fbpx
Azeem memecahkan rekod 200m ‘indoor’ yang dilakukannya dua minggu lalu ketika beraksi pada kejohanan jemputan Tiger Paw 2026. - FB AUBURN TRACK & FIELD

Sukan pecut: Siapa pelapis Azeem?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEJAYAAN Muhammad Azeem Fahmi memperbaharui rekod kebangsaan dalam dewan mungkin mencetuskan keterujaan, namun di sebalik sensasi itu terselit persoalan lebih besar sama ada sistem pembangunan pecut negara sudah benar-benar berada di landasan paling optimum?

Dalam suasana prestasi individu semakin menyerlah, perbincangan mengenai model latihan berpusat kembali menjadi topik utama, khususnya kesinambungan bakat seperti Azeem dan kemunculan generasi baharu diketuai Danish Iftikhar Muhammad Roslee.

Bekas jurulatih Azeem, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata, asas penting untuk melonjakkan kem pecut bukan sekadar bakat, tetapi keseragaman sistem latihan di bawah satu acuan yang jelas.

“Kita perlu ada atlet berlatih secara berpusat supaya kaedah latihan untuk pelapis dan podium lebih seragam ikut kehendak jurulatih dalam pasukan kebangsaan,” katanya.

Jelasnya, pendekatan tidak berpusat bukanlah satu kegagalan, namun langkah itu mengehadkan potensi penyelarasan jangka panjang.

“Ada jurulatih yang masih mahu melatih atlet mereka walaupun sudah berada dalam program, jadi amalan itu lebih kepada decentralized. Prestasi masih baik, tetapi saya rasa lebih baik jika berpusat supaya pemantauan dan penjadualan pertandingan dapat disusun dengan lebih rapi,” katanya.

Ini bukan soal siapa lebih layak membimbing, tetapi tentang membina kefahaman atlet dan jurulatih dalam satu ekosistem yang konsisten.

“Kalau latihan bawah satu jurulatih akan wujud mutual understanding. Jurulatih lebih memahami keperluan atlet berbanding jika atlet berlatih di tempat lain dan hanya bersama ketika pertandingan.Keserasian itu tidak begitu kuat,” ujarnya.

Dalam konteks Azeem yang berlatih dan belajar di Amerika Syarikat, Amir berkata, situasi itu berbeza dan tidak wajar dijadikan perbandingan.

“Azeem berada di sana untuk belajar dan berlatih, dia perlu sesuaikan diri dengan kaedah berbeza. Perubahan kaedah memerlukan masa. Tiga tahun pertama adalah fasa transisi untuk dia timba pengalaman dan sesuaikan diri dengan suasana pertandingan antarabangsa,” ujarnya.

Transisi itu, baginya adalah proses semula jadi bagi atlet muda yang berpindah sistem latihan dan tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan satu musim prestasi.

Amir yakin negara tidak ketandusan bakat, sebaliknya cabaran sebenar terletak pada penyediaan platform dan perancangan yang tepat.

Pandangan itu selari dengan penilaian ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil yang melihat Danish Iftikhar simbol kesinambungan generasi.

“Dia masih 19 tahun. Kali pertama mewakili negara di Sukan SEA catat 10.18s di separuh akhir. Itu satu pencapaian baik,” katanya.

Kejayaan meraih gangsa selain membantu dalam acara 200 meter (m) dan 4x400m yang turut menyumbang rekod kebangsaan membuktikan potensi besar dimiliki atlet itu.

Bagaimanapun, momentum semata-mata tidak mencukupi tanpa sistem kukuh menyokong secara konsisten.

Dalam kerangka lebih besar, persoalan yang timbul bukan sekadar Azeem atau Danish, tetapi adakah struktur pembangunan pecut mampu melahirkan dua atau tiga lagi atlet pada tahap sama secara serentak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN