KUALA LUMPUR – Lokasi Bukit Bintang sebagai lokasi tumpuan pelancong tercemar apabila terdapat segelintir orang Arab dewasa yang mengaku sebagai rakyat Palestin meminta sedekah hingga merimaskan orang ramai dan mengganggu perniagaan di situ.
Tinjauan Kosmo! selama dua malam berturut-turut di kawasan itu mendapati, modus operandi mereka ialah bergerak secara berkumpulan atau berpasangan sambil membawa budak menggunakan kereta sorong di kawasan pusat beli-belah, laluan pejalan kaki dan restoran popular.
Bermula pukul 8 malam, individu-individu berjambang dan memakai pakaian Asia Barat ligat bekerja mendekati sesiapa sahaja atu duduk di satu tempat sambil menadah tangan bagi meraih simpati.
Kegiatan yang semakin berleluasa terutama pada waktu malam itu dijalankan dengan meminta wang antara RM50 hingga RM100, satu jumlah yang dianggap luar biasa bagi aktiviti meminta sedekah sebagai modus operandi.
Pada masa sama, terdapat juga individu warga asing yang memakai kostum tertentu bagi memperdaya orang ramai.
Sekurang-kurangnya enam hingga 10 pengemis warga asing termasuk kanak-kanak Rohingya pula menadah tangan di deretan kaki lima.

Pemerhatian mendapati kumpulan itu akan mengubah lokasi setiap sejam bagi meraih lebih banyak kutipan dan mengelak daripada taktik licik mereka diketahui.
Namun, apabila ditanya mengenai kegiatan tersebut, mereka hanya mendiamkan diri sebelum beredar.
Peniaga bunga, Erik Haizam, 37, mendakwa, rata-rata peminta sedekah di kawasan berkenaan merupakan warga asing yang bergerak secara terancang.
“Dekat sini memang ramai warga asing minta sedekah. Mereka selalunya datang secara berkumpulan atau berpasangan. Biasanya suami akan melepak di tepi kaki lima, manakala isteri pula bergerak bersama anak untuk meminta wang,” katanya.
Menurut Erik, kumpulan tersebut juga disyaki melakukan penipuan dengan mengambil kesempatan terhadap orang ramai yang enggan memberi wang tunai.
“Ada orang tak nak bagi duit dan tawarkan untuk belikan makanan di restoran. Tapi mereka akan ambil kesempatan dengan membeli makanan untuk dibawa pulang dalam jumlah yang banyak,” katanya.

Dakwanya, jumlah pembelian makanan itu boleh mencecah antara RM200 hingga RM300 bagi satu transaksi.
“Bila orang baik hati nak tolong, mereka pula salah guna. Itu yang buat ramai peniaga dan pengunjung rasa tak selesa,” ujarnya
Kata Erik, dia juga pernah mengalami pertengkaran dengan peminta sedekah warga asing kerana enggan memberikan wang.
“Saya pernah dimarahi dan dimaki hanya sebab tak bagi duit. Ada yang jadi agresif sampai ugut dan menakutkan orang,” katanya.
Lina, 30-an pula berkata, kebanyakan peminta sedekah warga asing kembali bertumpu di kawasan pelancong menjelang musim perayaan.
“Sebelum ini semasa Krismas memang ramai kelompok ini keluar minta duit. Selepas sambutan tahun baharu baru-baru ini, jarang nampak mereka.
“Tapi nak dekat puasa ini, ramai yang muncul balik, tambah pula dengan kanak-kanak Rohingya,” katanya.
Menurut Lina, kebanyakan peminta sedekah warga asing akan datang ke lokasi menaiki teksi secara beramai-ramai pada sebelah petang dan pulang sekitar pukul 1 atau 2 pagi.














