APABILA tiba Ramadan, isu bilangan rakaat solat tarawih kembali menjadi perbincangan hangat, namun kali ini ia susulan tular kenyataan seorang pendakwah bebas yang mendakwa tiada amalan tarawih lapan rakaat sehingga menarik perhatian jutaan pengguna media sosial.
Setakat 21 Februari lalu video di TikTok telah ditonton sebanyak 2.4 juta pengguna dengan ‘Like’ lebih 105,000 dan menerima 3,096 respon.
Perkongsian itu sudah pastinya menimbulkan pelbagai reaksi khususnya mereka yang kurang memahami perbezaan pandangan fiqh mengenai bilangan rakaat tarawih.
Pendakwah terkenal lain menjelaskan persoalan dilontarkan peserta ceramah berhubung isu itu dengan satu kesimpulan mudah iaitu berbalik kepada konsep siapa mengerjakan lebih ibadah, maka lebih banyak pahala diraih.
Menurut Eksekutif Akademi (Pengajian Islam), Pusat Pengajian Diploma Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Space Kuala Lumpur, Syed Husaini Syed Hassan, khilaf mengenai bilangan rakaat solat tarawih sememangnya wujud sejak zaman awal Islam.
Katanya, kebanyakan ulama Mazhab Hanafi, Syafi‘i dan Hanbali berpandangan bilangan rakaat tarawih adalah 20 diikuti tiga rakaat witir.
Katanya, Mazhab Maliki pula berpandangan tarawih dilakukan sebanyak 36 rakaat berdasarkan amalan penduduk Madinah pada zaman awal.
“Sebahagian ulama lain berpegang kepada lapan rakaat tarawih ditambah tiga rakaat witir, menjadikan keseluruhannya 11 rakaat.
“Kesemua pandangan ini mempunyai dalil dan sandaran masing-masing, termasuk riwayat hadis dan amalan penduduk Madinah,” katanya.
Syed Husaini menegaskan, ulama Mazhab Syafi‘i sendiri walaupun memilih pandangan 20 rakaat sebagai yang lebih kuat, tidak menafikan bahawa solat tarawih yang dikerjakan kurang daripada 20 rakaat tetap sah dan diberi pahala.
Beliau memetik kitab Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah yang menyebut sekiranya individu itu mengerjakannya kurang daripada 20 rakaat, maka hukumnya sah serta diberi pahala tarawih kepadanya, berbeza dengan pandangan sebahagian ulama.
Katanya, perkara yang sama turut dinyatakan dalam kitab al-Yaqut al-Nafis iaitu solat Tarawih ialah 20 rakaat. Yakni sebanyak-banyak tarawih adalah bilangan tersebut. Namun jika dikerjakannya kurang daripada 20 rakaat, maka hukumnya tetap sah serta diberi pahala Tarawih kepadanya. Sebahagian ulama berpendapat tidak diberi pahala tarawih.
Beliau turut merujuk hadis sahih riwayat Al-Bukhari daripada Aisyah R.Anha yang bermaksud ‘Rasulullah tidak solat melebihi 11 rakaat sama ada pada Ramadan atau selain daripadanya. Baginda bersolat empat rakaat dan janganlah kamu bertanya akan kesempurnaan dan panjang solat Rasulullah. Kemudian, Baginda solat lagi empat rakaat dan janganlah kamu bertanya akan kesempurnaan dan panjang solat Baginda. Setelah itu, Baginda solat tiga rakaat.’
“Dalil ini menjadi asas kepada pandangan yang memilih lapan rakaat tarawih diikuti tiga rakaat witir. Perbezaan pandangan ini menjadi khilaf dan ia sedikit sebanyak membawa rahmat kerana memberi kemudahan kepada umat Islam untuk beribadah mengikut kemampuan masing-masing.














