fbpx
MICHELLE bakal muncul dengan filem pendek berjudul Sandiwara dan Sofyank terlibat dalam projek baharu bersama Astro Shaw.

Fenomena global seni filem tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM pada rakyat Malaysia bertepuk tangan mata wang Malaysia kian mengukuh, banyak juga perihal lain yang membuatkan motivasi kita terus untuk meneruskan kehidupan yang mapan.

Di persada dunia seni tanah air khususnya perfileman, banyak yang menunjukkan peningkatan.

Filem animasi Papa Zola The Movie mencatatkan kejayaan luar biasa dengan kutipan pecah panggung mencapai RM65 juta, sekali gus mencatat rekod sebagai filem animasi paling laris dalam sejarah.

Ini membuktikan filem animasi tempatan, kalau kena dengan gaya, memang tidak mustahil memecah kutipan panggung dan menjadi pilihan para penonton.

Keduanya, Tan Sri Michelle Yeoh sekali lagi mencuri tumpuan pentas perfileman dunia apabila pemenang Oscar itu bakal muncul dalam filem terbaharu berjudul Sandiwara, arahan pengarah tersohor Hollywood, Sean Baker.

Menariknya, penggambaran dijalankan sepenuhnya di Pulau Pinang dengan latar pasar malam serta tempat sarat penjaja yang sibuk meniaga menggambarkan denyut nadi kehidupan rakyat Malaysia.

Perkara terbabit sekali gus menutup suara-suara sumbang yang mengatakan Michelle terlalu menumpukan kerjaya di Hollywood sehingga kononnya tiada masa untuk membangunkan seni tanah air.

Dalam naskhah terbabit, anak jati Ipoh Perak itu menggalas cabaran besar apabila membawakan lima watak berbeza, masing-masing membawa kisah serta sisi jarang dipaparkan tentang budaya tempatan.

Malah, judul filem tersebut diambil daripada perkataan Melayu membawa maksud drama atau persembahan teater, selari dengan struktur penceritaan berlapis.

Penulis juga bangga apabila Astro Shaw melancarkan video pertama projek Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU) pada akhir tahun 2024.
Dan, tugas mengarahkan ‘first look’ ASCU diberikan kepada yang layak, Sofyank.

Video berdurasi tiga minit tersebut membuatkan ramai kagum dengan kehebatan penggunaan teknologi dengan menggabungkan beberapa watak popular iaitu Amir Ahnaf dari filem Kahar: Kapla High Council dan Zizan Razak bersama Shaheizy Sam menerusi Polis Evo.

Menurut Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, ASCU mencerminkan aspirasi pihaknya dalam menghasilkan karya bertaraf antarabangsa, sekali gus menetapkan penanda aras baharu kualiti kandungan buatan Malaysia.

“Cinematic Universe membolehkan lebih banyak pengkarya baharu menyertai dan menghubungkan karya mereka dengan perancangan yang telah disusun,” katanya.

Sebenarnya, bukan ingin terlalu mendabik dada tetapi, kadang kala hal sekecil-kecil itu yang membuatkan kita terus bergerak ke hadapan tanpa menoleh lagi ke belakang.

Untuk dunia sinema atau perfileman tanah air, semoga terus lancar bergulir maju ke hadapan. Majulah filem untuk negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN