SUNGAI Kinta, Perak melalui banyak kawasan seperti Ipoh, Pasir Putih, Pengkalan Pegoh, Pusing, Batu Gajah, Tanjung Tualang, Kampung Kuala Pari, Kampung Sri Kinta dan Kampung Gajah.
Sungai ini berfungsi sebagai lokasi yang menjadi sumber ekonomi kepada nelayan darat sekitarnya dengan bermacam spesies ikan air tawar.
Pelbagai spesies ikan baung turut mendiami sungai ini dan yang paling popular ialah baung kuning.
Metal vibe
Dalam banyak-banyak jenis gewang, ikan baung di Sungai Kinta ini paling suka sekali gewang selaman dalam yang mampu diseret ke dasar sungai.
Gewang ini diperbuat daripada besi sepenuhnya dan dalam kalangan komuniti pengilat ia dipanggil metal vibe lure atau blade bait.
Gewang besi sekeping dengan bahagian perutnya diletak pemberat ini beraksi dengan getaran yang ‘halus’ ketika dikarau. Biasanya ada dua atau tiga lubang pengikat tali (eyelet) di belakang kepalanya.

Jadi, pengilat boleh memilih lubang mana yang hendak diikat atau dipasang klip kerana setiap lubang tersebut akan menghasilkan aksi yang berbeza kepada gewang ini ketika dimainkan.
Gewang metal vibe yang banyak kena baung di lokasi ini ialah berat antara 7 hingga 14 gram (g) kerana berkemungkinan itulah saiz ikan-ikan kecil yang menjadi makanannya di sini.
Seperkara lagi, ikan baung diketahui tidak mempunyai sepasang mata yang cekap dan ia lebih banyak bersandarkan kepada misainya sebagai deria untuk mengesan kehadiran ikan-ikan kecil yang menjadi makanannya di sekitarnya.
Sebab itulah gewang metal vibe yang bergetar semasa dikarau ini sentiasa berjaya membuahkan hasil berbanding gewang-gewang jenis lain.
Kaki mengilat baung di sini hanya menggunakan gewang metal vibe yang murah sahaja kerana ikan tidak memilih sekiranya ia berada di sekitar lubuk yang menjadi target dan yang paling penting tidak memeritkan poket sekiranya gewang putus tersangkut struktur di dasar sungai.
Joran berkekuatan ringan atau sederhana ringan sudah memadai memandangkan saiz ikan baung di sini tidaklah besar.
Penggunaan joran seperti ini juga efektif kerana getaran gewang dapat dirasa di hujung joran ketika dikarau dan setiap getuan baung terhadap gewang juga cepat dirasai.
Ia juga mudah digunakan untuk mengilat terutama di kawasan sempit yang tebingnya bersemak.

Cara memainkan metal vibe di sini juga mudah, hanya perlu dilontar ke arah melawan arus dan karau ia secara perlahan sehingga ia melalui zon berpotensi.
Masa
Masa terbaik untuk turun mengilat baung di Sungai Kinta ini ialah pada waktu petang. Ini berikutan ikan ini bersifat nocturnal (aktif waktu malam), jadi apabila hari semakin menghampiri malam ia akan menjadi lebih aktif.
Selain itu, keadaan air sungai juga memainkan peranan penting, kebiasaannya ikan baung akan menjadi pasif sekiranya paras air sungai menjadi terlalu tinggi, keruh dan berarus deras akibat hujan lebat.
Sebaliknya pula, ikan ini mudah dipancing ketika air sungai beransur surut selepas banjir. Ini berkemungkinan ikan ini naik dari hilir ketika air tinggi dan terus berada di lubuk-lubuk bahagian hulu selepas air surut.
Mencari lubuk baung
Sungai Kinta yang panjang ini sememangnya sukar untuk menentukan lokasi baung berkumpul. Namun apa yang dapat diperhatikan, ia lebih banyak berada di bahagian sungai di sekitar Batu Gajah hingga ke Tanjung Tualang.
Mungkin kerana bahagian sungai sebelah sini lebih luas menjadikan ia lubuk yang paling sesuai untuk populasi ikan baung.
Selain itu, kawasan yang mempunyai beting pasir di tengah sungai juga lebih berpotensi kerana ikan baung akan menjadikannya sebagai benteng untuk menghendap mangsanya.
Lesen baung
Sebelum ini saya belum pernah mencuba mengilat baung di sini kerana beberapa kali perancangan gagal disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu dan keadaan air sungai yang tidak baik.
Kebetulan ketika kunjungan saya yang terbaharu, air sungai dalam keadaan yang memuaskan. Sekitar pukul 5.30 petang saya tiba di tepi sungai dan kelihatan Rizuan dan Atiq sudah pun sampai.
Kami terus melontar gewang ke sudut-sudut yang berpotensi, namun masih kosong hasil. Berkat kesabaran, akhirnya metal vibe saya terus disedut seekor baung. Walaupun kecil saya amat berpuas hati kerana telah berjaya menaikkannya.
Selepas itu kami turut menaikkan beberapa ekor baung lagi dan memutuskan untuk pulang sekitar pukul tujuh petang.
Mengikut kata Rizuan, baung masih kurang aktif pada hari tersebut mungkin disebabkan hujan beberapa hari sebelum yang membuatkan air sedikit kotor dengan banyak sampah hanyut.














