fbpx
SALAH satu aksi menarik yang dilakukan oleh peserta aktiviti paragliding.

Cabar diri ‘terbang’ di Bukit Bubus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKTIVITI paragliding semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan rekreasi dan pelancongan ekstrem di Malaysia.

Antara lokasi yang mencuri tumpuan adalah Bukit Bubus Paragliding Park di Terengganu.

Terletak berhampiran pesisir pantai dengan panorama Laut China Selatan, lokasi itu menawarkan pengalaman penerbangan selamat dan dikendalikan secara profesional.

Menurut Pengasas 3A Flying Academy, Ruzaini Mohd. Hassan, Bukit Bubus dikenali sebagai antara tapak penerbangan terbaik di Pantai Timur kerana faktor geografinya yang strategik.

“Kedudukan bukit yang menghadap laut membolehkan angin laut bertiup secara konsisten, sekali gus menghasilkan daya angkat semula jadi yang penting dalam aktiviti paragliding.

“Keadaan ini memberi kelebihan kepada juruterbang untuk melakukan penerbangan lebih stabil, sama ada bagi tujuan rekreasi mahupun latihan,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, aktiviti biasanya bermula seawal pagi kerana keadaan angin lebih sesuai dan cuaca belum terlalu panas.

Sebelum penerbangan, peserta akan diberikan taklimat keselamatan oleh jurulatih berpengalaman.

Taklimat itu merangkumi cara pemakaian harness, fungsi kanopi, teknik berlepas serta posisi badan ketika mendarat.

Bukit Bubus Paragliding Park merupakan antara tapak penerbangan paragliding terbaik
di Pantai Timur.

Ruziani yang juga merupakan Setiausaha Kelab Luncur Udara 3A Adventures Bukit Bubus berkata, aspek keselamatan menjadi keutamaan, di mana setiap peralatan diperiksa rapi bagi memastikan ia berada dalam keadaan optimum.

“Bagi mereka yang pertama kali mencuba, penerbangan secara tandem bersama juruterbang profesional menjadi pilihan utama.

“Konsep tandem membolehkan peserta menikmati pengalaman terbang tanpa perlu mengawal peralatan sendiri,” ujarnya.

Katanya, setelah kanopi dibentangkan dan angin memenuhi ruang layar, peserta hanya perlu berlari beberapa langkah sebelum kaki terangkat dari tanah.

Detik itulah yang sering digambarkan sebagai momen paling mendebarkan iaitu peralihan daripada berlari di darat kepada meluncur bebas di udara.

Sepanjang berada di udara, peserta berpeluang menikmati pemandangan pantai yang terbentang luas, deruan ombak yang memutih serta kehijauan landskap sekitar.

“Tanpa bunyi enjin, pengalaman paragliding di Bukit Bubus memberi sensasi terapung yang tenang dan harmoni dengan alam.

“Juruterbang akan mengawal arah menggunakan brek tangan dan teknik peralihan berat badan bagi memastikan penerbangan kekal stabil mengikut keadaan angin semasa,” tambahnya.

Tempoh penerbangan bergantung kepada kekuatan angin dan keadaan cuaca. Namun kebiasaannya berlangsung antara lima hingga 15 minit bagi penerbangan rekreasi.

Ada kalanya, jika keadaan angin mengizinkan, juruterbang mampu mengekalkan altitud lebih lama dengan memanfaatkan arus udara menaik.

Keupayaan membaca pergerakan angin menjadi kemahiran utama yang membezakan juruterbang berpengalaman dengan baharu.

“Pendaratan dilakukan di kawasan lapang berhampiran pantai, dengan teknik ‘flare’ digunakan untuk memperlahankan kelajuan sebelum kaki menyentuh tanah.

“Walaupun kelihatan mencabar, namun proses ini sebenarnya terkawal dan selamat apabila dipandu juruterbang bertauliah,” ujarnya.

Sebaik sahaja mendarat, kebanyakan peserta mengakui pengalaman tersebut berjaya mengatasi rasa takut terhadap ketinggian dan memberi kepuasan luar biasa.

Kata Ruzaini lagi, selain sebagai aktiviti pelancongan, paragliding di Bukit Bubus turut berperanan sebagai platform pembangunan bakat dalam sukan udara.

Beberapa kelab dan komuniti tempatan aktif menganjurkan sesi latihan serta program pengenalan kepada orang ramai.

Usaha ini bukan sahaja memperkenalkan sukan itu secara lebih meluas, malah membantu membina ekosistem sukan udara yang lebih tersusun di Pantai Timur.

“Aktiviti paragliding di Bukit Bubus Paragliding Park bukan sekadar sukan ekstrem, malah satu daya tarikan pelancongan yang berpotensi besar.

“Gabungan faktor alam semula jadi, aspek keselamatan yang dititikberatkan serta penglibatan komuniti menjadikan lokasi ini antara destinasi utama bagi pencinta sukan udara,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN