fbpx
SPRM sentiasa komited menjalankan amanah membanteras kegiatan rasuah.

2026 penuh kejutan, siapa lagi akan kena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Awal tahun 2026 bermula dengan pelbagai emosi. Ada gembira, sedih dan mengejutkan. Orang gembira mendapat pelbagai bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah dan Bantuan Awal Persekolahan.

Berita kematian tragis akibat kemalangan, lemas dan kecuaian mengundang duka dan lara dalam keluarga.

Pasukan Sang Saka Biru berduka apabila kehilangan pegawai komando elit VAT 69, Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin, 45, yang terkorban ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking, Semporna, Sabah.

Seorang wanita di Kulim, Kedah pula luluh hatinya apabila suami dan dua anak meninggal dunia apabila kereta Perodua Viva yang mereka naiki bertembung dengan Proton S70 pada 18 Januari lalu.

Paling tidak disangka apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan penyelewengan dalam pasukan Angkatan Tentera Malaysia melibatkan duit jutaan ringgit.

Dua pegawai tertinggi iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera dan bekas Panglima Tentera Darat masing-masing mengaku tidak bersalah selepas didakwa atas tuduhan tersebut di mahkamah.

Di media sosial, rakyat meluahkan mereka sudah cukup penat dan muak di atas sikap tidak amanah orang yang diberikan kepercayaan untuk menerajui sesuatu agensi kerajaan.

Sikap mementingkan diri sentiasa berlaku dan ia mengguris perasaan anggota yang sering mengharapkan orang ataslah yang akan membela pasukan dan menjaga kebajikan mereka.

Macam-macam teori muncul, namun sesuatu yang menarik untuk diikuti ialah apabila SPRM menyatakan terdapat beberapa lagi kementerian berada dalam radar siasatan mereka.

Cemas, cuak dan takut sudah pasti menjalar dalam salur darah orang-orang ini. Satu perkara yang perlu diingatkan ialah SPRM pakar dalam membongkar kegiatan rasuah walaupun ia telah lama dilakukan.

Kepak SPRM bertambah kembang apabila mereka mendapat ‘restu’ Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjalankan siasatan tanpa diganggu.

Sememangnya gejala rasuah menjahanamkan pentadbiran negara. Rasuah boleh menyebabkan kegiatan haram seperti pelacuran, dadah, penyeludupan dan gengster terus hidup mekar dalam masyarakat.

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sudah mengingatkan kita sejak dari dahulu lagi. Dalam filem Ahmad Albab misalnya, watak posto menolak pelawaan Syawal untuk minum kopi ketika menjalankan tugas jelas menunjukkan kredibiliti perlu dijaga walaupun tidak dilihat majikan.

“Posto, mari minum kopi.”

“Tak boleh, rasuah.”

Walaupun nampak lucu dan singkat, babak itu memberi pengajaran yang cukup mendalam untuk dibahaskan.

Sebab itulah kita sering sangsi sekiranya ternampak pihak berkuasa menahan orang di tepi jalan. Agaknya apa benda pertama yang muncul di fikiran kita apabila melihat situasi itu. Kita sudah ada jawapannya.

Stigma itu terlalu sukar hendak dibuang kerana ia telah berada dalam kotak fikiran masyarakat sejak sekian lama sehinggalah rasuah dihapuskan sepenuhnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN