau tiga. Sekiranya mihrab putih atau krim, jadi cadangan karpet kepada warna kuning lembut atau keemasan,” katanya. Selain itu, elemen pencahayaan turut menjadi komponen penting dalam menghasilkan mihrab yang menonjol dan berfungsi dengan baik.
Penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED), sama ada tersembunyi dalam struktur mihrab atau pada kalimah tertentu bukan sahaja menyerlahkan rekaan malah membantu mewujudkan suasana ibadah lebih tenang.
Tambah Muhammad Hafiz, untuk menyiapkan sesebuah rekaan mihrab lazimnya mengambil masa sekitar dua hingga tiga hari bergantung kepada tahap kerumitan.














