fbpx
AWIE, Erra dan Ziana sudah berpuluh tahun meninggalkan era Sembilu. Mereka dewasa menjadi penghibur yang matang namun fenomena yang tercipta terus basah dan mengekori sinar gemilang mereka sehinggalah berlabuh dengan jayanya tirai konsert Sembilu The Reunion baru-baru ini.

Bukti Sembilu tidak sekadar filem, patutlah fenomena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI generasi yang membesar sekitar era 1990-an, Sembilu arahan Datuk Yusof Haslam adalah filem cinta paling ikonik ketika itu.

Fenomena karya dibintangi Datuk Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain itu bukan sahaja menjadi ‘pop culture’ bagi anak-anak muda zaman itu, malah mencipta rekod sebagai filem terlaris sepanjang zaman apabila sekuel Sembilu berjaya mengutip kutipan pecah panggung sebanyak RM6 juta.

Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain membikin sensasi tersendiri menerusi filem tersebut. Sebagai penyanyi dan pelakon, filem-filem yang dibintangi mereka dilatari lagu-lagu runut bunyi nyanyian sendiri.

Siapa sahaja yang tidak terbayang juraian air mata Ziana saat menyanyikan lagu Anggapanmu dalam Sembilu. Ramai juga yang menangis tatkala menonton Awie berlalu pergi meninggalkan Wati bersama motosikal Harley Davidson sambil dilatari lagu Ukiran Jiwa dalam babak akhir filem Sembilu 2.

Demi mengimbau semula kenangan penuh nostalgia itu, Ideatelier mengambil inisiatif menganjurkan konsert Sembilu The Reunion yang berlangsung dengan jayanya di Axiata Arena Bukit Jalil pada tanggal 7 Februari lalu.

Seramai 10,000 peminat ketiga-tiga ‘superstar’ itu hadir dengan membawa harapan untuk kembali semula ke zaman kegemilangan mereka pada era 1990-an.

GANDINGAN Erra, Awie dan Ziana dalam Konsert Sembilu The Reunion sememangnya menjadi momen klasik yang cukup mahal di jiwa peminat.

Perkarangan pintu masuk arena dihias persis sebuah panggung wayang dengan dihiasi oleh deretan poster-poster filem lakonan Awie, Erra dan Ziana.

Sebelum konsert bermula, penonton dihidangkan dengan babak dalam filem Sembilu yang ditayangkan menerusi layar gergasi. Menonton semula babak-babak tersebut seolah-olah sesi memanaskan badan sebelum persembahan bermula.

Kejutan istimewa buat penonton apabila anak kepada ketiga-tiga penyanyi itu iaitu Merah, Engku Aleesya dan Kasih muncul melakonkan watak ibu dan bapa mereka dalam filem Sembilu. Turut terlibat dalam sketsa itu ialah pengarah filem Sembilu sendiri iaitu Datuk Yusof Haslam.

Tamat sketsa, Awie, Erra dan Ziana muncul dari bawah pentas membuka konsert pada malam itu dengan lagu Rock N Roll Ronda Ronda, Sangkar Cinta dan Jendela Hati

Awie membuka segmen solo dengan lagu Di Bayang Awan disusuli dengan lagu Tiada Rahsia Di Antara Kita dan Ukiran Jiwa. Untuk segmen solo kedua Awie memukau penonton dengan lagu Di Ambang Wati, Ratuku dan Di Penjara Janji.

PERSIS tidak dimakan usia, kemunculan Erra dipentas nyanyian tetap tidak mengecewakan biarpun secara zahirnya dia lebih dikenali sebagai aktres filem.

Seperkara yang menarik tentang Awie adalah sifat humor yang ada pada dirinya.

Sempat dia bergurau tentang kisah-kisah silamnya bersama Erra.

“Lagu Di Ambang Wati dan Ratuku banyak kenangan. Kalau dulu Di Ambang Wati sekarang ‘di ambang sore’.

“Watak Wati dilakonkan oleh Erra Fazira dan lakonan tu menjadi betul pula. Minta maaf ya Mr E. Saya doakan jodoh kalian berpanjagan.

“Saya tiga kali kahwin. Erra pun sama! Jadi kita fair and square. Sama adil, saksama dan sama rata,” katanya lantas mengundang ketawa ramai.

Sebagai penyanyi yang mempunyai kerjaya solo dan berkumpulan, Awie bertuah kerana diskografinya hebat. Hanya di konsert sebegini kita dapat melihat Awie menyanyikan lagu-lagu solonya yang jarang dibawakan ketika konsert bersama Wings.

Pentas kemudian diambil alih Erra menerusi lagu Hanya Di Mata, Cinta Abadi dan Pasrah. Untuk segmen kedua Erra tampil dengan lagu Kerana, Yang Terindah Hanyalah Sementara dan Pertemuan.

Ramai penonton yang terpesona dengan kemampuan Erra yang masih berbisa. Biarpun dia dilihat menonton dalam arena lakonan, namun jangan sesekali memandang rendah bakat nyanyian primadona itu.

AWIE tetap hero dan superstar yang mampu menjinakkan semua peminat, baik rockers atau mat dan minah jiwang.

Lagu bernada tinggi seperti Yang Terindah Hanyalah Sementara dinyanyikan dengan cemerlang. Erra membawa peminat larut dalam emosi tatkala menyampaikan lagu Pasrah dengan penuh penghayatan.

Beberapa hari sebelum konsert ini berlangsung, penulis beberapa kali bertemu si jelitawan ini di acara yang melibatkan dirinya. Apabila ditanya tentang persediaan menjelang konsert, pasti dia berdebar dan kerisauan jelas terukir pada wajahnya.

Namun pada malam itu, Erra membuktikan pengalaman dan bakat semula jadi adalah kunci kepada sebuah persembahan yang berkualiti.

Erra juga sempat membalas kenyataan Awie tentang jumlah perkahwinan mereka.

“Oo apa Awie cakap tadi? Tiga kali kahwin ya. Kalau dulu dia tak buat hal, tak ada la jadi macam ni,” usiknya.

Selain persembahan, Erra turut memukau penonton dengan penampilannya yang sungguh mempersona. Kejelitaan Erra pada usia 52 tahun meniti di bibir penonton yang menonton persembahan ketika itu.Ramai memuji wajahnya yang kelihatan seperti anak patung dengan pinggangnya yang ramping.

Segmen solo terakhir pula menampilkan Ziana Zain yang memukau dengan lagu-lagunya yang bernada tinggi seperti Anggapanmu, Bersama Akhirnya, Korban Cinta, Kekal dan Kemelut Di Muara Kasih.

Seterusnya Ziana kembali mengusik emosi penonton dengan lagu seperti Berpisah Jua, Puncak Kasih, Setiaku Di Sini dan Madah Berhelah.

Ziana Zain tetap cemerlang dengan deretan dendangan bernada tinggi biarpun pada hujung persembahan air matanya tumpah terkenangkan ibu bapa yang telah meninggal dunia.

“Sebagai penyanyi yang mempunyai lagu yang paling banyak untuk dinyanyikan malam ini. Kak Gee terpaksa medleykan beberapa buah lagu,” katanya.

Di pertengahan persembahan, air mata sang diva itu tumpah jua tatkala mengenangkan pemergian ayahanda dan bonda tercinta dalam tempoh yang singkat saat dia harus berjuang di buah konsert besar.

“Sangat sukar berada di situasi Kak Gee sekarang ini bila anda sudah tiada kedua ibu bapa. Anda kena harungi dalam masa empat bulan.

Anda kena menyanyi di Konsert Empat dan Konsert Sembilu.

“Ya Allah Kak Gee cuba menahan sebenarnya. Kak Gee ingat Kak Gee boleh, tetapi Kak Gee kalah. Allahuakbar,” katanya mengundang hiba penonton.

Sejujurnya suara dan aura seorang Ziana Zain sangat menyatu dengan Axiata Arena. Di sinilah selayaknya diva sepertinya beraksi. Ziana kelihatan gah biarpun dia hanya berdiri di tengah pentas seorang diri. Jeritan peminatnya yang bagaikan terkena histeria adalah bukti, kenapa dia selayaknya berdiri di pentas arena ikonik tersebut.

Antara persembahan yang paling dinantikan peminat pada malam itu tentunya duet Awie bersama Ziana.

Mana tidaknya, kedua-dua penyanyi itu jarang berpeluang untuk menyanyi bersama di atas satu pentas. Lagu Senja Nan Merah dipersembahkan dengan sempurna persis saat pertama kali lagu ini berkumandang tiga dekad lalu. Meremang bulu roma melihat paduan dua vokal yang penuh berkuasa.

Konsert pada malam itu diakhiri dengan lagu Halaman Asmara yang dinyanyi oleh ketiga-tiga penyanyi.

Biarpun ini adalah konsert kedua anjuran Ideatelier, pujian harus diberikan kerana berani mengangkat tiga figura besar ini beraksi dalam sebuah konsert di lokasi seperti Axiata Arena.

SKETSA ‘anak-anak Sembilu’ dijayakan Merrah (anak Awie), Aleesya (anak Erra) dan Kasih (anak Ziana) bersama Yusof Haslam sebagai pembuka tirai menjadi kejutan bermakna buat penonton konsert Sembilu The Reunion.

Kualiti persembahan, susunan muzik oleh Aubrey Suwito, bunyi serta visual juga memuaskan hati penonton. Kalau ada yang boleh diperbaiki pada masa akan datang adalah pergerakan kamera dan paparan skrin sewaktu penyanyi sedang beraksi.

Tahniah kepada semua yang terlibat dengan konsert ini. Teruskan momentum yang sama di Singapura pada 24 April nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN