fbpx
DUa tahun berturut-turut sibuk di lokasi penggambaran semasa Ramadan, tahun ini Hannah memilih berehat dan meluangkan masa untuk suami tanpa menyahut sebarang tawaran kerja kecuali menguruskan perniagaan sendiri. – ISKANDAR ISHAK

‘Selalu hilang nikmat Ramadan, tahun ini mahu chill’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MAHU merasai keindahan bulan Ramadan, itu hasrat pelakon Hannah Delisha apabila memilih untuk memperlahankan kerjaya seninya sepanjang tempoh tersebut.

Pemilik nama penuh Hannah Adlina Blackburne Birch itu berkata, keinginan tersebut disuarakannya kepada pengurusnya untuk makluman kepada pihak produksi tentang perancangan rehatnya sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

“Bukan setiap tahun kita dapat peluang untuk benar-benar merasai bulan ini dengan tenang. Insya-Allah, selepas raya nanti saya akan kembali berlakon.

“Sebenarnya, tahun ini saya memang meletakkan sasaran untuk tidak terbabit dengan sebarang penggambaran drama sepanjang Ramadan.

“Keputusan itu dibuat kerana saya berasakan sudah dua atau tiga tahun berturut-turut menjalani penggambaran dalam bulan Ramadan yang sangat memenatkan,” katanya.

Aktres berusia 30 tahun itu berkata, keletihan yang dialaminya susulan menjalani penggambaran pada bulan Ramadan sebelum ini membuatkan kehidupannya terasa tidak normal.

“Penat itu bukan sekadar fizikal, tetapi sampai rasa seperti tiada kehidupan sendiri. Puasa memang tetap berjalan seperti biasa tetapi untuk memberi fokus sepenuhnya kepada ibadah, seperti menjadi satu perjuangan pula.

“Jadi, tahun ini Hannah memang mahu berehat dan ‘chill’ sedikit. Walaupun masih sibuk dengan urusan bisnes, sekurang-kurangnya ada masa untuk benar-benar merasai suasana Ramadan,” katanya lagi.

Tegasnya, pendirian tersebut adalah pilihannya sendiri dan tidak sesekali menghakimi keputusan pelakon lain yang memilih untuk bekerja keras pada bulan puasa.

“Selalunya kalau ada penggambaran, memang hampir setiap hari hanya di set sahaja, dari pagi hingga malam. Keadaan itu membuatkan saya rasa kehilangan nikmat Ramadan yang sebenar.

“Mungkin ada orang okey dan tak kisah kalau jalani penggambaran sepanjang masa tetapi kali ini, pendirian saya memang begini,” ujar pelakon asal Singapura berkenaan.

Bukan sahaja mahu menjalani Ramadan dengan tenang, dia juga ingin menikmati masa terluang bersama suaminya yang juga pelakon, Imam Shah.

Jadual kerjanya yang sibuk sebelum ini membataskan waktunya bersama suami.

“Bila saya ada penggambaran, memang sukar untuk berjumpa suami, keluar pagi dan balik pula malam, dia pun sudah tidur.

“Kemudian bila bangun pagi, suami pula sudah keluar bekerja. Mula-mula memang terasa kekosongan itu tetapi lama-kelamaan kami belajar memahami jadual masing-masing.

“Paling penting adalah penerimaan, komunikasi dan saling memahami,” tuturnya.

HANNAH Delisha menolak dengan baik semua tawaran lakonan untuk sepanjang Ramadan tahun ini.

Elak penonton jemu, bisnes

Dalam pada itu, fasa berehat itu adalah memberi ruang buat dirinya ‘hilang’ seketika daripada lambakan naskhah lakonannya sebelum ini selain enggan membuatkan penonton jemu melihat dirinya kerap muncul dalam televisyen.

Dia juga memilih untuk tidak menerima sebarang projek baharu dalam tempoh terdekat.

“Saya percaya, kalau terlalu banyak projek setiap tahun ada baik dan buruknya. Positifnya pastinya rezeki tetapi bila terlalu kerap muncul, mungkin akan sampai satu tahap penonton bosan dan inginkan kelainan atau pelakon lain.

“Tak boleh nak cakap penonton muak tetapi mungkin juga mereka mahukan sesuatu yang lebih segar.

“Jadi, berehat seketika itu keputusan terbaik, dalam masa sama menjaga eksklusiviti juga,” jelasnya yang mengambil tiga projek lakonan sahaja dalam setahun.

Meski sibuk dengan dunia lakonan, dia juga sempat menambah portfolio sebagai usahawan apabila mula berjinak-jinak menjual produk jenama sendiri.

“Sebenarnya saya baru sahaja masuk ke dunia bisnes, ada pakaian jenama sendiri. Saya dalam fasa nak cuba benda baru.

“Persaingan memang tinggi, tetapi saya sebenarnya tidak gemar menggunakan istilah ‘bersaing’ sebab musuh sebenar adalah diri sendiri.

“Semuanya baru bermula dan tak boleh letakkan sebarang jangkaan tinggi, tengoklah macam mana aturan Allah SWT untuk saya yang masih belajar selok-belok perniagaan ini,” kongsinya lagi.

Berbicara soal persaingan, dia mendedahkan pernah menerima tawaran menyertai Gegar Vaganza (GV) sebelum ini, namun terpaksa ditolak kerana belum tiba masanya untuk bertanding.

“Saya tak suka perkataan persaingan dan sebab itu tidak terima tawaran menyertai GV sebelum ini.

“Kalau masuk sekali pun, saya tak akan anggap nak bertanding dengan orang lain tetapi sebaliknya bersaing dengan diri sendiri.

“Tambahan pula saya ada masalah gemuruh di atas pentas sejak kecil,” katanya yang baru sahaja selesai merakam sebuah single ciptaan komposer terkenal.

Terbaharu, drama popular lakonannya bersama Shukri Yahaya iaitu Andai Itu Takdirnya yang kini memasuki musim kedua mula ditayangkan pada 9 Januari lalu menerusi slot Megadrama Astro Ria.

Hannah kembali bergandingan dengan Shukri Yahaya menerusi drama Andai Itu Takdirnya bermula
9 Januari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN