MENURUT laporan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) pada 2023, pertumbuhan pesat ekonomi digital terus mengubah landskap pasaran buruh negara apabila lebih 1.12 juta rakyat Malaysia kini terlibat dalam ekonomi gig.
Sektor ini merangkumi perkhidmatan p-hailing, e-hailing, kerja bebas digital serta aktiviti pemasaran dalam talian yang semakin menjadi pilihan sebagai sumber pendapatan alternatif.
Perkembangan itu didorong oleh peningkatan kos sara hidup serta peluang pekerjaan formal yang semakin terhad, sekali gus menjadikan pekerjaan gig sebagai pilihan fleksibel kepada ramai individu.
Walaupun menawarkan kebebasan masa bekerja, model pekerjaan berasaskan platform digital ini turut menimbulkan pelbagai cabaran dari sudut perlindungan undang-undang dan kebajikan sosial.
Menurut Profesor Madya di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Nurhidayah Abdullah, isu utama ialah klasifikasi pekerja gig sebagai kontraktor bebas dan bukannya pekerja di bawah undang-undang buruh sedia ada.
“Klasifikasi pekerja gig sebagai kontraktor bebas mengecualikan mereka daripada perlindungan asas seperti gaji minimum, faedah pekerjaan serta akses kepada mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih menyeluruh.
“Keadaan ini mewujudkan jurang perlindungan yang ketara dan menimbulkan ketidakseimbangan dalam struktur pasaran buruh negara.
“Dari aspek keselamatan sosial pula, kemudahan caruman sukarela kepada Perkeso yang disertai secara terhad tanpa kewajipan mandatori platform turut mengehadkan keberkesanan perlindungan kepada pekerja gig.
“Akibatnya, pekerja gig kekal terdedah kepada risiko kemalangan, masalah kesihatan dan ketidakjaminan pendapatan pada hari tua tanpa jaringan keselamatan sosial yang kukuh,” katanya.
Selain itu, struktur pendapatan dalam ekonomi gig lazimnya bergantung kepada permintaan pasaran serta sistem algoritma platform yang kurang telus.
Situasi ini menimbulkan ketidakpastian pendapatan dan ketidakseimbangan kuasa antara platform digital dan pekerja.
Kawalan melalui sistem penarafan, pengagihan tugasan dan penamatan akaun secara sepihak memperkukuh kedudukan dominan platform.
Mekanisme aduan yang tersedia kebanyakannya bersifat dalaman dan dikendalikan sepenuhnya oleh platform, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keadilan prosedural dalam hubungan kerja berasaskan platform.
Sementara itu, Profesor Madya lain di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Nadhratul Wardah Salman berkata, kerajaan sedang menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 bagi menangani isu berkenaan.
RUU tersebut bertujuan mengiktiraf status pekerja gig serta menetapkan prinsip asas perlindungan dan kebajikan mereka, namun beberapa kelemahan dikenal pasti.
“Beberapa kelemahan termasuk aspek penguatkuasaan, skop perlindungan yang terhad serta kekaburan tanggungjawab platform terhadap caruman keselamatan sosial dan standard perlindungan minimum.
“Cadangan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig turut diketengahkan sebagai badan khusus bagi menyelaras kawal selia, penguatkuasaan, penyelesaian pertikaian dan advokasi awam berkaitan sektor berkenaan.
“Perkembangan ekonomi gig yang semakin pesat memerlukan pendekatan dasar buruh yang lebih progresif dan responsif bagi memastikan keseimbangan antara inovasi digital dan perlindungan hak pekerja,” katanya. -KOSMO! ONLINE














