fbpx
Ciku (tengah) bersama pasukan CG Esports termasuk Rainn (depan, kiri).

CG Esports cipta sejarah, dominasi MAL MY, sasar MPL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Siapa sangka, Muhammad Danial Mohamad Fuad, ikon besar Mobile Legends Malaysia kini telah melangkah lebih jauh dengan membina pasukan sendiri di bawah bendera CG Esports, sekali gus mengangkat trofi kejuaraan Mobile Legends Academy League Malaysia (MAL MY) Musim 3 baru-baru ini.

Muhammad Danial lebih dikenali sebagai Ciku yang telah menjuarai MPL MY/SG Musim 6 sebagai MVP musim liga dan Grand Final bersama pasukan Todak, kini memegang watak lebih besar sebagai pemimpin dan juga individu utama di sebalik pasukan CG Esports.

Dengan rekod mengagumkan iaitu hanya satu kekalahan sepanjang regular season, CG Esports ditabalkan sebagai juara MAL MY Season 3, melangkah ke Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) Musim Ke‑16 dengan keyakinan tinggi.

“Tidak sangka saya sudah ada team sendiri secepat ini, sejujurnya saya sangat gembira,” ungkap Ciku memulakan bicara berkenaan pasukan kelolaannya itu.

Kini, pemuda berusia 24 tahun itu bukan sekadar pro player, dia juga telah menjadi figura utama CG Esports yang dipandang sebagai ‘final boss’ di pentas MAL Malaysia.

Bersama rakan penggempur muda seperti Garyy, pasukan itu menampilkan kombinasi pengalaman dan tenaga muda yang segar dalam setiap perlawanan.

Berkongsi tentang penubuhan pasukan, Ciku berkata ia berawal daripada kegagalan dia dan ahli pasukannya yang lain untuk bermain dalam pasukan-pasukan sedia ada di negara ini.

“Penubuhan kumpulan sendiri adalah kerana saya mahu membuktikan kepada orang lain bahawa kami juga hebat dan mampu bermain dengan baik.

“Oleh sebab itu, kebanyakan mereka yang menganggotai CG Esports terdiri daripada mereka yang tidak diberi kesempatan bermain di pasukan lain dan oleh sebab itu saya nekad tubuhkan pasukan sendiri,” katanya kepada K-Remaja.

Berkongsi tentang rutin hariannya sebagai pemain profesional, Ciku berkata mereka lazimnya bangun pada pukul 10 pagi dan akan bermain ‘ranked’ sehingga pukul 1 tengah hari.

“Pukul 1 sehingga 2 petang adalah waktu makan dan menunaikan solat zuhur, sebelum kami memulakan semula sesi latihan sehingga pukul 4 petang, sebelum berehat dan meyambung latihan pada pukul 5 petang hingga 7 malam.

“Sebelah malam turut diisi dengan latihan iaitu pada pukul 8 malam sehingga 10 malam,” katanya tentang jadual harian pasukan.

Berkongsi tentang impian pasukan, jurulatih CG Eports, Fikri Aiman Mohd. Khidzir atau lebih dikenali sebagai Rainn berkata selepas menjuarai MAL MY Musim 3, dia mahu memberi tumpuan terhadap sasaran terdekat iaitu MPL.

“Sasaran untuk MPL adalah untuk bergelar juara, namun jika bercakap tentang sasaran peringkat antarabangsa, kami berharap untuk memberikan permainan yang berkualiti bagi menunjukkan bahawa Malaysia merupakan gergasi besar dan sudah tentu untuk menjadi title contender (pesaing kejuaraan),” katanya.

CG Esports turut menyasarkan untuk menyinar di peringkat antarabangsa.

Rainn turut mengulas tentang kolaborasi CG Esports bersama Royale Chulan Damansara yang dianggap amat membantu mempersiap pasukan dari pelbagai aspek seperti memantapkan latihan dan keselesaan.

“Kerjasama bersama Royale Chulan Damansara menerusi penubuhan Royale Chulan Gaming Arena (RCG) amat membantu pasukan dalam bukan sahaja dari aspek sokongan moral, malahan juga dari segi sokongan logistik secara total.

“Di RCG, pemain dan pasukan boleh berlatih dan fokus untuk memberikan persembahan terbaik dalam game, tanpa perlu risau tentang perkara-perkara selain daripada game,” katanya.

Pendekatan CG Esports dalam membangunkan bakat muda dan memastikan mereka bersedia untuk pentas besar seperti MPL adalah dengan memberi fokus terhadap pemain-pemain yang mempunyai potensi dan boleh digilap.

“Kita tidak terlalu memfokuskan terhadap track record.

“Ya, track record adalah betul, namun apa yang lebih penting adalah kami mahu menilai cara mereka berfikir dan apa yang mereka tawarkan kepada pasukan.

“Itu jauh lebih penting jika nak dibandingkan dengan populariti dan juga sejarah-sejarah yang pernah mereka ukir pada masa lepas.

“Bagi memastikan mereka bersedia, sudah tentu selain peralatan dan fasiliti yang lengkap, barisan kejurulatihan termasuk saya akan memastikan pemain berada dalam suasana kondusif, berekosistem yang sihat dan bagaimana kami boleh meningkatkan value mereka sebagai pemain,” ungkapnya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN