fbpx
NUSANTARA VILLAGE menjanjikan pengalaman percutian yang tenang di Kampung Bukit Hijau, Jeram, Selangor.

Nusantara Village tawar fasiliti serba moden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERAM – Inap desa Nusantara Village bercirikan rumah tradi­sional kayu yang terletak di Kampung Bukit Hijau di sini, merupakan penginapan menarik buat mereka yang inginkan percutian tenang dengan suasana desa.

Biarpun terletak lebih 50 kilometer dari Kuala Lumpur, inap desa yang diusahakan oleh Fakhrul Nazhi Hanaffi, 46, ini turut dilengkapi kemudahan bertaraf resort seperti kolam renang, taman tema air mini serta pelbagai jenis rumah dan bilik, sekali gus memenuhi keperluan
pelancong terutama golongan berkeluarga.

Jurutera struktur itu berkata, Nusantara Village bukan hanya inisiatif pelancongan desa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), bahkan ia usaha merancakkan aktiviti ekonomi penduduk tempatan.

Beliau menggunakan pengalaman lebih 16 tahun dalam projek berskala besar dengan membangunkan projek pelancongan desa berteraskan komuniti berdaya maju.

“Ramai pelancong luar dan domestik sebenarnya berminat untuk merasai suasana desa, namun mereka juga inginkan keselesaan terutamanya yang datang bersama keluarga.

“Seiring dengan trend masa ini, kami juga pastikan Nusantara Village mempunyai nilai estetika yang tinggi agar pengunjung dapat merakamkan momen indah di setiap sudut dan berkongsi dalam platform sosial media masing-masing,” katanya.

Antara yang diberi tumpuan ialah bilik tidur selesa, tandas bersih dan cantik, makanan istimewa termasuk juadah tradisional yang mampu mengembalikan semula kenangan di desa.

Nusantara Village juga membuka peluang ekonomi kepada penduduk kampung di sini bukan hanya dari segi peluang pekerjaan, malah bahan mentah digunakan seperti ikan dan sa­yur-sayuran turut dibeli daripada mereka.

PENGUNJUNG ditawarkan hidangan berbuka puasa yang istimewa.

Beliau yang juga lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari UiTM dan Sarjana Kejuruteraan Struktur UTM itu turut mengetengahkan elemen eko-pelancongan di Nusantara Village, termasuk membangunkan ladang Golden Melon berasaskan teknik hidroponik.

“Selain berkongsi kepakaran dengan penduduk kampung, kita juga mahu tetamu di Nusantara Village diberi pendedahan kepada pertanian moden, keselamatan makanan dan nilai komersial hasil tempatan.

“Saya yakin, gabungan elemen desa dan kemudahan bertaraf resort diperkenalkan pihak kami mampu menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk melancong dalam negara di sam­ping memberi peluang pelancong a­sing merasai pengalaman bercuti di desa,” katanya.

Fakhrul Nazhi berkata, sempena Ramadan ini, pihaknya turut menawarkan bufet istimewa yang menyajikan juadah kampung antaranya siput sedut masak lemak, asam pedas dan gulai tempoyak ikan patin.

“Bufet Ramadan kami juga menyediakan kuih-muih tradi­sional yang dibekalkan oleh penduduk kampung seperti kole kacang, seri muka, kuih koci dan kuih lapis. Oleh kerana penduduk masih mengekalkan cara penyediaan tradisional, rasanya sudah tentu lebih asli dan enak,”
katanya.

Beliau turut dibantu isteri, Farah Wahida Othman, 46, sebagai Pengurus Pentadbiran dan Kewangan di Nusantara Village dan mereka turut mengendalikan rumah inap desa di Setia Alam, Batu Pahat dan Muar, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN