Sultan Selangor tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

Bukti kasih raja kepada rakyat jelata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBULAN yang lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan nada sinis mencabar mana-mana wakil rakyat tinggal dan menetap bersebelahan kawasan penternakan babi untuk merasai sendiri pengalaman sebenar yang dialami oleh penduduk.

Hal ini jelas memperlihatkan betapa Baginda amat prihatin dengan masalah yang dihadapi rakyat sejak bertahun-tahun lalu akibat penternakan babi berdekatan tempat tinggal mereka tanpa sebarang penyelesaian tuntas.

Kelmarin, Baginda membuat penegasan yang amat ditunggu-tunggu oleh rakyat khususnya mereka yang mahu mendapatkan kepastian mengenai masalah berkenaan sekali gus memberikan sinar baharu kepada kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

Penulis yakin, keputusan itu disambut dengan penuh rasa kesyukuran oleh rakyat kerana menzahirkan ketegasan, keprihatinan dan paling penting menyebelahi golongan kurang berdaya di kampung-kampung dan luar bandar.

Mereka ini sekian lama diselubungi bau busuk daripada najis babi. Najis babi ini menghasilkan gas ammonia, hidrogen sulfida dan metana yang menyebabkan pening kepala, loya, gangguan tidur dan menyebabkan tekanan kepada penduduk sekitar.

Baunya bukan boleh disekat-sekat kerana mampu tersebar ke kawasan yang jauh sehingga berkilometer bergantung kepada saiz ladang, cuaca dan tiupan angin.

Tidak cukup itu kumbahan babi tanpa sistem yang baik akan mencemarkan air jika mengalir masuk ke parit dan sungai bukan sahaja menyebabkan air keruh dan berbau tetapi juga kematian ikan dan hidupan sungai selain mengakibatkan penyakit cirit-birit dan keracunan makanan.

Paling menakutkan ialah kesan daripada ternakan babi ialah ladang berkenaan berisiko menjadi tempat pembiakan patogen wabak penyakit Japanese Encephalitis (JE), leptospirosis, influenza babi (swine flu), cacing dan bakteria zoonotik.

Sejarah telah membuktikan kepada kita, semua itu telah pun berlaku dan mungkin akan kembali berlaku jika tidak ada satu pelan tindakan secara holistik dan berkesan diambil.

Kita yakin, keputusan Tuanku Sultan Selangor meletakkan noktah kepada penderitaan rakyat akibat ternakan babi adalah cerminan keprihatinan Baginda terhadap suara dan keluhan agar nasib mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Selangor sebagai sebuah negeri yang paling maju dan enjin ekonomi di Malaysia dengan pembangunan pesat, industri bertaraf multi nasional dan menjadi tumpuan kepada penempatan penduduk tidak seharusnya dikacau ganggu dengan isu ladang babi.

Dalam hal ini Selangor sewajarnya terus menjadi contoh terbaik dalam aspek kesejahteraan rakyat kerana di bumi ini juga tempat berlindung dan tempat mencari rezeki rakyat yang berhijrah daripada negeri-negeri lain.

Hujung tanjung memetik lembayung,
Selasih diikat di tepi perigi;
Raja disanjung rakyat dipayung,
Kasihnya rakyat tidak berbagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN