fbpx
UMAT Islam disaran supaya meningkatkan amalan kebaikan termasuk memperbanyakkan membaca al-Quran sepanjang bulan Ramadan.

Perut berpuasa, tapi tidak tunai solat fardu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALHAMDULILLAH, kita memanjatkan syukur kepada Allah kerana sekali lagi diberi peluang dan dipanjangkan usia untuk bertemu dengan bulan Ramadan tahun ini.

Ramadan hadir sebagai tetamu agung yang membawa rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka. Persoalannya, bagaimanakah kita menyambut kedatangannya? Adakah dengan jiwa yang rindu untuk beribadah, atau sekadar teruja dengan juadah berbuka dan persiapan hari raya?

Bagi orang beriman, Ramadan adalah musim menuai pahala. Sabda Rasulullah SAW:

“Apabila datang bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu syur­ga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis tersebut memberi gambaran bahawa Ramadan adalah ruang yang Allah buka seluas-luasnya untuk hamba kembali kepada-Nya. Namun peluang itu hanya bermakna bagi mereka yang memahami hakikat dan falsafah puasa.

Allah SWT menegaskan tujuan pensyariatan puasa Ramadan melalui firman-Nya: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah: 183)

Ayat ini meletakkan dengan jelas bahawa matlamat utama puasa ialah melahirkan insan bertakwa. Takwa bermaksud memelihara diri daripada kemurkaan Allah dengan melaksa­nakan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya secara zahir dan batin.

Justeru, puasa bukan sekadar latihan fizikal menahan lapar dan dahaga, tetapi suatu sistem tar­biah rohani yang menyeluruh.

Puasa yang dikehendaki syarak bukan hanya menahan diri daripada makan, minum dan hubungan suami isteri pada siang hari. Ia adalah ibadah yang mengawal seluruh anggota dan dimensi kehidupan. Puasa hendaklah dilaksanakan sebagai ibadah yang sedar dan penuh penghayatan (ta‘abbudi), bukan sekadar adat yang disambut secara tahunan.

Hakikat ini dihuraikan secara mendalam oleh Imam al-Gha­zali dalam karya agungnya Ihya’ Ulum al-Din.

Tiga peringkat puasa

Beliau membahagikan puasa kepada tiga peringkat iaitu puasa umum (menahan diri daripada makan dan minum), puasa khusus (menahan anggota tubuh badan daripada maksiat), dan puasa khusus al-khusus iaitu puasa hati daripada selain Allah.

Puasa khusus al-khusus ialah puasa golongan para siddiqin dan arifin, iaitu puasa hati daripada segala selain Allah. Ia bukan sekadar menahan makan dan minum, bukan sekadar menjaga anggota zahir daripada maksiat.

Namun, lebih tinggi ialah memelihara hati daripada keinginan duniawi yang melalaikan, fikiran yang hanya tertumpu urusan dunia, Riya’, ujub dan penyakit hati dan segala yang memutuskan hubungan hati dengan Allah.

Dalam erti kata lain, hati sentiasa hadir bersama Allah (hudur al-qalb), dipenuhi muraqabah (merasa diperhatikan Allah), ikhlas dan tawakkal.
Pada tahap tertinggi ini, hati dipelihara daripada keinginan duniawi yang melalaikan dan dipenuhi dengan keikhlasan serta muraqabah kepada Allah.

Malangnya, realiti yang berlaku dalam masyarakat adalah sebahagian umat Islam hanya berpuasa peringkat paling rendah. Perut berpuasa, tetapi mata tidak berpuasa dan telinga masih mendengar perkara melalaikan.

Lidah terus mengumpat dan berdusta. Tangan dan kaki tidak dihalang melakukan maksiat.

Bahkan ada yang sanggup menahan lapar sepanjang hari, namun lalai menunaikan solat fardu lima waktu.

Rasulullah SAW telah memberi peringatan tegas: “Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi tidak memperoleh daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.” (Riwayat Ibn Majah dan al-Nasa’i)

Dalam hadis sahih yang lain, Baginda bersabda:

“Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak berhajat kepada tindakannya meninggalkan makan dan minum.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini tidak bermaksud puasa terbatal dari sudut hukum fiqh, tetapi menunjukkan bahawa puasa tersebut kehila­ngan nilai dan ganjaran di sisi Allah. Puasa yang tidak mendidik akhlak hanyalah keletihan jas­mani tanpa hasil rohani.

Sebaliknya, bagi mereka yang berpuasa dengan penuh ke­imanan dan keikhlasan, Allah menyediakan ganjaran yang besar. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang berpuasa ­Ramadan dengan penuh ­keimanan dan penuh keikhlasan, diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Baginda bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang dinamakan al-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat. Tidak ada seorang pun yang masuk melaluinya selain mereka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Setiap anggota perlu ‘puasa’

Betapa ruginya jika seseorang itu diberikan kesempatan bertemu Ramadan, tetapi tidak memperoleh keampunan Allah.

Dalam riwayat Ahmad ibn Hanbal, Rasulullah mengucapkan ‘amin’ apabila Malaikat Jibril berdoa: “Celakalah orang yang sempat bertemu Ramadan tetapi tidak diampunkan dosa­nya.” Inilah amaran agar kita tidak mensia-siakan bulan mulia ini.

Ramadan mendidik kesabaran, menguatkan jiwa dan menun­dukkan nafsu. Ia melahirkan empati terhadap orang miskin yang merasai lapar dan dahaga saban hari. Ia membentuk sifat ama­nah, kerana puasa adalah ibadah tersembunyi, hanya Allah yang mengetahui hakikatnya.

Untuk mencapai maqam takwa, setiap anggota hendaklah ‘berpuasa’. Mata digunakan untuk membaca al-Quran dan merenung kebesaran Allah. Te­linga mendengar ayat suci al-Quran dan mendengar majlis ilmu. Lidah pula dibasahi zikir dan doa.

Tangan digerakkan untuk bersedekah dan membantu golongan memerlukan. Kaki dilangkahkan ke masjid untuk solat berjemaah. Hati dipenuhi de­ngan taubat, muhasabah dan rasa syukur.

Bila tibanya Ramadan, persediaan kita tidak seharusnya terhad kepada juadah berbuka atau persiapan raya sebaliknya, persiapkan diri dengan ilmu, taubat dan doa. Perbaharui azam untuk memperbaiki solat, memperbanyakkan baca al-Quran dan jauhi maksiat.

Mohonlah kepada Allah agar dikurniakan keikhlasan dan kekuatan untuk beribadah. Sesungguhnya Ramadan adalah madrasah tahunan yang membentuk disiplin rohani dan menanam kesedaran bahawa Allah sentiasa memerhati.

Jika madrasah ini dihayati, ia akan melahirkan insan yang bukan sahaja menahan lapar di siang hari, tetapi menahan diri daripada maksiat sepanjang hayat. Mudah-mudahan Ramadan kali ini bukan sekadar rutin, tetapi titik perubahan menuju ketakwaan yang sebenar.

Prof. Madya Dattuk Dr. Mohd Sukki Othman ialah Mufti Negeri Pulau Pinang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN