WIRA animasi kesayangan Malaysia, Ejen Ali, telah membuat penampilan sulungnya di Kejohanan Dunia M7 (M7) yang membuka tirainya di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Ia menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama berterusan antara animasi tempatan dan syarikat permainan video antarabangsa, MOONTON Games.
Berakar umbi daripada penceritaan Malaysia, tema keberanian dan kerja berpasukan yang dibawa karakter Ejen Ali turut mendapat sambutan dalam kalangan penonton muda di seluruh Asia Tenggara.
Langkah ini membuktikan bahawa kandungan hiburan tempatan mampu merentas sempadan dan mencipta detik budaya yang bermakna dalam landskap permainan kompetitif yang kian berkembang.
Penampilan Ejen Ali pada majlis pembukaan kejohanan dunia tersebut menunjukkan bagaimana harta intelek hiburan mampu menghubungkan peminat e-sukan merentasi sempadan.
Untuk rekod, Kejohanan Dunia M7 merupakan edisi ketujuh Siri M, menghimpunkan 22 pasukan terbaik dunia di Jakarta dari 3 hingga 25 Januari 2026 untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah AS$1 juta (RM4 juta).
Bertemakan Rise as One, penganjuran kali ini menandakan kembalinya Siri M ke Indonesia setelah buat kali terakhir negara itu menjadi tuan rumah adalah ketika penganjuran M4.
Selain menobatkan juara dunia, M7 telah berkembang menjadi sebuah pameran budaya yang mempertemukan permainan dengan hiburan serta identiti nasional.
Kejohanan tersebut melibatkan permainan e-sukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).

MLBB disenaraikan antara permainan Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) mudah alih paling popular di dunia, dengan lebih 1.5 bilion pemasangan dan 110 juta Pengguna Aktif Bulanan (MAU).
Menurut laporan Esports Charts, ekosistem global MLBB merekodkan 475 juta Jam Ditonton (HW) pada tahun 2024, sekali gus meletakkannya sebaris dengan jenama terbesar dalam hiburan sukan global,
Ketua Global MLBB Esports di MOONTON Games, Tiger Xu, berkata Rise As One bukan sekadar tema tetapi juga mesej untuk komuniti dan peminat di seluruh dunia.
“Majlis Pembukaan M7 menghimpunkan pelbagai budaya, menghormati warisan dan bertujuan menginspirasikan peminat untuk bersatu meraikan minat bersama.
“Malam ini adalah pernyataan tentang apa yang MLBB Esports wakili hari ini serta mencerminkan perjalanan yang bakal kami tempuhi pada masa hadapan.
“Dengan menggabungkan tradisi dan inovasi, majlis ini melambangkan visi kami untuk MLBB memperkasa dan mengangkat komuniti ini.
“Kami mahu terus mencipta pengalaman bersama yang menyatukan dunia melalui kuasa permainan, sukan, budaya dan hiburan,” katanya.
Pada majlis penuh gilang gemilang tersebut, para penari menggabungkan warisan dan ekspresi moden dengan mengenakan busana tradisional Indonesia beraksen neon, diinspirasikan daripada seni rakyat dan pahlawan Jawa.
Gabungan bentuk tradisional dan visual kontemporari ini mencerminkan identiti MLBB Esports yang kian berkembang, berteraskan budaya, namun dipacu keamatan persaingan masa kini.

Timbalan Menteri Ekonomi Kreatif Indonesia, Irene Umar berkata, sambutan meriah yang dilihat serta peningkatan populariti MLBB sebagai simbol kebanggaan nasional negara itu dan perpaduan global.
“Penganjuran M7 meletakkan Indonesia di tengah-tengah pentas esports global sekali gus membuatkannya dilihat, didengar dan diraikan oleh penonton di seluruh dunia.
“Bersama MOONTON Games, kami telah menyaksikan bagaimana MLBB telah berkembang lebih daripada sekadar permainan. Ia kini menjadi salah satu judul hiburan yang paling banyak ditonton dan disayangi di seluruh dunia.
“Sebagai sebuah persekutuan, kami mengiktiraf peranan MOONTON Games dalam membangunkan ekosistem e-sukan yang profesional, lestari dan dihormati di peringkat global,” katanya.
Peminat di seluruh dunia turut boleh menyertai musim M7 menerusi pelbagai pengalaman dalam permainan dalam talian.
Dengan daftar masuk selama 13 hari antara 9 hingga 31 Januari, pemain boleh membuka kunci kostum Edith ‘Verdant Knight’ secara percuma.
Seiring dengannya ialah M7 Pass, tersedia sehingga 8 Februari yang menampilkan pelbagai ganjaran edisi terhad termasuk kostum percuma Gatotkaca ‘Solar Spark’.
Berinspirasikan cerita rakyat Indonesia, legenda perkasa ini tampil sebagai simbol identiti e-sukan negara ketika M7 bermula.
Menurut Esports Charts lagi, MLBB tersenarai dalam tujuh daripada 10 kejohanan esports mudah alih paling popular pada tahun 2025. Pencapaian ini turut diserlahkan apabila permainan tersebut muncul sebagai judul paling popular dalam sejarah Esports World Cup (EWC).
Selain itu, MLBB juga menjadi acara utama kejohanan e-sukan pelbagai judul terbesar dunia, Mid Season Cup (MSC) di EWC 25 yang mencatat sejarah sebagai kejohanan pertama yang melepasi 3 juta Penonton Serentak Puncak (PCV).
MLBB juga dipertandingkan di Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-33 sebagai acara berpingat buat kali keempat, sekali gus meletakkannya sebaris dengan sukan tradisional paling popular di rantau ini.
















