fbpx
RRQ yang melibatkan campuran pemain tiga negara mencuri tumpuan apabila membuka tirai MPL MY 17 dengan prestasi memberangsangkan.

MPL MY S17 perluas anugerah, raikan seluruh ekosistem e-sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIGA Profesional Mobile Legends: Bang Bang Malaysia (MPL MY) terus mengukuhkan kedudukan sebagai platform utama e-sukan tempatan apabila secara rasmi mengumumkan Anugerah Musim Ke-17 MPL MY sempena Minggu Pembukaan Regular Season baru-baru ini.

Penganjuran anugerah ini mencerminkan usaha berterusan MPL MY dalam mengiktiraf kecemerlangan bukan sahaja dalam kalangan pemain profesional, tetapi juga keseluruhan ekosistem yang menyokong perkembangan liga termasuk bakat siaran seperti pengulas dan penganalisis, pencipta kandungan serta pihak industri.

Menurut pengumuman rasmi, rangka kerja anugerah ini diperluaskan bagi mengiktiraf lebih daripada sekadar prestasi kompetitif, selari dengan evolusi MPL MY yang kini memberi fokus kepada pembangunan ekosistem yang lebih menyeluruh dan mampan.

Ia turut berfungsi sebagai platform rasmi untuk mendokumentasikan pencapaian serta menghargai pelbagai pihak dalam industri.

Kategori Anugerah Musim Ke-17 MPL MY merangkumi beberapa anugerah utama termasuk Most Valuable Player (MVP), Rising Star of the Season, Rookie of the Season serta pengiktirafan mengikut posisi seperti Best Jungler, Gold Lane, EXP Lane, Mid Lane dan Roamer.

Selain itu, turut diberikan ialah anugerah Coach of the Season, Team of the Season serta pengiktirafan berasingan untuk MVP peringkat Regular Season dan Playoffs.

Bagi ekosistem luar padang, anugerah ini turut merangkumi kategori bakat siaran seperti pengulas dan penganalisis, pencipta kandungan serta anugerah khas bagi sumbangan kepada pembangunan komuniti dan industri e-sukan.

Musim Ke-17 juga menandakan permulaan era baharu menerusi pelaksanaan Program Perkongsian yang mencerminkan perubahan struktur liga ke arah ekosistem yang lebih tersusun.

Majlis pembukaan turut menghimpunkan empat figura ikonik komuniti MPL MY iaitu Faris ‘Soloz’ Zakaria, Lu ‘Sasa’ Khai Bean, Muhammad Danial ‘CikuGais’ Mohamad Fuad dan Mohammad Zul Hisham ‘Xorn’ Mohd. Noor.

Kehadiran mereka dalam segmen penyerahan legasi membawa simbolik terhadap peranan generasi terdahulu dalam membina asas kukuh liga, di samping menandakan peralihan kepada generasi baharu pemain dan bakat yang bakal mencorakkan masa depan MPL MY.

Ketika ditanya mengenai perubahan tersebut, Soloz berkata, struktur baharu ini tepat pada masanya memandangkan beberapa pasukan berdepan cabaran untuk bertahan akibat kos operasi yang tinggi dalam pengurusan organisasi e-sukan.

“Bagi saya, perubahan yang diperkenalkan oleh MPL MY ini pasti akan menjamin kebajikan pemain.

Soloz hadir dalam segmen penyerahan legasi sebagai simbol peralihan ke generasi baharu MPL MY.

“Sebelum ini, pasukan sering menghadapi kesukaran kewangan kerana e-sukan memerlukan dana yang besar,” katanya.

Dengan struktur baharu ini, penganjur liga akan memilih pasukan yang benar-benar stabil khususnya dari segi kewangan.

Ini sepatutnya mengurangkan risiko pasukan yang bertanding daripada menghadapi masalah kewangan pada masa hadapan.

Bagi Soloz, struktur liga berasaskan perkongsian juga akan menjadikan MPL MY lebih kompetitif serta membantu melahirkan lebih banyak bakat baharu.

“Sebagai contoh, jika pasukan dari luar menyertai MPL MY, mereka berkemungkinan akan menyediakan kemudahan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Perkembangan ini secara tidak langsung akan menjadikan liga lebih kompetitif serta menggalakkan pertumbuhan yang sihat dan melahirkan lebih ramai pemain berkemahiran,” katanya.

Untuk rekod, lapan pasukan bertanding ialah Selangor Red Giants (SRG), Team Vamos (VMS), Team Rey (TR), Rex Regum Qeon (RRQ), Bigetron MY by VIT (BTRM), All Combo (AC), Invictus Gaming (iG) dan Team Flash (TF).

SRG, Team Vamos dan Team Rey merupakan tiga wakil Malaysia yang dikekalkan daripada MPL MY Musim 16 pada tahun lalu, manakala RRQ melibatkan campuran pelbagai negara iaitu Indonesia, Malaysia dan Filipina, Bigetron MY by VIT dari Indonesia, Invictus Gaming (iG) dan All Combo (AC) dari China serta Team Flash (TF) dari Singapura.

Sementara itu, peminat tempatan Aqif Zafril berharap pasukan RRTQ Tora di bawah RRQ muncul juara di peringkat grand final sekali gus membuktikan bahawa format baharu ini memberi impak tersendiri.

“Saya berharap dengan adanya format baharu yang melibatkan pasukan kendalian serantau ini, kita boleh melihat impaknya terhadap MPL MY.

“Oleh itu, saya berharap RRQ Tora muncul juara grand final sekali gus mampu memberi saingan kepada juara dua kali berturut-turut, SRG,” katanya.

RRQ Tora merupakan pasukan di bawah RRQ yang beraksi dalam saingan MPL MY dengan menampilkan gabungan pemain dari Malaysia, Indonesia dan Filipina dalam roster mereka.

Antara pemain yang mewakili pasukan tersebut ialah Rendy Syahputra (Dyrennn) yang beraksi di EXP Lane, Muhammad Syafizan Najmi Kamarulzaman (Garyy) selaku Jungler, Muhammad Azri

Jamaludin (Aj), Adam Alhakim Mohamad Ali (Kyym) di Mid Lane, Dhiya’ Harith Hazran Shahrul Hadafi (Rough) di Gold Lane serta Czedrick Jaylord Romero (Super Yoshi) yang menggalas peranan sebagai Roamer.

Menurut Dyrennn, dia tidak menyangka pasukan mereka menerima sokongan yang begitu besar sejak penyertaan mereka dalam MPL MY musim ini.

“Saya tidak sangka kami mempunyai ramai penyokong di sini (Malaysia), malah ada yang sanggup datang dari Indonesia untuk memberikan sokongan,” katanya.

Dyrennn menambah bahawa cabaran utama pasukan adalah proses penyesuaian serta komunikasi dalam kalangan pemain yang datang dari latar negara berbeza.

“Kami perlu berkomunikasi dengan baik dalam beberapa bahasa memandangkan pasukan ini terdiri daripada pemain dari tiga negara berbeza. Oleh itu, kami akan mengharungi setiap perlawanan secara berperingkat, langkah demi langkah sehingga ke peringkat akhir,” tambahnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN