Sukan elektronik atau e-sukan kini semakin mendapat tempat dalam landskap sukan di Malaysia seiring dengan perkembangan teknologi dan minat generasi muda terhadap permainan digital kompetitif.
Tidak lagi dianggap sekadar hiburan, e-sukan telah berkembang menjadi satu platform profesional yang mampu melahirkan atlet berdaya saing serta membuka peluang kerjaya baharu.
Pelbagai inisiatif di peringkat negeri dan kebangsaan giat dilaksanakan bagi memperkukuh ekosistem ini, termasuk penganjuran kejohanan yang memberi ruang kepada bakat-bakat baharu untuk menyerlah.
Selaras dengan perkembangan tersebut, Negeri Sembilan Esports Championship 2026 (NSEC26) dan Pra Sukma Esports 2026 Peringkat Zon Selatan telah berlangsung selama dua hari bermula 28 Februari hingga 1 Mac 2026 di Dewan Wawasan, Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.
Program itu dianjurkan oleh Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan (NSEA) dengan kerjasama Politeknik Port Dickson dan Majlis Sukan Negeri Sembilan serta disokong oleh Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF).
Penganjurannya juga adalah berpaksikan matlamat utama untuk membangunkan bakat dalam sukan elektronik di Negeri Sembilan, di samping membentuk komuniti e-sukan yang aktif dan bersaing secara sihat.
Selain itu, kejohanan tersebut turut berperanan sebagai platform persiapan bagi atlet e-sukan negeri dalam menghadapi temasya Sukma 2026 yang akan berlangsung di Selangor.
Menurut Presiden Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sembilan (NSEA), Abdul Akif Rahim, penganjuran kejohanan merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh pembangunan e-sukan di peringkat negeri.
“Program ini bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah ruang untuk mencungkil bakat baharu serta mempersiap atlet kita ke pentas yang lebih besar seperti Sukma,” katanya.
Abdul Akif turut menambah bahawa usaha membangunkan e-sukan memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
“Kami amat menghargai sokongan daripada semua pihak termasuk institusi pendidikan dan badan sukan negeri yang bersama-sama menjayakan program ini,” jelasnya lagi.
Penganjuran program ini juga melibatkan secara langsung Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik Port Dickson.

Penglibatan itu menjadi platform pertukaran ilmu khususnya dalam aspek pengurusan dan penganjuran kejohanan e-sukan, sekali gus memberi pendedahan praktikal kepada para pelajar.
Bagi kategori NSEC26, antara permainan yang dipertandingkan ialah Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PUBG Mobile (PUBGM), Magic Chess: Go Go dan EAFC 26.
Sementara itu, bagi kategori Pra Sukma Esports, acara yang dipertandingkan termasuk Honor of Kings, Mobile Legends: Bang Bang bagi kategori lelaki dan wanita,
Simulator E-Racing (Time Attack / Endurance), E-Chess (Blitz dan Rapid) serta E-Football (1v1 dan 2v2).
Menariknya, setiap pasukan yang menyertai kategori berkumpulan diwajibkan mempunyai sekurang-kurang dua orang pemain anak jati Negeri Sembilan sebagai syarat penyertaan.
Syarat ini dilihat sebagai satu langkah untuk memastikan pembangunan bakat tempatan terus diberi keutamaan.
Kejohanan itu menawarkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai sebanyak RM12,100, sekali gus menjadi tarikan kepada para peserta dari pelbagai latar belakang.
Program itu juga telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 500 peserta yang terdiri daripada pelbagai negeri, komuniti e-sports Negeri Sembilan, pelajar serta atlet e-sports dari Politeknik Port Dickson.
Sokongan padu turut diberikan oleh pihak pengurusan Politeknik Port Dickson serta para pelajarnya.
Antara pengurusan tertinggi yang terlibat ialah Pengarah Politeknik Port Dickson, Wan Zulkifly Wan Zakaria; Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Ahmad Zaidi Mispan serta Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Mohd. Fouzi Mustafa.
Bagi memastikan kelancaran program, NSEA telah memohon peruntukan kewangan sebanyak RM50,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan melalui Geran Padanan
Sukan (GPS), selain menerima sokongan kewangan sebanyak RM15,000 daripada Majlis Sukan Negeri Sembilan.
Majlis perasmian program telah disempurnakan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan Jabatan Belia dan Sukan
Negeri Sembilan, Azharizal Santib bersama Ahmad Zaidi dan Abdul Akif selaku Presiden NSEA.
Mengulas lanjut, Abdul Akif menegaskan bahawa kejohanan seperti ini akan terus dianjurkan pada masa hadapan.
“Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan bagi memastikan pembangunan e-sukan di Negeri Sembilan kekal relevan dan berdaya saing,” kata Abdul Akif.
Secara keseluruhannya, penganjuran NSEC26 dan Pra Sukma Esports 2026 Peringkat Zon Selatan bukan sahaja berjaya menghimpunkan komuniti esports, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat serta persiapan atlet ke peringkat lebih tinggi.














