SAUDARA PENGARANG,
Sepanjang minggu lalu, warga Lembah Klang berdepan kesesakan teruk bermula dari pagi sampai ke malam.
Isu kesesakan lalu lintas di ibu negara bukan perkara asing bagi warga kota, namun keadaan yang berlaku pada minggu lalu disifatkan lebih teruk atau luar biasa.
Bayangkan perjalanan untuk ke tempat kerja yang biasanya memakan masa hanya 30 hingga 40 minit boleh mencapai sehingga dua jam walaupun bukan pada waktu puncak ketika orang ramai pulang kerja pada pukul 4.30 hingga 6.30 petang.
Menempuh kesesakan yang panjang setiap hari pastinya memenatkan mental dan fizikal walaupun berada dalam kenderaan yang berhawa dingin. Setiap hari sekurang-kurangnya dua jam masa dibazirkan di atas jalan.
Polis Kuala Lumpur menjelaskan kesesakan luar biasa itu didorong peningkatan mendadak kepada lebih tiga juta kenderaan menjelang Tahun Baharu Cina.
Selain itu, kes kemalangan, halangan kenderaan di jalan raya pada waktu puncak, cuaca dan beberapa acara rasmi peringkat kebangsaan turut menyumbang kepada kesesakan bermula sejak 1 Februari lalu.
Namun apa yang meletihkan, terdapat kesesakan yang berlaku disebabkan sikap segelintir pemandu yang busybody. Saya gelarkan mereka penyibuk kerana memperlahankan kenderaan untuk melihat kemalangan dan kehadiran pihak berkuasa.
Kadang-kadang kesesakan itu berlaku hanya disebabkan anggota polis memberhentikan kenderaan di tepi jalan untuk memeriksa pemandu lain atau kemalangan kecil di laluan bertentangan. Sikap mereka ini menyumbang kepada kesesakan sedangkan keadaan itu tidak sepatutnya berlaku.
Perbuatan memperlahankan kereta untuk melihat kemalangan atau polis boleh mengundang risiko lain termasuk melanggar kenderaan di hadapan.
Kadang-kadang saya tertanya-tanya sampai bila rakyat kita mahu jadi pemandu busybody?.
Aida
Petaling Jaya













