fbpx
Membeli buah-buahan tempatan bermakna menyokong usaha golongan petani di kawasan luar bandar dalam meningkatkan taraf ekonomi mereka. – Gambar hiasan

Buah tempatan lebih mahal banding buah import

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Jika kita berkunjung ke pasar raya atau pasar basah hari ini, satu perkara yang jelas ketara ialah harga buah-buahan tempatan yang selalunya lebih mahal berbanding buah import.

Mangga tempatan boleh mencecah harga yang hampir sama atau lebih tinggi daripada epal dari China, oren dari Australia, atau anggur dari beberapa negara lain.

Situasi ini menimbulkan persoalan yang wajar, iaitu mengapa hasil tanah air sendiri menjadi kurang mampu milik berbanding buah yang diimport dari ribuan kilometer jauhnya?

Secara logiknya, buah-buahan tempatan sepatutnya lebih murah kerana tidak melibatkan beberapa kos rentas sempadan antara negeri mahupun benua, seperti kos penghantaran jarak jauh, cukai import, atau risiko pertukaran mata wang asing.

Namun realiti pasaran menunjukkan sebaliknya. Keadaan ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi berpunca daripada gabungan masalah struktur dalam rantaian bekalan pertanian sesebuah negara.

Sebelum kita mengupas isu utama, mari kenali buah-buahan tempatan yang sering dihasilkan, dimakan dan dieksport oleh petani mahupun pengeluar buah tempatan yang ada di negara ini.

Menurut Jabatan Pertanian dan Jabatan Perangkaan, terdapat beberapa buah utama di Malaysia iaitu betik, pisang, nanas, durian, belimbing, jambu batu, tembikai, nangka, rambutan dan manggis, cempedak dan buah naga.

Berdasarkan kuantiti dan berat, buah durian, pisang dan tembikai mengungguli carta tertinggi penghasilan buah, diikuti oleh betik, rambutan, jambu batu, nangka, buah naga, manggis dan cempedak.

Pengeluaran tidak stabil

Antara punca utama ialah skala pengeluaran yang kecil dan tidak konsisten. Jika dilihat dari kuantiti buah-buahan yang dihasilkan, ia mungkin tidak sebanyak yang dihasilkan oleh negara-negara pengeluar buah utama dunia seperti China, India, Eropah, Australia, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.

Di sini, kebanyakan petani buah-buahan tempatan merupakan pengusaha kecil yang mengusahakan kebun berskala terhad. Pengeluaran yang tidak menentu akibat faktor cuaca, serangan penyakit tanaman, dan kekurangan teknologi moden menyebabkan bekalan buah tempatan sukar distabilkan sepanjang tahun.

Apabila bekalan berkurangan, harga meningkat, walaupun permintaan pengguna kekal tinggi.

Selain itu, kos pengeluaran yang tinggi turut menyumbang kepada harga yang mahal. Bagi menghasilkan buah yang berkualiti, beberapa faktor pengeluaran perlu diberi perhatian khusus.

Harga baja, racun perosak, upah buruh mengikut gaji minimum, dan kos penyelenggaraan kebun yang diperlukan kian me­ningkat. Akhirnya, kos tersebut dipindahkan kepada pengguna yang mengakitkan peningkatan kepada harga buah-buahan tersebut di pasaran. Isu orang tengah juga tidak boleh diketepikan.

Dalam banyak kes, petani tidak menjual terus kepada pengguna atau peruncit besar. Buah-buahan melalui beberapa lapisan pengedar sebelum sampai ke pasaran. Setiap lapisan menambah margin keuntungan, menyebabkan harga akhir me­lonjak jauh daripada harga ladang.

Petani menerima pulangan yang rendah, manakala pengguna terpaksa membayar harga yang tinggi. Turut diambil kira adalah pengangkutan yang menjadi medium pengedaran hasil tanaman tersebut ke banyak lokasi berasingan yang terdapat di seluruh negara.

Hal ini terkait langsung dengan penggunaan bahan bakar seperti petrol dan diesel yang sentiasa berubah mengikut harga pasaran semasa dunia.

Ironinya, buah import pula mendapat manfaat daripada rantaian bekalan yang cekap dan terancang.

Negara pengeksport utama mempunyai sistem logistik yang baik, kontrak jangka panjang dengan pembeli, serta keupayaan menyimpan buah-buahan dalam tempoh lama mengikut jenis buah.

Ini membolehkan buah import dijual pada harga yang lebih stabil dan kadangkala lebih murah walaupun kos penghantaran adalah tinggi.

Dari sudut tingkah laku pengguna pula, terdapat kecenderungan untuk menganggap buah import sebagai lebih dipandang tinggi, berkualiti, lebih cantik, dan lebih premium.
Persepsi jadi faktor

Persepsi ini mendorong permintaan yang tinggi terhadap buah import, sekali gus memberi tekanan harga kepada buah tempatan yang dilihat kurang menarik dari segi saiz atau rupa, walaupun sebenarnya lebih segar dan berkhasiat.

Terdapat juga trend di mana sesetengah jenis buah luar negara tersebut mendapat sambutan hangat pada waktu tertentu yng didorong oleh pempengaruh di media sosial yang akhirnya membantu melonjakkan lagi permintaan buah dari luar negara tersebut.

Sebagai rakyat, isu ini perlu dilihat bukan sekadar soal harga, tetapi soal keselamatan makanan dan ke­langsungan sektor pertanian negara.

Jika petani tempatan terus tertekan dan hasil mereka tidak mampu bersaing di pasaran, ge­nerasi muda akan semakin menjauhi sektor pertanian sebagai bidang kerjaya di masa hadapan.

Dalam jangka panjang, negara akan menjadi lebih bergantung kepada import makanan, sekali gus terdedah kepada risiko gangguan bekalan global mahupun perdagangan negara. Penyele­saiannya memerlukan pendekatan yang menyeluruh. Organisasi yang berkaitan boleh memperkukuh sokongan kepada petani melalui subsidi bersasar, latihan teknologi pertanian moden, bengkel penyam­paian ilmu berkaitan pertanian khusus, serta platform pemasaran terus kepada pengguna dan pembekal. Pengurangan pe­ranan orang tengah dan pe­ngukuhan koperasi petani juga membantu menstabilkan harga.

Pada masa yang sama, kempen kesedaran awam perlu digiatkan bagi mengubah persepsi pengguna terhadap nilai buah tempatan.

Akhirnya, persoalan mengapa buah tempatan lebih mahal daripada buah import bukan sekadar isu ekonomi, tetapi cerminan keutamaan kita sebagai sebuah negara.

Menyokong buah-buahan tempatan bermakna menyokong petani, ekonomi luar bandar, tenaga kerja mahir dan masa depan keselamatan makanan Malaysia.

Jika isu ini tidak ditangani secara serius, kita mungkin akan terus menyaksikan hasil bumi sendiri menjadi barang mewah di tanah air sendiri.

Penulis ialah:

Dr. Faiz Masnan ialah Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan & Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN