Dari bilik hotel ke medan pertempuran digital, itulah rutin baharu buat pasukan CG Esports, juara Mobile Legends Academy League (MAL) yang kini ‘berkampung’ di Royale Chulan Damansara sebagai pusat latihan rasmi mereka.
Dalam usaha mengukuhkan strategi dan keserasian pasukan menjelang musim ke-16 Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL), kerjasama antara hotel ternama dan pasukan muda berbakat ini memberi nafas baharu kepada ekosistem e-sukan tanah air.
Bagi CG Esports, tempat latihan bukan sekadar lokasi. Ia adalah ruang untuk mereka fokus, berlatih dan membina semangat berpasukan.
Justeru, di tengah suasana selesa dan eksklusif Royale Chulan Damansara, mereka mengatur langkah menuju pentas yang lebih besar.
Pada 5 Julai lalu hotel tersebut mengumumkan perasmian Royale Chulan Gaming Arena (RCG) sebuah hab e-sukan yang dibina khas untuk memperkasa permainan e-sukan serta menyokong perkembangan komuniti e-sukan di Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik itu, RCG akan memainkan peranan penting sebagai pusat latihan rasmi CG Esports menjelang MPL Musim ke-16, selepas menjuarai MAL MY S3.
Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Hotels and Resorts Sdn. Bhd, Datuk Rosthman Ibrahim berkata, kerjasama tersebut adalah sebagai menyediakan ruang kondusif dalam persiapan pasukan CG Esports untuk kejayaan yang lebih besar.
“Di Royale Chulan Damansara ini, CG Esports bukan sahaja dapat menikmati kemudahan dan keselesaan yang ditawarkan di sini, bahkan menjadi tempat yang sesuai mempersiapkan mereka menjadi juara.
“Mereka sekarang bergelar juara MAL. Tahun depan, saya pasti dan yakin mereka akan bergelar juara MPL, seterusnya mewakili negara ke MLBB M7 World Championship,” katanya.
Untuk makluman, CG Esports mengesahkan slot ke MPL MY musim ke-16 selepas muncul juara kejohanan MAL musim ketiga dengan membelasah GamesMY Kelantan (GMXK) 4-0 pada aksi final baru-baru ini.
Kerjasama penubuhan RCG juga turut melibatkan Todak Culture sebagai rakan gaya hidup rasmi, menyediakan kerusi ergonomik berprestasi tinggi di ruang permainan.
Sejak 2017, Todak Culture telah mengedarkan lebih 10,000 unit kerusi permainan yang ergonomik.
Ketua Pegawai Eksekutif Todak Culture Sdn. Bhd., Ir. Ts. Nurul Hakimi Haque berkata, pihaknya berbesar hati menjadi sebahagian daripada penceritaan perjalanan CG Esports.
“Kami sedang membangun dan membesar bersama-sama dengan pasukan e-sukan yang ada di luar sana termasuk CG Esports.

“Tahniah saya ucapkan kepada CG Esports kerana berjaya menjuarai MAL baru-baru ini. Kami di Todak Culture merupakan syarikat yang membekalkan kerusi-kerusi ‘gaming’ dan kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada kejayaan kalian semua,” ujarnya.
Dia juga berharap mereka yang menggunakan kemudahan itu boleh merasai sendiri rekaan yang penuh berhemah sama ada untuk tujuan bermain ‘game’, bekerja atau sekadar bersantai.
Selain itu, rakan teknologi seperti SHARP dan Samsung mempertingkatkan lagi suasana arena dengan teknologi terkini termasuk televisyen 4K, penapis udara dan tiga buah monitor ‘gaming’ berprestasi tinggi.
RCG juga dikuasakan oleh ZOTAC, manakala WTM dan Zush tampil sebagai rakan media dan jersi rasmi.
Pelancaran arena itu turut dimeriahkan dengan sesi ramah mesra bersama pemain-pemain CG Esports yang baru sahaja menjuarai MAL dan menempah slot ke Liga MPL.
Kerjasama itu bukan sahaja memberikan kelebihan latihan kepada CG Esports dalam persekitaran profesional dan selesa, malah dijangka membantu memacu pertumbuhan komuniti e-sukan tempatan dan menonjolkan potensi jenama tempatan seperti Todak di peringkat lebih tinggi.
Salah seorang pemain CG Esports dikenali sebagai Ciku berkongsi kegembiraannya di atas kerjasama itu yang memberiimpak positif terhadap perjalanan pasukannya.
“Saya tidak sabar untuk memulakan latihan di sini dengan kemudahan yang disediakan bagi mengukuhkan misi akhir kami iaitu kejuaraan M7,” katanya.














