PESERTA konvoi memeriahkan majlis doa selamat yang diadakan oleh salah seorang ahli CCM.

Konvoi erat ukhuwah ahli kelab Naza Citra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DIANGGARKAN seramai 30 peserta menyertai aktiviti konvoi anjuran Citra Club Malaysia (CCM) yang melibatkan perjalanan dari Rawang, Selangor ke Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

Konvoi selama dua hari itu bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli kelab dari beberapa negeri seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Konvoi itu bukan saja menghimpunkan pemilik kenderaan jenis Naza Citra, malah memperkukuh perpaduan dan semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli kelab daripada pelbagai latar belakang.

Pengerusi CCM, Muhammad Ali berkata, konvoi itu diadakan bagi memenuhi jemputan majlis doa selamat di Perak.

Menurutnya, menerusi konvoi itu, peserta berpeluang mendalami ilmu automotif terutama mengendalikan kenderaan sekiranya berlaku masalah.

“Acara konvoi ini lebih tertumpu kepada aktiviti bersama ahli, selain memenuhi jemputan doa selamat salah seorang ahli CCM Perak.

SEBANYAK 10 buah kereta Naza Citra menyertai konvoi ke Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.

“Kami juga menjadikan konvoi ini untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli dari pelbagai negeri,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Konvoi tersebut bermula seawal pukul 7 pagi, dengan semua peserta berkumpul di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Rawang, sebelum sesi taklimat keselamatan diadakan setengah jam kemudian.

Tepat pukul 8 pagi, semua kenderaan mula bergerak menuju ke Kuala Kangsar dengan susunan satu barisan yang teratur dan berhemah.

“Ketika perjalanan, kumpulan konvoi singgah di hentian kedua sekitar pukul 11 pagi di Restoran Pokok Belacan, Ipoh untuk bersarapan, sebelum meneruskan aktiviti makan tengah hari.

“Konvoi melibatkan kira-kira 10 buah kereta itu kemudian bersambung semula sekitar 1.30 tengah hari dan tiba di Kuala Kangsar kira-kira pukul 2.30 petang.

PESERTA konvoi berhenti untuk membaik kereta ahli yang rosak.

“Acara diteruskan pada sebelah malam, di mana peserta berpeluang melakukan aktiviti santai termasuk barbeku pada pukul 8 malam,” katanya.

Aktiviti pada malam itu juga memberi ruang kepada ahli untuk berinteraksi dalam suasana tidak formal.

Menurut Muhammad, sepanjang konvoi, semua peserta mematuhi disiplin ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan.

“Sepanjang konvoi, terdapat beberapa kenderaan mengalami masalah alternator. Apabila berlaku masalah pada jentera, kami mengambil keputusan untuk berhenti dan membaikinya terlebih dahulu,” ujarnya.

Konvoi berakhir dengan para peserta pulang ke Rawang pada keesokan harinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN