fbpx
Pengalaman Muhammad Hanif ketika menjadi imam di Manukau Youth Islamic Centre, Auckland, New Zealand. (Gambar kanan) Ali Putra Shahtri. Foto ihsan Muhammad Hanif

Hanif, Ali Putra teruja jadi imam tarawih di Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Seorang pelajar Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ali Putra Shahtri, 26, menganggap tawaran menjadi imam di Masjid Osaka Ibaraki, Jepun sebagai pengalaman paling berharga dalam hidupnya.

Anak sulung daripada lima beradik yang berasal dari Kulai, Johor itu berkata, dia tidak menyangka diberi kepercayaan memimpin solat tarawih di negara Matahari Terbit tersebut kerana perlu melalui temu duga yang dihadiri 30 calon.

“Apabila terpilih, saya segera kongsikan dengan emak ayah dan dan mula membuat persiapan. Ini kali pertama saya memimpin solat di luar negara sejak menjadi imam tahun 2019. Jadi cabarannya sudah tentu berbeza,” katanya.

Ali Putra mengakui peluang itu datang tanpa diduga, namun tidak berlengah untuk memohon kerana mahu mencabar diri untuk mencari pengalaman baharu.

Bagi pelajar tahun akhir FPQS, Pengajian Qiraat USIM, Muhammad Hanif Zakaria, 25, ini kali kedua dia dipilih menyertai program imam luar negara anjuran universiti itu selepas berkhidmat di Manukau Youth Islamic Centre, Auckland, New Zealand tahun lalu.

“Ramadan tahun ini, saya akan memimpin solat tarawih di Osaka Islamic Centre. Pengalaman kedua ini hadir dengan rasa tanggungjawab yang lebih besar. Perasaan bercampur-baur gembira dan teruja kerana ini kali pertama saya ke Jepun.

“Namun dalam masa sama terasa berat kerana amanah ini bukan kecil. Saya membawa nama USIM dan Malaysia. Saya berazam untuk khatam 30 juzuk al-Quran pada malam ke-29 Ramadan bagi memenuhi harapan makmum,” katanya.

Sebagai persiapan, pemuda itu memperbanyakkan ulang kaji hafazan, memperkemas tajwid dan memperindah alunan bacaan. Semua imam terpilih perlu mengikuti kursus intensif selama seminggu bagi memahami budaya serta norma masyarakat Jepun yang terkenal dengan disiplin tinggi.

Sementara itu, Pengarah Kumpulan Penyelidik Iqra’ Centre FPQS, Dr. Norazman Alias berkata, program itu menekankan pemilihan calon berdasarkan keupayaan bacaan al-Quran, kefahaman agama serta kesediaan berkhidmat dalam komuniti Muslim minoriti.

“Seramai 30 calon daripada beberapa fakulti ditemu duga dan 11 pelajar dipilih. Mereka bukan sahaja diuji dari segi bacaan, malah dari sudut sahsiah dan kesediaan mental,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN