KETIKA dunia fesyen era milenium dikuasai oleh gaya minimalis dan trend pantas media sosial, masih ada individu yang memilih untuk tidak tunduk kepada arus semasa.
Tanpa bergantung siluet moden atau estetika popular, Harris Irfan Jamaludin atau lebih dikenali sebagai Harris Retro tampil berbeza dengan menjadikan fesyen 1970-an sebagai identiti harian.
Di saat kebanyakan generasi muda melihat fesyen retro sekadar kostum atau nostalgia, pemuda berusia 21 tahun itu membuktikan bahawa gaya 70-an masih relevan dan berjiwa.
Harris Irfan berkata, minat terhadap budaya dan fesyen 1970-an telah muncul dalam dirinya sejak zaman persekolahan, dipengaruhi oleh alunan muzik era tersebut seperti disco, disco boogie dan funk.
“Saya memang minat fesyen dan mula bereksperimen dengan pelbagai era fesyen, termasuk 2000-an, 1990-an, 1980-an dan 1970-an.
“Namun, selepas melalui fasa pencarian identiti itu, fesyen 1970-an dirasakan paling serasi dengan jiwa saya sekali gus menjadi medium utama untuk mengekspresikan identiti diri,” katanya kepada CitaRasa.
Kemas, menyerlah dan berteraskan semangat disco merupakan tiga perkataan yang menggambarkan gaya harian Harris Irfan.

Fesyen 1970-an yang digayakannya menampilkan seluar kembang bersaiz besar, baju bercorak abstrak dengan penggunaan warna kontra, kolar bersaiz besar serta potongan lebih panjang.
Penampilan tersebut dilengkapkan dengan kasut platform bertumit tinggi yang menjadi simbol penting era berkenaan, sekali gus menjadikan gaya ini mudah dikenali sebagai fesyen 70-an walaupun dari jarak jauh.
Untuk melengkapkan gayanya, Harris Irfan sanggup mencari salun lama yang masih menggunakan peralatan tradisional untuk perm khas kerana gaya rambut 70-an tidak ditawarkan di salon moden.
Dari segi inspirasi, Harris Irfan menjadikan fesyen Dharma Harun Al-Rashid dalam filem Adik Manja dan John Travolta menerusi filem Saturday Night Fever sebagai rujukan. Harris Irfan turut merujuk fesyen Elvis Presley, Bruce Lee, Hail Amir dan Latif Ibrahim.
Menurut anak jati Johor itu, pakaiannya kebanyakan diperoleh melalui bundle, pengumpul barangan antik serta komuniti barangan vintaj dari luar negara.
Katanya, cabaran utama dalam menggayakan fesyen 70-an ialah kesukaran mendapatkan pakaian autentik, termasuk dari segi saiz dan potongan.
“Harga pakaian 70-an semakin meningkat disebabkan kekangan stok, kualiti kain lama yang lebih baik serta nilai sejarah dan keaslian yang terkandung dalam setiap helai pakaian.
“Ia bermula sekitar RM50, namun boleh mencecah RM500 hingga ribuan ringgit bergantung kepada jenama, jenis kain, corak dan tahap keaslian pakaian tersebut.
“Kain pakaian lama menonjolkan perbezaan kualiti berbanding kain moden kerana lebih sejuk, tahan lama dan berwarna lebih menyerlah,” katanya.
Harris Irfan juga terlibat aktif dalam komuniti 70s Revival yang mengadakan pelbagai aktiviti termasuk perhimpunan dan tarian disco.
Komuniti ini wujud di beberapa negeri seperti Johor, Melaka, Terengganu, Pahang dan Kedah serta ahlinya terdiri pelbagai peringkat umur, termasuk mereka yang pernah hidup pada era 70-an.
Katanya, kesilapan lazim dalam menggayakan fesyen retro ialah kurang keberanian dan tidak menjiwai gaya itu.
“Fesyen retro memerlukan keberanian, jiwa dan keyakinan diri. Gaya berpakaian tidak perlu berlebihan sehingga kelihatan seperti kostum.
“Pemilihan aksesori disarankan dalam warna klasik seperti emas, perak dan kulit, manakala cermin mata bingkai besar pula merupakan elemen penting bagi gaya 70-an,” katanya.
Media sosial Harrisbj004 menjadi platform pemuda itu untuk mendidik netizen tentang fesyen 70-an.














