SCHEFFRAHN (tengah) menunjukkan sijil ASEAN Records dan ASIA Record yang diperolehi.

818 peminat Lambretta cipta rekod Litar Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMINAT Lambretta di negara ini mencipta sejarah tersendiri selepas menjayakan satu himpunan mega komuniti terbesar di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, Selangor yang dianjurkan oleh Lambretta Malaysia baru-baru ini.

Menariknya, himpunan mega komuniti itu telah mendapat pengiktirafan daripada ASEAN Records dan ASIA Record.

Dengan kerjasama SIC, himpunan mega tersebut mencatat rekod baharu apabila seramai 818 peserta berdaftar mengambil bahagian dalam acara tunggangan santai skuter terbesar anjuran Lambretta Malaysia.

Acara yang meraikan peminat Lambretta atau Lambrettisti itu menampilkan gabungan skuter klasik yang telah dipulihkan serta model-model terkini di pasaran.

Penyertaan daripada peminat lama dan penunggang generasi baharu membuktikan bahawa minat serta kecintaan terhadap jenama ikonik dari Itali itu merentas generasi.

Himpunan mega tersebut juga diadakan sempena pelancaran edisi terhad Casa Lambretta X300.

Untuk model tersebut, hanya 999 unit yang dipasarkan ke seluruh dunia, dan 99 unit yang dikhaskan untuk pasaran Malaysia.

Antara kemuncak utama acara itu adalah penyerahan simbolik sebanyak 68 unit Casa Lambretta X300 edisi terhad kepada para pemilik terawal.

Pengurus Besar Bike Continent Sdn. Bhd., Sterz Yap berkata, acara itu merupakan detik bersejarah buat seluruh komuniti Lambrettista di Malaysia.

AKSI salah seorang peserta konvoi ketika mengelilingi Litar Sepang.

“Daripada penyerahan eksklusif Casa Lambretta X300 sehinggalah kejayaan mencipta rekod baharu melalui acara tunggangan santai di SIC.

“Kami bukan sekadar melancarkan sebuah model baharu, sebaliknya membuat satu gerakan besar dalam komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, salah seorang pemilik jenama Lambretta, Walter Scheffrahn berkata, Casa Lambretta X300 melambangkan gabungan sempurna antara legasi perlumbaan dan visi masa depan.

“Lambretta menerima sambutan yang begitu baik di Asia, dan Malaysia merupakan salah sebuah negara yang penting untuk kami.

“Melalui himpunan mega komuniti yang mencipta rekod ini, ia mengukuhkan lagi jenama Lambretta sebagai ikon gaya, kebebasan dan semangat di peringkat global,” ujarnya.

Dalam pada itu, acara  bersejarah itu bukan sahaja menjadi platform meraikan kelajuan dan warisan Lambretta, malah berjaya menghimpunkan ratusan Lambrettisti daripada pelbagai latar belakang.

Acara itu secara tidak langsung memperkukuhkan semangat komuniti dan jalinan persaudaraan dalam kalangan peminat jenama itu.

Muhammad Zulna’im Mohamad Zulkifli, 35, yang merupakan salah seorang pemilik Lambretta tidak melepaskan peluang untuk menyertai acara tersebut.

PARA peserta konvoi bergambar kenangan di Litar Sepang.

Menurutnya, dia mengetahui tentang acara tersebut melalui kumpulan Lambretta yang disertainya.

“Ini merupakan satu peluang yang tidak patut dilepaskan, bukan mudah untuk menunggang secara santai di dalam SIC. Melalui acara ini, saya mendapat peluang untuk berkonvoi dan mengelilingi litar ini sebanyak dua kali dengan menggunakan Lambretta,” katanya.

Tambahnya, dalam acara tersebut, para peserta turut diberi sijil penghargaan kerana menjayakan himpunan yang mendapat pengiktirafan ASEAN Records dan ASIA Record itu.

Dalam pada itu, seorang lagi peserta yang ingin dikenali sebagai Ayie memaklumkan, dia sanggup datang dari Terengganu semata-mata untuk menyertai acara tersebut.

“Saya baru hampir setahun memiliki sebuah Lambretta. Ini kerana saya tertarik melihat komuniti yang menunggang skuter Lambretta.

“Dalam acara ini, saya bukan hanya dapat menunggang di dalam litar, malah mengenali dengan lebih rapat ahli komuniti yang memiliki minat sama dengan saya,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN