MINAT pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menunjukkan penurunan membimbangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut data Kementerian Pendidikan, hanya 15.2 peratus pelajar memilih aliran sains bagi sesi akademik 2023/2024. Lebih merisaukan, lebih 100,000 pelajar gagal subjek Sains dan Matematik dalam SPM 2024.
Trend ini membimbangkan kerana STEM tunjang utama dalam memacu kemajuan teknologi dan inovasi negara. Tanpa penyertaan aktif orang muda yang berminat dan mahir bidang ini, hasrat Malaysia mencapai status negara maju akan berdepan cabaran besar.
Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh diambil bagi menarik minat pelajar terhadap STEM antaranya melalui animasi yang makin mendapat tempat di hati rakyat seperti Ejen Ali.
Bukan sahaja menghiburkan dan mendidik, Ejen Ali juga mengangkat nilai-nilai sains dan teknologi melalui jalan cerita yang menarik.
Latar dunia futuristik Cyberaya menampilkan pelbagai teknologi canggih berasaskan prinsip STEM seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan sumber tenaga boleh diperbaharui dikenali sebagai Azurium.
Melalui naratif yang kreatif dan visual mengujakan, Ejen Ali memberi gambaran jelas kepada pelajar bahawa STEM bukan sekadar teori dalam bilik darjah, tetapi bidang yang dinamik, menyeronokkan dan relevan dalam kehidupan seharian.
Menurut Profesor di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Malaya, Ir. Dr. Nahrizul Adib Kadri, salah satu elemen teknologi menarik dalam Ejen Ali The Movie 2 adalah sut berperisai canggih dikenali sebagai Satria.
“Sut Satria digambarkan sebagai perisai pintar dilengkapi dengan AI untuk membantu ejen Mata melaksanakan misi.
“Ia mampu berubah bentuk mengikut keperluan pemakai dan dilengkapi sistem pengesanan serta pertahanan sofistikated,” katanya kepada Kosmo!.
Nahrizul berkata, gambaran teknologi seumpama ini dalam animasi mampu mencetuskan minat pelajar untuk mendalami bidang teknologi dan kejuruteraan dengan lebih serius.
Beliau turut menekankan pengaruh positif animasi seperti Ejen Ali harus disokong oleh peranan ibu bapa dan guru untuk menerangkan konsep teknologi dalam cara yang mudah difahami.
“Mereka boleh membawa anak-anak ke pameran sains, menggalakkan penyertaan dalam pertandingan inovasi, atau terlibat program universiti berkaitan STEM,” katanya.
Pendekatan itu bukan sahaja mengukuhkan pemahaman pelajar, tetapi memberi peluang mereka berinteraksi secara langsung dengan dunia sains dan teknologi sebenar.
Tambahnya, Ejen Ali juga membuka ruang perbincangan tentang nilai-nilai penting seperti integriti, tanggungjawab sosial dan etika dalam penggunaan teknologi.
“Tanggungjawab sosial penting kerana kemajuan teknologi perlu disertai dengan kesedaran moral agar tidak disalahgunakan.
Ejen Ali sampaikan mesej bahawa menjadi saintis atau jurutera bukan sahaja perlu pintar, tetapi bertanggungjawab dan etika,” katanya.
Kejayaan Ejen Ali The Movie 2 memberi isyarat positif terhadap potensi animasi tempatan sebagai medium pendidikan tidak formal.
Dengan paparan teknologi lebih canggih dan jalan cerita lebih mendalam, filem ini berupaya menarik minat pelajar untuk melihat bidang STEM sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
“Filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi wajar dimanfaat untuk memupuk minat pelajar terhadap STEM,” ujarnya.














