Makanan dan minuman manis memang sudah lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia sejak sekian lama dan ia terus diwarisi oleh generasi terkini.
Biarpun banyak pihak terutama Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menguar-uarkan kandungan gula berlebihan dalam makanan dan minuman boleh memudaratkan kesihatan seseorang dalam tempoh panjang, namun nasihat itu seolah-olah masuk telinga kanan, keluar telinga kiri oleh anak-anak muda masa ini.
Makanan dan minuman manis memang sudah lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia dengan pencuci mulut berkuah.
Kebanyakan anak muda masa kini gemar menikmati hidangan manis berlebihan terutamanya minuman yang dibeli sama ada di premis terkemuka atau pun gerai tepi jalan yang semakin galak mempromosikan produk mereka tanpa rasa bersalah.
Mungkin mereka hanya mahu mengaut keuntungan semata-mata tanpa memikirkan apa akan terjadi di kemudian hari kepada mereka yang meminumnya termasuk menghidap kencing manis atau diabetes kronik.
Melihat perkongsian oleh Public Health Malaysia (PHM) di media sosial tentang peniaga tular menunjukkan cara membancuh minuman viral dipercayai mengandungi kandungan gula dan bahan manis berlebihan baru-baru ini amat menakutkan.
Video tular itu dimulakan dengan peniaga membancuh minuman dengan meletakkan aiskrim, topping, gula, tambahan lagi bahan manis lain dan hujung-hujung ditabur dengan keju.
Mungkin ramai yang menonton video berkenaan mengatakan tidak sanggup untuk meminumnya berikutan kandungan gula yang tinggi dan boleh memudaratkan kesihatan, namun apa hidangan itu tetap laku keras.
Dalam hal ini, peniaga boleh memainkan peranan mereka dengan tidak terus menjadikan pengguna sebagai mangsa eksploitasi minuman atau makanan tinggi kandungan gula.
Perlu diingat berniaga makanan atau minuman bukan sekadar soal sedap dan laku, tetapi tanggungjawab untuk tidak memudaratkan kesihatan atau memberi manfaat kepada pembeli lebih penting.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengamalkan sikap berpada-pada dan tidak menjadikan pengambilan makanan terlampau manis sebagai rutin harian mereka sebagai ‘ganjaran’ setiap kali berasa penat dan tertekan dalam kehidupan seharian.
Ketahuilah pengambilan gula berlebihan bukan sekadar menaikkan bacaan gula dalam darah, namun secara perlahan-lahan menjejaskan kesihatan sehingga satu hari nanti kita sedar bahawa yang ‘sedap’ itu sebenarnya ada harga yang sangat mahal di kemudian hari.
Di sebalik makanan atau minuman yang nampak sedap, mewah dan menggiurkan itu tersembunyi satu hakikat pahit dan malapetaka senyap jika kita dengan senang hati menyuapkannya ke dalam tubuh sendiri.
Ini seumpama bom jangka akan boleh meletup pada bila-bila masa yang menyerang sistem tubuh. Sebab itu kita perlu bijak mengawal nafsu makan dan minum kerana badan kita tiada alat ganti di kedai aksesori.














