TRIP kali ini menjadi satu pengalaman yang cukup bermakna apabila saya dan tujuh orang rakan merancang satu ekspedisi memancing selama dua hari satu malam menggunakan bot Camar Putih yang berpengkalan di jeti Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.
Objektif utama kami adalah meneroka dan membandingkan keberkesanan teknik jigging serta bottom drift di perairan ini.
Potensi lubuk
Perairan Sabak Bernam terkenal dengan kewujudan pelbagai tukun tiruan serta kapal karam yang menjadi struktur perlindungan kepada hidupan laut. Kawasan ini turut menjadi tempat pembiakan, dan lokasi utama ikan mencari makanan.
Bagi pemancing, kawasan berstruktur sebegini sememangnya berpotensi tinggi untuk hasil yang memberangsangkan. Namun begitu, ia juga menuntut tahap ketelitian yang lebih tinggi.
Teknik jigging perlu dimainkan dengan kawalan yang baik bagi mengelak jig tersangkut pada struktur.
Manakala teknik bottom drift memerlukan pemilihan perambut dan saiz batu ladung yang tepat agar umpan dapat bergerak secara semula jadi tanpa terlalu lama berada di zon berisiko sangkut.
Keupayaan membaca sonar serta pengalaman tekong memainkan peÂranan penting dalam menentukan jarak dan masa terbaik untuk menurunkan jig atau umpan di kawasan ini.
Persiapan mental dan fizikal
Beberapa minggu sebelum trip, perbincangan rapi telah dibuat melibatkan pemilihan tarikh air, keadaan arus serta strategi pancingan.
Perairan Sabak Bernam yang terkenal dengan arus tidak menentu menuntut persiapan mental yang kukuh. Kami sedar bahawa trip dua hari satu malam di laut memerlukan kesabaran, disiplin serta kesediaan untuk berhadapan dengan perubahan cuaca yang sukar dijangka.

Teknik jigging khususnya memerlukan tenaga dan stamina kerana melibatkan pergerakan berterusan.
Manakala bottom drift pula menuntut kesabaran dan fokus, terutama-
nya ketika menunggu sentapan ikan di dasar.
Persiapan
Target utama trip ini adalah memburu ikan demersal seperti jenahak, kerapu, gerut-gerut dan tebal pipi.
Justeru, persiapan peralatan dibuat dengan teliti bagi memastikan setiap teknik dapat diaplikasikan secara maksimum.
Kami memilih set jigging ringan hingga sederhana iaitu joran antara PE1.5 hingga PE3 dipadankan dengan kekili spinning saiz 3000 hingga 6000 yang dimasukkan tali sulam antara 20 hingga 40 paun (lb).
Leader fluorocarbon antara 30 hingga 50lb digunakan bagi menahan geseran dan asakan ikan. Jig yang dibawa kebanyakannya dalam julat 80 hingga 200 gram (g) dengan bentuk yang ‘langsing’ supaya jig cepat mencecah dasar walaupun dalam keadaan arus laju.
Ritma jigging yang akan diÂpraktikkan lebih kepada rentak
slow pitching. Maknanya jig akan dimainkan secara perlahan dengan henjutan pendek, diikuti jatuhan bebas bagi meniru pergerakan ikan yang sakit.

Bagi teknik bottom drift pula, set pancing yang digunakan perlu lebih kukuh. Joran kelas PE4 hingga PE 8 dipadankan dengan kekili menegak atau kekili elektrik.
Tali utama 40 hingga 80lb digunakan bersama shock leader 50 hingga 80lb. Perambut pula diikat dengan satu mata kail atau dua mata kail berangkai mengikut keadaan arus dan jenis umpan.
Umpan yang dibawa ketika trip adalah ikan kembung, sotong kurita dan udang lipan. Saiz batu ladung perlu mengikut kelajuan arus, lazimnya antara 200 hingga 400g bagi memastikan umpan kekal di dasar, tetapi masih bergerak secara semula jadi ketika bot berhanyut di atas lubuk.
Detik menarik
Menjelang petang, kami semua berjaya menaikkan ‘lesen’ ikan masing-masing menggunakan jig. Apabila malam menjelma, kami sepenuhnya melakukan bottom drift.
Pada awal malam, ikan galak menyambar umpan. Biasalah adat memancing, ada cabarannya, semuanya kami terima dengan senyuman.
Tidak lama kemudian, salah seorang daripada kami berjaya menaikkan seekor ikan merah yang dianggap sebagai trofi. Kejayaan tersebut nyata memberikan kepuasan tersendiri, apatah lagi dia berjaya mendaratkan spesies idaman.
Pada pagi hari berikutnya, kami meneruskan sesi memancing dengan teknik bottom drift.
Ternyata penggunaan umpan hidup jauh lebih efektif berbanding jig di kawasan ini.
Ini kerana arusnya kuat sehingga menyukarkan teknik jigging dilakukan.
Rata-rata ikan yang berjaya diperolehi sepanjang sesi pagi dinaikkan menggunakan teknik bottom drift.
Kesimpulan
Kesimpulannya, keberkesanan teknik jigging atau bottom drift amat bergantung kepada keadaan perairan dan kelajuan arus.
Berdasarkan pengalaman trip ini, teknik bottom drift terbukti lebih efektif berbanding jigging, terutamanya ketika arus kuat.
Penggunaan umpan hidup melalui bottom drift didapati lebih mudah dikawal dan cepat menarik perhatian ikan di dasar berbanding jig yang sukar dimainkan dengan sempurna dalam keadaan arus laut laju.
Bagaimanapun, teknik jigging masih berpotensi memberikan hasil yang baik sekiranya keadaan arus lebih lenang dan sesuai.
Secara ringkasnya, pemilihan teknik yang tepat mengikut situasi meÂrupakan kunci utama kejayaan ketika memancing di perairan Sabak Bernam.














