PADA era yang serba pantas dan penuh tekanan ini, ‘vision board’ berperanan penting untuk sentiasa mengingatkan kita tentang azam dan matlamat hendak dicapai.
Bahkan ‘vision board’ atau papan visi juga bukan lagi sekadar aktiviti bermusim setiap awal tahun, tetapi semakin diterima sebagai satu gaya hidup ramai orang.
‘Vision board’ berfungsi sebagai ruang visual untuk menyusun impian, nilai dan hala tuju hidup secara lebih sedar dan berfokus. Ia alat visual yang digunakan untuk menggambarkan impian dan hala tuju hidup seseorang.
‘Vision board’ biasanya dihasilkan dalam bentuk papan atau ruang digital yang menggabungkan imej, perkataan dan simbol yang mewakili perkara yang ingin dicapai sama ada berkaitan kerjaya, kesihatan, hubungan, kewangan atau kesejahteraan diri.
Lebih daripada sekadar hiasan, ‘vision board’ berfungsi sebagai peringatan harian untuk hidup dengan niat, membantu seseorang kekal fokus dan selari nilai serta aspirasi peribadi.
Melalui gabungan imej, kata kunci dan simbol yang bermakna, ‘vision board’ membantu individu melihat dengan lebih jelas apa yang ingin dicapai.
Lebih daripada sekadar kolaj cantik, ‘vision board’ mencerminkan keinginan terdalam seseorang.
Bagi Iman L’Feera Syahril Azhar, 25, dia mengakui telah menjadikan ‘vision board’ sebagai sesuatu yang perlu ada, sejak tahun 2020.
“Apabila mula masuk alam pekerjaan, saya rasa hidup ini jadi terlampau sibuk sampai adakalanya saya rasa bagai tiada tujuan.
“Ketika itu juga, saya sedar bahawa sejak di bangku persekolahan, saya sering mahu capai banyak perkara seperti hebat dalam pelajaran dan juga dapat menang pelbagai anugerah.
“Justeru, saya sedar bahawa jika kita hidup tanpa tujuan atau motivasi, kita akan mendapati hidup bergerak dengan sangat pantas dan sedar-sedar sahaja, usia kita sudah semakin meningkat.
“Jadi, ‘vision board’ pada saya adalah untuk saya sendiri menoleh ke belakang, lihat hidup saya dan bangga dengan semua yang sudah saya capai,” katanya tentang matlamat dirinya menghasilkan ‘vision board’ kepada CitaRasa.
Feera menjelaskan, ‘vision board’ boleh dihasilkan melalui dua cara utama iaitu secara tradisional dan digital, bergantung kepada keselesaan serta gaya individu.
Secara tradisional, ‘vision board’ dibuat menggunakan bahan fizikal seperti papan, kertas, majalah lama, gunting dan gam.
Individu akan memilih gambar, perkataan atau frasa melambangkan impian, matlamat dan kehidupan yang diinginkan, kemudian menampalnya pada papan sebagai kolaj visual.
Proses ini biasanya lebih perlahan dan reflektif, membolehkan seseorang berhubung secara emosi dengan setiap elemen yang dipilih.
Sementara itu, secara digital, ‘vision board’ dihasilkan menggunakan aplikasi atau platform seperti Canva, Pinterest atau dengan mengumpulkan imej, kata-kata inspirasi dan warna yang selari dengan matlamat peribadi.
“Saya akan memilih imej yang menyerupai saya supaya saya dapat melihat gambaran bahawa itu adalah diri saya.
“Sebagai contoh, jika matlamat saya adalah untuk melancong ke Harbin, China, gambar yang dipilih haruslah menggambarkan mata saya yang sedang melihat pemandangan itu, bukan gambar orang lain yang sedang melihat pemandangan di Harbin,” kongsi Feera.
Kaedah digital baginya lebih fleksibel kerana mudah disunting, disimpan dan diakses pada bila-bila masa melalui telefon bimbit, komputer atau tablet.
Bagi Feera, secara peribadinya dia lebih menyukai platform Pinterest kerana proses menyusun visual lebih pantas dan mudah. Menerusi digital juga, ‘vision board’ juga lebih mudah diperincikan kepada matlamat bulanan.
Bagi Feera, ‘vision board’ adalah gabungan manifestasi, perancangan dan refleksi diri.
“Adakalanya, kita tidak akan capai pun apa yang diletakkan pada ‘vision board’, namun ia dibuat adalah untuk visualise dan melihat versi diri anda yang anda ingin wujudkan, fikirkan tentang apa yang anda mahu capai dan apa yang anda mahu tambah baik.
“Kemudian, anda jalani hidup anda seolah-olah anda sudah pun mencapai semua itu dan berserah kepada Allah SWT. Pada saya, itu adalah manifestasi,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Feera memberitahu antara impiannya pada ‘vision board’ 2025 yang tertunai adalah melancong ke Amsterdam dan juga mendirikan rumah tangga.
Namun, salah satu impian pada ‘vision board’ 2025 yang dianggap Feera sebagai besar dan sama sekali tidak disangka mampu tercapai adalah mengumpul simpanan berjumlah RM60,000.
“Bukan sesuatu yang mudah kerana saya mempunyai banyak komitmen, saya juga banyak melancong tahun lalu bahkan saya juga berkahwin pada 2025.
“Namun apa yang boleh dikongsikan adalah apabila kita bersyukur (dengan menjalani kehidupan seolah-olah kita telah mencapai impian itu), pintu rezeki akan sentiasa terbuka,” katanya.
Sama seperti individu lain, Feera juga berdepan detik iaitu apa yang diharapkan tidak tercapai.
“Tidak dinafikan, setiap tahun, pasti ada perkara yang tidak tercapai. Saya akan pindahkan matlamat itu ke tahun berikutnya dan cuba lagi,” katanya.
Feera juga menasihatkan orang ramai yang mungkin masih menganggap ‘vision board’ sebagai angan-angan kosong untuk mencubanya sekali.
“Bagi diri anda misi untuk satu tahun. Ini kerana, cuba bayangkan apabila usia anda sudah menginjak 60 tahun kelak dan anda dapat melihat semua pencapaian anda.
“Kadangkala kita sendiri terlupa apa pencapaian kita dua tahun lalu, namun dengan adanya ‘vision board’, kita boleh lihat dan menilai semuanya,” katanya.
Penyanyi, Wany Hasrita turut berkongsi menerusi TikTok bahawa tahun ini merupakan tahun pertamanya menghasilkan ‘vision board’.
Wany memaklumkan bahawa antara pengisian ‘vision board’ dirinya tahun ini adalah untuk pergi menunaikan umrah bersama keluarga kecilnya, menyimpan sekurang-kurangnya 100 gram gold bar dan juga melancong ke Maldives.
“Memandangkan saya juga kini sudah mempunyai lesen menyelam, maka hasrat saya adalah untuk menyelam di Maldives,” kongsinya.
Seorang netizen turut berkongsi bahawa banyak yang sudah dicapai dirinya menerusi ‘vision board’.
“Syukur banyak yang sudah saya capai. Namun ada juga ‘vision board’ saya yang dibuat pada 2023 hanya tercapai pada 2025. Tidak mengapa, kerana Allah akan memakbulkan doa dan juga impian kita pada waktu yang tepat,” tulisnya.
Kesimpulannya, ‘vision board’ bukanlah janji bahawa segala impian akan tercapai dalam sekelip mata, tetapi berfungsi sebagai kompas yang mengingatkan kita arah ingin dituju.
Dalam perjalanan hidup yang penuh perubahan dan ketidaktentuan, ‘vision board’ membantu mengekalkan fokus, harapan dan kesedaran terhadap pilihan yang kita buat setiap hari ke arah mencapai apa yang diimpikan.














